Sejauh Mana Sebenarnya Teleskop Paling Canggih Dunia Boleh Lihat Angkasa Ini Jawapannya
Sejauh Mana Sebenarnya Teleskop Paling Canggih Dunia Boleh Lihat Angkasa? Ini Jawapannya
Alam semesta penuh dengan misteri yang masih belum terungkai. Walaupun pelbagai kajian dan eksperimen telah dilakukan, masih banyak fenomena yang tidak mampu dijelaskan sepenuhnya oleh akal manusia.
Dalam bidang astronomi, agensi seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) telah berdekad-dekad memerhati dan mengkaji sistem cakerawala. Mereka membangunkan teleskop canggih bagi mengesan setiap aktiviti di angkasa lepas.
Namun, timbul persoalan sejauh mana sebenarnya teleskop-teleskop ini mampu melihat ke ruang angkasa?
Sebelum mengulas lanjut, anda perlu tahu terlebih dahulu mengenai kewujudan teleskop pertama yang dicipta di dunia.
Dihasilkan oleh pembuat kaca mata Belanda, Hans Lippershey pada tahun 1608, ia telah membuka jalan kepada teknologi menakjubkan yang kemudiannya merevolusikan pemahaman kita tentang alam semesta.
Walaupun teleskop ciptaannya hanya menggunakan kanta ringkas untuk membesarkan objek kira-kira tiga kali ganda, saintis-saintis seterusnya membangunkan konsep ini sehingga mampu melihat jauh ke ruang angkasa.
Namun, ada teleskop yang lebih berkuasa daripada yang lain, membolehkan kita mengesan bintang dan galaksi yang jauh, serta mengkaji fenomena ekstrem seperti lohong hitam (black holes) dan cincin Einstein (Einstein rings).
Teleskop paling berkuasa dan sejauh mana ia boleh melihat ke angkasa
Teleskop tersebut ialah James Webb Space Telescope (JWST) dilancarkan pada Disember 2021 untuk mengesan gelombang inframerah dan near-infrared, iaitu panjang gelombang dalam spektrum elektromagnet yang tidak dapat dilihat manusia tetapi boleh dirasai sebagai haba.
Ia mempunyai tugas yang berbeza dengan Hubble Space Telescope yang dicipta sebelumnya. Hubble direka untuk mengesan cahaya dalam spektrum boleh dilihat dan cahaya ultraungu. Ia merupakan panjang gelombang yang kerap dipancarkan oleh bintang-bintang muda.
Di angkasa, banyak objek tidak menghasilkan atau memantulkan cukup cahaya dalam spektrum boleh dilihat untuk dapat dilihat dengan mata kasar atau dikesan dari jauh.
BACA JUGA: Teleskop James Webb Kesan Kewujudan Hidupan Di Planet Selain Bumi
Namun, cahaya inframerah mempunyai panjang gelombang yang lebih panjang sehingga lebih mudah dikesan dari jarak yang sangat jauh. Panjang gelombang ini juga mampu menembusi awan debu, menjadikannya sangat berguna bagi ahli astronomi yang mahu melihat ke bahagian alam semesta yang paling jauh.
Malah teleskop baharu yang berkuasa seperti Vera C. Rubin Telescope di Chile tidak dapat melihat sejauh ini kerana perlu berdepan halangan seperti debu kosmik.
Apabila alam semesta bermula, ia wujud dalam keadaan padat dan panas yang terdiri daripada zarah-zarah iaitu proton, neutron dan elektron. Apabila ia mengembang dan menyejuk, bintang-bintang dan galaksi pertama mula terbentuk. Objek terawal yang kita boleh lihat berusia sekitar 13.7 bilion tahun, iaitu hanya lebih 100 juta tahun selepas Letupan Besar (Big Bang).
Menurut ahli astrofizik di Space Telescope Science Institute, Baltimore, Carol Christian, sebahagian besar kuasa JWST datang daripada cermin utamanya yang besar.

