Sbdj Siri 214 Dendam Dukun Banten
"Kita bertemu juga," Suara orang itu bergema buat kali kedua. Tidak ada tindak balas dari datuk.
"Kamu mahu merebut milik Dang Intan Mahani atau Ani Cantik," datang lagi suara dari orang berwajah putih kapas. Perlahan-lahan kain hijau yang membalut sebahagian daripada wajahnya dijatuhkan ke lantai. Semuanya dihadapi oleh datuk dengan tenang dan tabah.
Orang berwajah putih kapas, cuba melangkah mendekati datuk. Dua tapak datuk undur kebelakang. Orang itu maju lagi, datuk mengelak. Kali ini empat tapak di belakang.
Dengan hati-hati datuk angkat tangan kiri separas bahu, kemudian memusingkan tubuhnya dengan pantas sebanyak tiga kali berturut-turut hingga tercipta sempadan pemisah ditandai dengan garisan hitam di lantai.
Sebelum tangan kiri kembali kepada kedudukan asal (lurus kebawah) tangan kanan diangkat lalu didakapkan ke dada dengan tiga jari menekan tulang selangka. Tiga kali nafas ditarik dan dilepaskan barulah tangan dibawa ke dada menindih tangan kanan yang tersedia di dada.
"Pulangkan segala-galanya pada yang berhak," datuk bersuara.
"Maksud kamu?" Tanya orang berwajah kapas.
"Ani Cantik mengambil hak anaknya untuk kepentingan dirinya."
"Hummm..." terdengar keluhan.
Suasana berikutnya, menjadi sepi. Orang berwajah putih kapas masih berdiri di tempat. Datuk tetap berada dalam lingkungan garisan. Saya Nonong dan Harun tetap macam tadi, masih bertindih dan berhimpit dekat tiang.
"Kita jalinkan persahabatan."
Orang berwajah putih kapas, maju setapak sambil menghulurkan telapak tangan untuk bersalam. Malangnya, tangan yang dihulur tidak dapat melepasi garisan di lantai.
"Ertinya kita tidak boleh bersahabat," orang berwajah putih kapas bersuara penuh kesal. Terbayang kekecewaan yang amat sangat di wajahnya.
"Begitulah kira-kiranya," balas datuk.
Orang berwajah putih tunduk merenung lantai.
"Pulangkan hak anak Ani Cantik," rayu datuk.
"Iya, apa yang kamu lihat dan temui dalam bilik ini setelah aku pergi. Itulah haknya dan selanjutnya terpulanglah kepada kamu mengendalikannya," suara itu bergema dan bergaung dalam bilik.
"Aku faham," kata datuk lantang.
Tanpa banyak cakap orang yang berwajah seputih kapas itu, perlahan-lahan memusingkan tubuhnya. Setiap liku dan sudut bilik ada dalam anak matanya. Saya jadi cemas semacam, lambat laun renungannya akan tertacap ke wajah saya.
"Sial," kutuk saya dalam hati.
Bagaikan ada kuasa ghaib memusingkan tubuh dan wajah orang seputih kapas ke arah saya. Renungannya cukup tajam, penuh benci dan dendam. Berkali-kali giginya dilagakan bergemeretap bunyinya.
"Hummmmm..." dengusnya.
Dan renungannya segera berubah kepada Nonong. Kemarahan dan geram yang terpamer segera digantikan rasa simpati dan renungan yang penuh kesayuan.
Dia menundukkan muka, merenung lantai untuk waktu yang agak lama. Kedua-dua belah bahunya bergegar lalu diikuti dengan suara tangisan berserta sedu yang memanjang. Tanpa diduga dia menghentakkan kaki kirinya ke lantai sambil meluahkan kata-kata yang kurang jelas maksudnya.
Dalam sekelip mata batang tubuhnya menghilang, tempat manusia aneh itu berdiri kelihatan kepulan asap yang naik memanjang menuju siling bilik.
GHAIB
Sebelum kepulan asap itu ghaib, berlaku sekali lagi ledakan yang amat kuat bersama pancaran kilat. Di luar deru ribut yang amat hebat. Rumah teras bergegar, lantai bergerak dan kami terumbang ambing.
Datuk yang tadi berada tidak jauh dari kami bertiga, kini terpisah jauh nampak samar-samar. Saya cuba bersuara memanggil namanya, Seperti tadi suara saya tidak keluar tersekat di kerongkong.
Dalam keadaan yang tidak menentu, semua yang di buat serba tidak kena. Kotak fikiran seperti kosong melopong. Tidak tahu dengan suasana yang dihadapi sama ada siang atau malam. Malah di mana berada pun tidak tahu.
