Sean Lee Tak Kejar Anugerah
Pelakon dan pengacara berbangsa Cina, Sean Lee, 26, cukup terkejut apabila namanya membolosi dua kategori pencalonan menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.
Sean berjaya menembusi kategori Pengacara TV Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular bagaimanapun terharu apabila namanya disenaraikan dalam dua kategori besar.
Pengacara program I Can See Your Voice Malaysia itu berkata, dia berdebar apabila namanya menembusi dua pencalonan kategori utama. Bagaimanapun, lebih suka menyerahkan rezeki ke tangan takdir.
Baginya, menang atau kalah bukan sasarannya. Membolosi pencalonan sudah baik dan rasa tuah.
"Tak menang pun tidak mengapa. Apa yang lebih penting, peminat atau sesiapa sahaja menyedari kewujudan serta bakat saya dalam industri seni. Apabila peminat mengiktiraf bakat dimiliki dan secara rela hati mengundi, itu sudah beroleh kemenangan, walaupun tidak memenangi anugerah secara fizikal.
"Sebenarnya, saya kurang selesa minta peminat mengundi saya. Saya amat hargai sekiranya ada yang ikhlas mengundi. Tetapi, saya tidak memaksa mereka dan sibuk berkempen dalam laman sosial semata-mata untuk mendapatkan undian. Jujurnya, itu bukan cara saya.
"Pada saya, peminat tidak berhutang apa-apa dengan saya, jadi untuk apa saya memaksa. Jika ada rezeki, adalah. Lagipun, apabila nama menembusi pencalonan, itu bermakna kita memiliki peminat," katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, katanya, jika nama tidak dicalonkan bukan bermakna belum cukup popular.
"Saya sentiasa percaya kepada rezeki. Seandainya kemenangan rezeki saya, walau macam mana pun tetap menjadi hak milik saya," katanya yang mula mencipta nama selepas membintangi drama bersiri, My Coffee Prince.
Sean berkata, dia tidak meletakkan sebarang strategi untuk mengungguli dua kategori berkenaan, tambahan pula bersaing dengan nama-nama hebat. Namun, dia berbangga apabila berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelakon dan pengacara popular lain.
Baginya, anugerah bukan sesuatu yang dikejarkan, sebaliknya menganggapnya sebagai bonus hujung tahun yang diberikan majikan kepada pekerja.
"Sebagai artis, tidak kiralah pelakon, penyanyi atau pengacara, sekiranya sayang pada karya, kita perlu berusaha untuk memberikan yang terbaik. Contohnya, drama Sweet Dreams, kami berusaha melakukan yang terbaik demi untuk peminat. Terpahat kenangan manis apabila drama yang diterajui Mira Filzah dan Ben Amir itu mendapat tempat di hati penonton di Indonesia.
"Ia adalah kenangan yang cukup indah, berbanding sebuah trofi. Sekiranya menang, itu adalah bonus tambahan untuk seseorang artis," katanya yang pernah dicalonkan menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, beberapa tahun lalu.
Mengulas perasaannya apabila berjaya menempatkan diri dalam pasaran Melayu, Sean berkata, dia amat berbangga, tetapi tidak pernah membuatkannya mendabik dada.
"Saya bertuah memiliki keluarga dan teman rapat yang selalu mengingatkan saya supaya merendah diri. Bagi saya, apabila sudah ada nama, bukan bermakna perlu menyuruh orang lain mengikut telunjuk kita. Saya tidak suka mengejar kemasyhuran, sebaliknya merasakan kehadiran saya sebagai satu tanggungjawab untuk mengeratkan silaturahim antara semua kaum.
"Posisi saya masuk ke dalam industri seni supaya dapat membuka peluang kepada pelakon bukan Melayu untuk diterima. Namun, apa yang diharapkan, industri seni tidak ada pengkhususan untuk kaum, sebaliknya menjadi industri berbilang kaum.
"Menyertai industri seni memang mudah, tetapi untuk memastikan nama terus kekal relevan bukan seperti memetik jari. Kita berada pada era digital dan ramai pula artis baharu yang tumbuh bagaikan cendawan, jadi ia bukanlah pertandingan pencarian bakat.
"Ada yang muncul disebabkan kuasa tular dalam laman sosial, tetapi berapa lama boleh bertahan, itu menjadi ukuran. Kenalah kena akur dengan kemunculan bakat baharu yang lain," katanya.
Katanya, memang sesuatu mencabar untuk terus bertahan, namun, apa yang penting adalah keikhlasan dalam bekerja dan tidak membandingkan diri dengan orang lain.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/11/sean-lee-tak-kejar-anugerah.html