Sebelum Mati Harap Ruu355 Dapat Direalisasi Menteri Agama
PARLIMEN | Kerajaan perlu melalui sejumlah proses yang melibatkan pelbagai pihak sebelum dapat membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad
Berucap dalam sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Zulkifli menjelaskan setiap proses tersebut perlu diikuti agar pindaan tersebut dapat dibentang secara tertib dan teratur berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia perlu dibincangkan dalam jawatankuasa undang-undang syarak dan sivil yang ditubuhkan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bagi menilai dan menyeragamkan segala pindaan dan penggubalan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam.
“Kerajaan perlu beri ruang dan masa yang wajar kepada jawatankuasa untuk meneliti cadangan dan berunding dengan negeri-negeri,” katanya.
Selepas itu, kata Zulkifli, rundingan dengan pihak pentadbiran agama di setiap negeri perlu dibuat agar RUU tersebut “menjadi undang-undang yang mantap dan menyeluruh serta mewakili aspirasi semua negeri”.
Antara pihak pentadbiran negeri yang perlu terlibat dalam rundingan tersebut ialah majlis agama Islam, mahkamah syariah jabatan pendakwaan syariah, jabatan agama Islam, pejabat mufti dan pejabat penasihat dan undang-undang.
“Pihak-pihak inilah yang akan terkesan secara langsung dengan penggubalan akta ini,” katanya lagi.
RUU itu dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS merangkap Anggota Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, sebagai RUU persendirian. Perbahasan berkenaannya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.
Setakat ini, RUU 355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul sahaja tanpa perbahasan.
Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) kemudian mencelah dan menyatakan persetujuannya dengan jawapan yang diberikan yang menurutnya “realistik dan berpijak di bumi nyata”.
Bagaimanapun dia meminta menteri agar memberikan satu tempoh masa untuk RUU tersebut dibentang.
“Saya tiada khilaf sama sekali untuk menerima (jawapan yang diberikan). Masalah berlaku kalau ada kalangan yang merasakan ‘aku sahaja betul, kamu sanggah kamu keluar akidah’,” katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.
Bagaimanapun RUU tersebut merupakan antara isu utama antara PAS – pihak yang membawa perkara itu – dengan PH sebelum ini, terutama dengan parti serpihannya, Amanah.
Meneruskan jawapannya, Zulkifli berkata selepas segala proses yang dinyatakannya itu selesai, RUU tersebut perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu.
“Sebaik sahaja semua proses dan tertib ini selesai, dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, barulah pindaan itu (RUU) boleh dibentang bila tiba masa yang sesuai.
“Saya harap – insya-Allah – ia akan dapat direalisasikan sebelum saya mati,” kata bekas mufti Wilayah Persekutuan itu lagi.
Jawapan Zulkifli itu senada dengan jawapan Parlimen oleh timbalannya Ahmad Marzuk Shaary pada 22 Julai lalu bahawa setiap cadangan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Marzuk berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah daripada:
i) Penjara tidak melebihi 3 tahun kepada penjara tidak melebihi 30 tahun.
ii) Denda tidak melebihi RM5,000 kepada Denda tidak melebihi RM100,000.00.
iii) Sebatan tidak melebihi enam kali kepada Sebatan tidak melebihi 100 kali
The post Sebelum mati, harap RUU355 dapat direalisasi – Menteri Agama appeared first on My KMU NeT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/08/10/sebelum-mati-harap-ruu355-dapat-direalisasi-menteri-agama/