"Husssssssss..." Saya menghembuskan nafas.
Dan hati saya bagaikan memberitahu, bahawa kami berada di suatu dunia yang terasing.
Aneh gegendang telinga terus diasak dengan bunyi deru air dari gunung. Badan bagaikan dilambung ombak ke sana ke mari. Tiba-tiba, badan dipukul oleh gelombang besar setinggi pokok kelapa dara. Sekujur tubuh diarak ombak lalu dihempaskan kepada objek yang keras.
Kulit dan tulang temulang bagaikan bercerai-berai. Sakitnya bukan kepalang dan selanjutnya tidak tahu apa yang terjadi. Segala-galanya menjadi fana.
KELOPAK
Tidak tahu berapa lama masa masa sudah berlalu. Dan kelopak mata secara perlahan-lahan digerakkan berkali-kali. Terasa pedih dan perit. Bahu sebelah kanan disentuh sesuatu secara lembut. Kemudian digoyang dan ditumbuk bertalu-talu.
"Tamar."
Kelopak mata mash gagal dibuka. Bulu mata bawah dengan bulu mata aras masih bertaut erat. Deru air dari gunung beransur kurang, tidak sekuat tadi dan usaha membuka kelopak mata tetap diteruskan.
"Tamar."
Saya yakin, itu suara datuk. Kepala saya gerakkan perlahan-lahan sebagai tanda yang saya boleh mendengar tetapi, tidak dapat bersuara.
"Kamu tak boleh buka mata Tamar.."
Macam tadi juga saya tetap anggukkan kepala. Tidak lama berselang, terasa ada jari jemari lembut mengurut-urut kelopak mata dengan mesra.
"Buka kelopak mata kamu Tamar!"
Arahan itu segera saya patuhi. Kelopak mata boleh dibuka dengan mudah. Wajah datuk terdampar dalam anak mata. Senyum yang menari di kelopak bibirnya bagaikan menghantar sebuah kemesraan yang berbalut sayang dari seorang datuk kepada seorang cucu yang baru berada di alam nyata.
Renungan segera beredar dari wajah datuk ke wajah Nonong dan Harun. Mereka nampak tergamam. Tetapi, apa yang pasti mereka lebih awal sedar dari saya. Malah sudah pun bangun, bersiap-siap untuk keluar dari bilik.
"Memang aku tidak menduga berdepan dengan hal-hal yang pelik begini. Tak apalah, setidak-tidaknya kamu bertiga dapat pengalaman baru," tutur datuk seperti berbisik.
"Iya, memanda, menakutkan dan tidak masuk di akal," Nonong menyampuk.
"Biarkan perkara itu berlalu, kamu berdua bersiap sedia untuk ke masjid, bolehlah kita sama-sama orang lain berjemaah," balas datuk. Saya masih dalam keadaan terpinga-pinga.
"Dah selesai?" saya bersuara.
Datuk ketawa kecil sambil mengeleng-negelengkan kepala.
"Kamu masih mamai lagi Tamar. Aku harap perkara ganjil yang menakutkan ini, Insya Allah tidak berulang lagi," nada suara datuk agak lemah.
Walaupun Nonong dan Harun mendengar sindiran dari datuk untuk saya, tetapi mereka tidak memberikan sebarang komentar. Malah, wajah mereka nampak bersahaja.
Memang tidak diduga sama sekali, Nonong dan Harun yang sudah bersiap sedia meninggalkan bilik, membatalkan hasrat. Mereka kembali duduk bersila tidak jauh dari saya.
Rasa cemas, bimbang dan takut menguasai diri dapat saya kawal hingga keadaan normal. Dan saya memberanikan diri menanggungkan kepala, setiap sudut bilik saya sorot secara terperinci.
Ternyata tidak ada satu pun kesan aneh yang dapat dilihat. Tidak ada dinding yang berlubang, tidak ada barang yang berserakan.
"Pelik."
"Apa yang pelik Tamar," sambut datuk.
"Mana dia seludang kelapa, batu gunung, tempat bakar kemenyan dan rambut. Kemana barang-barang itu menghilang," saya minta sebuah kepastian kepada datuk.
BESAR
Nonong dan Harun terkejut besar mendengar pertanyaan yang saya kemukakan pada datuk. Mereka seperti tersentak dari lamunan yang panjang.
"Betul, cakap Tamar tu memang betul," Harun memberi sokongan.
"Apa yang betul tu Harun, tiba-tiba main sokong saja. Cakap pada aku apa yang betul tu?" Sepasang bola mata datuk tertumpu ke arah batang hidung harun yang nampak sedikit resah.
