Sayangi Setiu Wetlands Sempena Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia 2020
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai Setiu Wetlands.
Untuk makluman semua, kawasan Setiu Wetlands merupakan kawasan tanah bencah yang terbesar di Malaysia. Keluasannya mencapai 17% daripada keluasan daerah Setiu. Ianya merupakan salah satu habitat flora dan juga fauna yang pelbagai.
Pada 2 Februari setiap tahun, telah diadakan sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai tanah bencah kepada manusia dan alam sekitar. Di Malaysia, ianya telah disambut di Boardwalk Setiu.
Para pelajar memasuki kawasan Boardwalk Setiu
Mungkin ramai yang tidak mengetahui mengenai tanah bencah ini. Saya sendiri juga tidak mengetahui akan tanah bencah ini sebelum ini. Dengan menghadiri program ini, dapat membuka mata saya tentang tanah bencah. Almaklumlah saya dibesarkan bukan di kawasan pantai, jadi pengetahuan saya mengenai tanah bencah ini agak terhad.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mohd Zahari bin Md Azahar selaku Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Barisan tetamu kehormat yang menghadiri majlis ini
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyedarkan orang ramai tentang ekosistem tanah bencah dari segi sumber bekalan air, kawalan banjir, penghalang ribut, dan kawalan kepada hakisan pantai, pelancongan serta pemuliharaan biodiversiti. Ianya juga bertujuan untuk menanamkan sikap kasih sayang terhadap alam semulajadi kepada para peserta dan juga penduduk setempat.
Pada sambutan kali ini, terdapat pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan dalam menjayakan program ini. Antaranya adalah:
Program Penanaman Anak Pokok Bakau Bersama SekolahProgram Gotong RoyongProgram Khas Bersama Pengamal Media dan BloggerJualan Produk Tempatan“School Talks”Pertandingan MewarnaPelepasan Anak Tuntung
Aktiviti penanaman pokok bakau
Pelepasan anak tuntung ke kawasan bencah
Setiu Wetlands (Tanah Bencah Setiu)
Mungkin ada di antara kita yang tidak mengetahui mengenai tanah bencah Setiu ini, saya juga tidak berkecuali. Berikut adalah beberapa makluman untuk anda mengenai Tanah Bencah Setiu ini untuk makluman anda.
1. Tanah bencah ini berkeluasan 23 hektar. Ianya sebahagian daripada ekosistem Lembangan Sungai Setiu iaitu gabungan lembangan tanah lembap kompleks di Setiu-Chalok-Baru-Merang.
2. Merupakan satu-satunya tanah bencah di Malaysia yang mempunyai 9 ekosistem berbeza dalam satu kawasan iaitu laut, pesisir pantai, kawasan berlumpur, lagun, muara sungai,pulau, rimba pesisir air dan rimba paya bakau.
3. Di dalam ekosistem ini ada 161 spesis burung, 49 spesis rama-rama, 36 reptilia, 33 spesis pokok bakau dan 29 spesis mamalia. Kawasan persekitarannya juga adalah habitat semulajadi pembiakan tuntung di samping menjadi antara lokasi pendaratan spesis penyu hijau.
Antara pokok yang terdapat di sini, Pokok Sarang Semut
4. Tanah Bencah Setiu bulan saja unik, malah ia adalah satu kawasan yang cantik dan kaya dengan kelainan flora dan fauna yang digabungkan dengan laut, air yang bersih, haiwan di hutan dan juga bukit di sepanjang pantai.
5. Ianya menjadi destinasi eko-pelancongan dengan aktiviti-aktiviti seperti observasi alam semulajadi, mengumpul madu, mencari ketam nipah, kepah atau lokan, memancing dan sebagainya yang juga boleh dimanafaatkan oleh penduduk setempat.
Jujur untuk saya katakan bahawasanya tempat ini patut dilawati oleh sesiapa sahaja supaya kita dapat mengenal salah satu khazanah yang berharga yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada negara kita. Bawa keluarga dan anak-anak ke sini supaya lebih mengenali apa itu tanah bencah dan mencintai alam semulajadi.
Menanti kehadiran anda..
The post Sayangi Setiu Wetlands – Sempena Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia 2020 appeared first on AMIRNAWAWI.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://amirnawawi.com/sayangi-setiu-wetlands-sempena-sambutan-hari-tanah-bencah-sedunia-2020/