Sedarlah Bukan Islam Mic Dan Mca Khususnya
Prof Dr Ridhuan Tee AbdullahMaksud dakwah bukan Islamkan mereka tapi tunjuk kebaikan Islam

SAYA  hampir menitiskan air mata, apabila Tan Sri Vigneswaran, Presiden MIC  dalam konvensyen tahunan MIC minggu lalu berkata, imej “radikal” yang  selama ini dilabelkan kepada PAS oleh pengkritik-pengkritik parti itu  adalah satu dakwaan yang tidak benar.
Nasihat  beliau kepada pemimpin tertinggi MIC supaya berusaha meyakinkan  anggotanya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan dalam  perkembangan UMNO yang akan memeterai kerjasama rasmi dengan PAS.
Vigneswaran  yang juga Yang DiPertua, Dewan Negara turut menjelaskan bahawa MIC  mempunyai sejarah yang panjang dalam memahami dan menjalinkan kerjasama  dengan orang Melayu dari UMNO. Hari ini, sudah tiba masanya untuk MIC  mengambil sikap serupa terhadap PAS.
Sebak  rasanya bila Vigneswaran turut berkata, sebagai ketua kaum India,  keputusan ini perlu dibuat. Jika bangsa saya mahu hidup secara aman di  negara ini, kita kena bekerja dengan PAS. Bukan untuk kebaikan saya,  tetapi untuk kebaikan bangsa ini di tahun-tahun akan datang.
Keadaan  menjadi semakin terharu, apabila Ketua Pemuda MIC menghulur tangan  dengan berkata, “Saya nak jemput, Pemuda PAS kalau nak bekerjasama,  bukan semata-mata dengan Pemuda UMNO, kalau nak bekerja dengan akar umbi  Pemuda MIC pun kita alu-alukan, asalkan kita saling menghormati hak dan  perbezaan kita masing-masing,”.
Membaca  laporan konvensyen ini saya menggeleng-geleng kepala, MasyaAllah, inilah  peluang dakwah yang begitu besar yang perlu disambut sepenuhnya oleh  PAS (UMNO). Maksud dakwah, bukan mengIslamkan mereka, tetapi menunjukkan  kebaikan Islam. Terpulanglah jika mahu kepada Islam atau tidak. Begitu  juga agama lain, jika mahu menunjukkan kebaikan yang sama. Silakan…  Pokoknya, perlu ada saling hormat menghormati dalam menguruskan  perbezaan.
Percayalah  wahai MIC (juga MCA) khusus dan orang India (Cina) umumnya, setakat  yang saya tahu, Islam yang menjadi teras perjuangan PAS tidak akan  menganiaya atau meminggirkan bukan Islam. Jika PAS atau UMNO melakukan  sedemikian, bermakna, mereka telah terkeluar daripada landasan Islam  yang sebenar. PAS dan UMNO tidak akan bertahan lama hingga hari ini jika  bertindak zalim kepada bukan Islam.
Jika tidak  percaya, datanglah ke Kelantan dan Terengganu. Lihatlah bagaimana  minoriti Cina, Siam dan India dilayan dengan baik oleh PAS.  Patung-patung Buddha, lebih tinggi daripada menara masjid dan surau.
Walaupun  pada saya, mereka (bukan Islam) tidak layak mendapatkan kenikmatan  sedemikian rupa dengan bilangan yang sangat kecil. Tetapi itulah hakikat  Islam yang telah terpancar di Kelantan, termasuk Terengganu. Bandar  Cina (China Town) tidak ada siapa pun yang usik di tengah-tengah bandar  Kuala Terengganu. Mereka boleh beramal dengan bebas mengikut budaya  bangsa, selagi tidak mengganggu orang Islam.
Begitu  juga dengan taburan penduduk mengikut kawasan pilihan raya sama ada  Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, orang India, tidak ada satu tempat  pun mereka menjadi majoriti. Tetapi tetap diberi tempat untuk bertanding  dan menang. Kuota menteri, timbalan menteri sentisa menunggu. Siapa  yang berikan kemenangan itu, jika bukan orang Melayu Islam.
Dalam maksud, keadilan itu bukan seorang sebiji, bukan fair and square, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika keadilan seorang sebiji, fair and square, sudah tentu minoriti bukan Islam tidak layak mendapatkannya kerana bilangan mereka sedikit.
Jika tidak percaya, tanyalah Presiden Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam. Saya amat mengenali beliau.
Bagaimana  Islam boleh berkembang jika memusuhi dan membenci bukan Islam? Bukankah  Islam berkembang kerana bukan Islam memeluk agama Islam?
Sejarah  membuktikan bukan Islam boleh hidup senang lenang dan tidur lena dalam  negara Islam. Berbanding dengan umat Islam yang berada di negara bukan  Islam. Lihatlah apa yang berlaku di negara jiran, Filipina dan Thailand.  Bandingkan dengan umat Islam di China dan di India juga.