Bagaimana dia tidak resah, renungan datuk itu tidak ubah macam kucing mahu menerkam tikus.
"Barang-barang yang Tamar sebutkan memang tidak ada di sini, mana dia barang-barang tu memanda," Harun memberanikan diri memberikan jawapan.
"Mata kau buta," sergah datuk.
Kami terkejut dan bersedia lari bertempiaran keluar dari bilik andainya, datuk naik angin. Agaknya, pertanyaan saya dan Harun dianggap datuk sebagai mencabar kewibawannya.
"Jegilkan biji mata kamu semua, renung sebelah kiri pintu."
Semua biji mata tertumpu ke arah yang datuk katakan. Di situ ada bungkusan berbalut kain hitam, sebesar putik kelapa.
"Tapi..."
"Aku tahu apa yang kamu fikirkan? Kamu fikirkan seludang kelapa, batu gunung, rambut dan tempat kemenyan. Bukan begitu Harun?"
"Iya, memanda," suara Harun terketar-ketar.
"Semua barang-barang itu sudah di satukan dan terus di bungkus. Apa lagi yang kamu semua mahu tahu?"
Kami terdiam, anak mata kami kembali menyorot ke arah bungkusan yang berbalut dengan kain hitam.
Suasana dalam bilik kembali bungkam. Empat insan melayani fkiran masing-masing.
"Tapi memanda, kami mengalami bermacam-macam hal dan perkara pelik-pelik," Nonong dengan nada suara penuh keyakinan memecahkan suasana bungkam.
Datuk tidak memperlihatkan reaksi yang tidak menyenangkan. Mungkin rasa marah sudah hilang dari kalbunya.
"Hummmmmm..." datuk menarik dan melepaskan nafas.
Saya dan Harun bertukar pandangan. Tentunya dengan perasaan yang berdebar.
Datuk menggigit bibir sambil mengkerutkan kening. Dia seperti keberatan untuk menjawap pertanyaan yang diajukan oleh Nonong.
"Kenapa perkara itu terjadi memanda," ulang Nonong.
Kali ini nada suara Nonong terasa mengandungi rasa bimbang. Lagi sekali datuk menarik nafas panjang. Keresahan di wajah segera bertukar menjadi rasa simpati terhadap Nonong.
Dan buat kesekian kalinya, datuk merenung lantai. Tindak tanduk itu mengundang seribu amalan dalam diri. Apalah susah sangat datuk mahu menjelaskannya?
Masih adakah nanti bencana atau olah dari makhluk ganjil untuk menggugat keluarga Nonong? Kalau perkara sebenar tidak jelaskan, macam-macam perkara negatif mucul dalam kepala.
Sesungguhnya bila berdepan dengan suasana begini, saya jadi kebal dan marahkan datuk.
ANGIN
Datuk yang tadi berdiri di tengah-tengah ruang bilik, segera mencari tempat sesuai untuknya melabuhkan punggung. Tempat yang jadi pilihan, tidak jauh dari sisi Harun. Mungkin untuk memberikan kekuatan dan keyakianan, bahu kiri Harun ditepuk oelh datuk berkali-kali. Nonong hanya menjeling sahaja.
Di luar, angin subuh yang bertiup lembut terus menempuh dedaun pokok di halaman dan di kiri kanan rumah, melahirkan bunyi yang tidak menentu, sekejap meninggi sekejap meredah.
Bunyi ekor cicak memukul dinding jelas kedengaran yang di selang seli dengan suaranya yang memanjang dan nyaring. Dari air muka Nonong dan Harun dapat saya baca keresahan yang bergolak dalam batin mereka.
"Masa untuk bercerita terhad," renungan lembut dari datuk terdampar ke wajah Nonong.
"Huss..." Harun mendengus, membayangkan rasa putus asa.
"Masa untuk bercerita terhad," ulang datuk.
"Waktu subuh dah dekat benar," sambungnya bersahaja sambil mengerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Perasaan saya tetap berdebar.
"Masih mahu berdalih," rungut saya dalam hati.
Mulut Harun terlopong.
TERBAKAR
Dia juga seperti saya dan Nonong, masih menanti dengan serbu pertanyaan. Apakah yang bakal diluahkan oleh datuk.
"Sebenarnya, semasa batu gunung itu terbakar, kamu bertiga terpisah dari kawalan aku secara batin. Kamu berada dalam kawalan iblis yang menguasai batu gunung. Kamu bertiga berada di antara sedar dengan tidak. Antara alam nyata dengan alam ghaib. Pendek kata kamu bertiga seperti berkhayal," tentu saja kata-kata datuk itu mengejutkan kami.