Kredit: NASA
Cermin utama JWST berdiameter 6.5 meter, memberikan luas kawasan pengumpulan cahaya lebih 25 meter persegi. Sebagai perbandingan, cermin utama Hubble berdiameter 2.4 meter dengan kawasan pengumpulan hampir 4.5 meter persegi. Bagaimanapun, kedua-dua teleskop ini mampu melihat berbilion tahun cahaya kerana ia berada di angkasa, jauh daripada gangguan atmosfera Bumi.
JWST juga dilengkapi pengesan cahaya inframerah yang menerima cahaya daripada cerminnya yang besar, membolehkannya mengesan cahaya jauh yang tidak dapat dilihat oleh Hubble.
Atmosfera Bumi pula mencipta pelbagai masalah untuk teleskop di daratan, daripada pencemaran cahaya sehinggalah “turbulens atmosfera” iaitu pergerakan udara yang rawak. Faktor-faktor ini boleh mengaburkan atau memesongkan imej serta mengehadkan kemampuan teleskop untuk melihat jauh ke angkasa. Disebabkan itu, banyak teleskop terkuat ditempatkan di luar atmosfera Bumi.
Bagi JWST, ia berada di kedudukan kira-kira 1.5 juta kilometer dari Bumi di satu titik khas yang dipanggil titik Lagrange, iaitu lokasi di mana daya tarikan graviti berada dalam keseimbangan yang stabil untuk satelit kekal berada di orbit.
Sejauh mana JWST boleh melihat?
Menurut Live Science, apabila kita melihat langit malam, sebenarnya kita sedang melihat ke masa lalu. Cahaya bergerak pada kelajuan 299,792,458 meter sesaat, yang bermaksud cahaya yang sampai kepada kita dari objek jauh adalah cahaya yang dipancarkan berjuta atau berbilion tahun lalu.
Cahaya dari Matahari mengambil masa lapan minit untuk sampai ke Bumi, manakala ke Jupiter memakan masa 43.2 minit.
Namun, jarak ke bahagian terluar alam semesta jauh lebih besar, menjadikan pengiraannya lebih rumit. Menurut Jakobsen, ahli astronomi mengatasi masalah ini dengan mengukur anjakan merah (redshift) objek-objek angkasa.
Anjakan merah ialah fenomena apabila cahaya dari objek jauh berubah menjadi panjang gelombang yang lebih panjang dan ‘merah’ kerana alam semesta sedang mengembang. Semakin jauh objek, semakin besar nilai anjakan merahnya.
Kini, salah satu galaksi dengan anjakan merah terbesar yang diketahui ialah JADES-GS-z14-0, yang wujud kira-kira 290 juta tahun selepas Letupan Besar.

Kredit: NASA
Selain itu, MoM-z14 yang belum diterbitkan dalam jurnal dianggarkan wujud hanya 280 juta tahun selepas Letupan Besar dengan nilai anjakan merah 14.44, lebih besar daripada JADES-GS-z14-0 (14.18).
Satu kajian menganalisis beberapa galaksi besar dan jauh yang dikesan JWST dan mendapati ia mungkin lebih tua daripada jangkaan model semasa alam semesta.
JWST telah membuktikan kemampuannya melihat lebih jauh ke masa lalu kosmos berbanding Hubble, yang hanya mampu melihat sehingga 13.4 bilion tahun.
Buat masa ini, JWST kekal sebagai juara meneroka masa lalu alam semesta, tetapi pesaing baharu sedang dibangunkan.
China sedang membina teleskop angkasa yang dinamakan China Space Station Telescope, menggunakan teknologi yang membolehkan ia mengumpul lebih banyak frekuensi cahaya berbanding JWST, sekali gus berpotensi mendapatkan lebih banyak maklumat daripada alam semesta.
Sumber: Live Science
The post Sejauh Mana Sebenarnya Teleskop Paling Canggih Dunia Boleh Lihat Angkasa? Ini Jawapannya appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/12/sejauh-mana-sebenarnya-teleskop-paling-canggih-dunia-boleh-lihat-angkasa-ini-jawapannya/