Hari ini  Islam menduduki tempat kedua terbesar di dunia dalam masa lebih 1,400  tahun meninggalkan agama-agama yang lebih lama. Kenapa? Apakah Islam  boleh berkembang dengan cepat dalam jangka masa yang singkat jika  sifatnya ganas dan ekstrem?
Islam  telah memerintah di India hampir 1,000 tahun. Apakah Islam boleh  bertahan lama di sana, jika mengambil sikap memusuhi, menganiayai dan  menzalimi orang India bukan Islam.
Percayalah  saudaraku, agama Islam adalah agama yang membawa keadilan. Jika ada  yang merasa tidak adil, bukan salah Islam, tetapi salah orang Islam yang  telah tersasar daripada landasan Islam.
Yakinlah  MIC, dengan adanya kerjasama MIC (UMNO/PAS), pastinya markas-markas atau  bilik gerakan MIC (MCA) akan hidup, sehidup-hidupnya ketika PRU15  nanti.
Selama  ini, PRU sebelumnya, markas dan bilik gerakan UMNO (MCA MIC) hidup,  disebabkan oleh duit. Jika tidak, sunyi sepi. Ada wang semua jalan, tak  ada boleh jalan.
PAS, walaupun tidak menang, markas dan bilik gerakan mereka terang-benderang. Saya bukan terlalu memuji PAS.
Pujian ini  bukan baharu tetapi sudah lama. Ini dibuktikan oleh pujian-pujian  pemimpin-pemimpin UMNO kebelakangan ini, bahawa mereka perlu belajar  daripada PAS, yang boleh bertahan selama lebih 60 tahun sebagai  pembangkang. Begitu kesetiaan dan walak ahli dan pemimpin PAS yang tidak  berbelah bahagi. Sanggup berhujan dan berpanas, namun menyerah tidak  sama sekali.
Pemimpin-pemimpin  PAS jarang yang melompat parti, kecuali pembersihan yang telah dibuat  sebelum ini dengan wujudnya serpihan PAS iaitu PAN.
Kini, PAS sudah bersih daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan parti iaitu musuh dalam selimut.
Orang PAS  sudah dibiasakan hidup ‘susah’. Matlamat hidup mereka adalah mencari  reda Allah atau mardhatillah. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk  memenangkan Islam, meskipun bekerjasama dengan bukan Islam. Sama ada  benar atau tidak, berjaya atau tidak, itulah kejayaan PAS selama ini dan  begitu juga dalam proses mentarbiyah ahli-ahlinya.
Cuma, satu  ingatan saya kepada PAS, kurangkan bercakap pasal matlamat menubuhkan  negara Islam, syariat Islam, hudud dan sebagainya.
Tonjolkan  atau laksanakan keadilan Islam terlebih dahulu supaya dapat dilihat.  Selepas itu, setelah mendapat kepercayaan, yakinlah bahawa tidak sukar  untuk meyakinkan bukan Islam tentang kebaikan hukum dan syariat Islam.
Untuk  makluman bukan Islam sama ada India, Cina mahupun Bumiputera Sabah dan  Sarawak, sekadar tidak mahu bersalam antara lelaki dan perempuan, itu  bukan ekstrem atau radikal, itulah hikmah.
Lihatlah kembali tradisi beragama dan adat budaya Cina dan India, mana ada salam-salam antara lelaki dan perempuan secara bebas.
Melihat  kembali budaya Cina dan India, rata-rata meletakkan tangan di dada  sebagai tanda hormat. Begitu juga budaya menghormati ibu bapa dan suami  isteri. Tunduk hormat sehingga ke kaki.
Salam lelaki perempuan tanpa batas ini adalah budaya Barat.
Begitu  juga budaya berjubah dan berserban serta berkopiah, tidak ada kaitan  langsung dengan ekstremis. Jika orang Cina dan India boleh berpakaian  Samfu, Kurta dan Sari, kenapa orang Islam tidak diberi pilihan untuk  berpakaian mengikut kesukaan dan kepercayaannya.
Yang  paling penting pakaian tradisi ini semua bersopan santun dan menepati  kehendak agama, berbanding dengan yang berpakaian terbuka sehingga  menampakkan yang tersurat dan tersirat. Budaya bangsa apakah ini, India  bukan, Cina bukan, Islam jauh sekali. Ini semua adalah serangan budaya  barat.
Justeru,  dalam menilai seseorang, jangan lihat kepada pakaian, yang penting  bersopan dan menepati kehendak agama. Begitu juga perlakuan, bersalaman,  tidak bergaul bebas.
Akhirnya,  PRU15, yang akan mendatangi kita tidak lama lagi, pasti akan mencipta  satu lagi sejarah dan rekod. Satu lagi bentuk budaya politik baharu  Malaysia akan tercipta, memperlihatkan kerjasama politik antara agama  dan kaum dalam membawa Malaysia ke arah kecemerlangan. Saya doakan moga  ia berjaya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/sedarlah-bukan-islam-mic-dan-mca.html