"Memanda tidak dikuasainya?" Nonong ajukan pertanyaan.
"Aku sentiasa berada dialam nyata," jawap datuk.
Nonong dan Harun segera meraba-raba, cuping telinga, begitu juga dengan saya. Tidak memadai dengan itu, kami mematahkan ibu jari kaki kiri hingga terasa sakit.
Secara serentak kami menumbuk lantai hingga tulang di buku lima terasa pedih. Perbuatan kami di sorot oleh datuk dengan ekor mata.
"Sekarang kami bertiga berada di alam nyata," datuk senyum sinis, tetapi ternyata Harun masih kurang yakin.
"Buktinya memanda?"
"Kamu berdiri sebelah kiri."
Harun melakukan apa yang datuk suruh. Semasa dia mahu mengimbangi tubuhnya dia terlayah lalu jatuh ke arah saya, belum pun sempat tubuhnya jauh atas badan, saya mengelak. Harun jatuh atas lantai lalu menjerit kesakitan.
"Itu buktinya," sambut datuk.
Saya dan Nonong ketawa, akibatnya kami menerima teguran dari datuk.
"Sekarang bagaimana Harun, kamu yakin dengan apa yang aku cakapkan?"
"Saya yakin memanda," Harun kembali duduk seperti posisi asal.
"Amalan ilmu hitam yang dimiliki dukun tempat arwah emak kamu minta tangkal susuk tu, memang dukun yang hebat..." datuk tidak meneruskan kata-kata. Nonong kerutkan dahi, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
"Macam mana memanda kata dia hebat?"
"Lain kali saja kita ceritakan tentang kehebatannya, walaupun sebanyak sedikit kebolehannya sudah dapat kamu bertiga rasakan."
Nonong anggukkan kepala, akur dengan penjelasan datuk. Muka Harun saya jeling. Dia resah semacam, masih bimbang dan takut-takut.
KULIT
Dingin subuh kian terasa mengigit kulit tubuh dan untuk menghangatkan badan terpaksa berpeluk tubuh. Bunyi deru angin kian kerap mengusik gegendang telinga.
Sesekali terdengar bunyi tagar sayup-sayup memanjang. Selalunya suasana seperti itu menandakan hari mahu hujan. Kata orang tua-tua, hujuan subuh membawa rahmat tetapi, bagi pengamal ilmu hitam hujan subuh mengundang kecelakaan.
"Eh, Tamar, Harun, kita tidak boleh berlengah lengah lagi," datuk segera bangun, mundar-mandir di depan kami sambil jari kelingking kirinya mengaru-garu hujung dagu.
"Pergi bersihkan tubuh," sambungnya dengan tekanan suara separuh keras.
"Tapi..."
"Apa lagi yang mahu kamu tanyakan Nonong?"
"Barang-barang dalam bungkusan dekat pintu tu, mau dibiarkan di situ memanda?"
"Terima kasih atas ingatan tu, kalau kamu tidak mengingatkannya, memang aku dah lupa, Nonong," datuk pun merenung ke arah bungkusan yang tersadai di bucu pintu.
Saya dan Harun berpandangan, dalam hati berdoa, semoga saya dan Harun tidak akan diberi tugas untuk menyelesaikan masalah bungkusan yang saya anggap berpuaka. Memadailah dengan apa yang telah dilalui, cukup terseksa rasanya.
"Begini Nonong."
Apa yang bergolak dalam fikiran segera tumpas. Sepasang anak mata ditujukan kembali ke muka datuk.
"Lepas balik dari masid kita selesaikan. Kamu tak usah takut-takut, buat kerja macam biasa Nonong," suara datuk bersahaja. Nonong mengigit bibir, keresahan tetap terpamer di mukanya.
"Baiklah memanda."
Nonong bangun dan bersedia untuk melangkah keluar dari bilik.
"Nanti dulu Nonong," tahan datuk. Langkah Nonong terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah datuk yang menjentik papan lantai dengan ibu jarinya berkali-kali.
"Masa ketiadaan kami, kamu jangan masuk dan melintas di depan bilik ini."
"Kenapa memanda?" Nonong ingin tahu.
"Jangan banyak tanya, ikut saja cakap aku."
"Baiklah memanda, maafkan saya."
"Hummm..." balas datuk.
Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 214/284
BACA: SBDJ Siri 213: Tak Rela Mati Katak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2024/10/dendam-dukun-banten-sbdj-siri-214.html