Saya Terbabit Dengan Misi Kemanusiaan Video Tular Itu Pula Orang Nampak Awie
Oleh Anna Mohamed
PENYANYI rock legenda, Datuk Awie memaklumkan dirinya sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berhubung isu mengingkari prosedur operasi standard (SOP) dalam acara amal di sebuah hotel di negeri terbabit.
Awie atau nama penuhnya Ahmad Azhar Othman,53, juga bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Saya hadir ke balai polis malam kelmarin untuk memberi keterangan berkenaan situasi sebenar apa yang berlaku.
“Syukur alhamdullilah, pihak polis sudah jelas tentang apa yang saya lakukan ketika majlis amal berlangsung.
“Buat masa sekarang, saya masih menanti tindakan selanjutnya…jika perkara ini akan dibawa ke mahkamah, saya akur.
“Saya yakin tidaklah seteruk mana pun melanggar SOP…apa-apa pun saya tiada masalah untuk memberi kerjasama dengan sebaiknya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Ingkar SOP: Awie dipanggil pihak polis
Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat yang memaparkan Awie bersama beberapa individu sedang menyanyi pada majlis berbuka puasa sempena Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings pada 7 Mei lalu.
Kontroversi tercetus apabila pelayar media sosial mempertikaikan individu-individu yang dirakamkan dalam video berkenaan tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakkan fizikal sekali gus melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.
Menurut Awie, majlis tersebut diadakan bagi menyantuni dan memberi sumbangan kepada komuniti penarik beca yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Orang ramai menilai daripada rakaman video pendek, mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
“Saya terbabit dengan misi kemanusiaan bersama 160 penarik beca beragama islam dan bukan Islam. Kami menghulurkan sumbangan kepada warga emas, pelajar tahfiz, anak-anak yatim dan ibu tunggal.
“Misi itu orang tak nampak…tapi video yang tular pula menjadi perhatian ramai. Mereka yang tidak tahu hal sebenar, janganlah komen…kita bersangka baik sajalah.
“Dalam rakaman video berkenaan, orang boleh dengar saya menyuruh mereka duduk dan mematuhi SOP,” jelasnya.
Sementara itu, Awie tidak mahu menuding jari kepada sesiapa yang seharusnya bertanggungjawab terhadap penyebaran video terbabit.
Katanya, dia hadir ke negeri tersebut bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung komuniti penarik beca yang kehilangan punca pendapatan disebabkan penularan Covid-19.
“Saya tak salahkan mereka (penarik beca) sebab saya faham mereka teruja diraikan.
“Saya juga tidak meminta balasan. Saya buat kerana Allah, jadi janganlah disebabkan isu ini, saya dimaki dan dihina.
“Jangan mengakimi tanpa mengetahui hal sebenar dan melabelkan saya sebagai seorang yang bodoh walaupun bergelar Datuk.
“Orang tengah susah, kita datang membantu untuk meringankan kesusahan mereka atas dasar kemanusiaan. Namun, kita pula yang dihentam dan dituduh tanpa usul periksa,” tuturnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/saya-terbabit-dengan-misi.html