Saya Tahu Dosa Pahala
“SAYA bukanlah jahil sangat. Saya tahu juga dosa dan pahala, namun apa boleh buat saya terpaksa dapatkan duit yang banyak membiayai kos guaman untuk mendapatkan wali hakim," kata remaja dikenali Wati, 18.
Dia bersama pasangannya berusia 24 tahun ditahan dalam operasi bersepadu yang dilancarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM daerah membabitkan kerjasama Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam daerah dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), 1.15 pagi semalam.
Remaja itu yang bersekedudukan dengan tinggal di rumah teman lelakinya di Kampung Balai Besar selama tiga tahun, dikurnia bayi perempuan berusia setahun setengah, hasil hubungan terlarang.
Turut ditahan di rumah terbabit ialah anak saudara perempuan teman lelakinya, berusia 14 tahun bersama pasangannya berusia 18 tahun yang berasal dari Kuala Terengganu.
Wati berkata, dia berasal dari Kuala Terengganu dan mengenali teman lelakinya itu sejak empat tahun lalu sebelum mengambil keputusan mengikut teman lelakinya itu.
"Saya mengaku dilahirkan sebagai anak luar nikah dan tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah yang menyebabkan saya tertekan.
"Selepas mengenali teman lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan, saya mengikutnya sambil berharap agar dia menjadi tempat saya berlindung," katanya.
Katanya, dia dan teman lelakinya itu sering memikirkan kehidupan songsang mereka, namun telah beberapa kali meminta bantuan rakan-rakan supaya mereka dapat berkahwin.
"Saya tidak mempunyai wali dan rakan-rakan memaklumkan saya perlu melantik peguam untuk mendapatkan wali hakim dan terpaksa menyediakan wang yang banyak bagi membiayai kos guaman.
"Saya mana ada kerja, teman lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu, tambahan pula kami tidak tahu jabatan mana harus kami meminta bantuan," katanya.
Wati berkata, dia tetap bersyukur biarpun teman lelakinya itu seorang penagih dadah, namun teman lelakinya itu tidak pernah mencuri untuk mendapatkan dadah.
"Dia (teman lelaki) ada sifat bertanggung jawab dan sering mencari kerja dan menanggung makan minum saya dan anak," katanya.
"Kami berjanji sekiranya sudah bernikah, dia akan berhenti menagih pil kuda dan kami mahukan kehidupan sempurna seperti orang lain," katanya.
Wati berkata, dia berharap ada pihak yang sudi membantunya agar mereka berdua dapat berkahwin dan tidak mahu lagi hidup bergelumang dengan dosa.
Dalam operasi itu, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia negatif dadah, manakala teman lelakinya positif Methamphetamine.
Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Naufal Yusof berkata, kes pasangan itu diserahkan kepada AADK dan Pejabat Agama Daerah untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi yang bermula 12.30 malam dan berakhir 3.30 pagi itu turut menahan janda berusia 34 tahun yang juga kakak kepada teman lelaki gadis terbabit.
"Janda itu ditahan bersama pasangannya berusia 34 tahun berasal dari Kuala Terengganu dalam serbuan di rumah di Kampung Sura Hujung, pada 12.30 tengah malam.
"Ujian air kencing yang dilakukan, kedua-dua mereka turut positif dadah Methaphatamine dan kes itu diserahkan kepada AADK dan Pejabat Agama untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi membabitkan seramai 25 anggota itu turut menahan dua gelandangan berusia 30 dan 60 tahun untuk diambil keterangan.
sumber
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://aadkselangor.blogspot.com/2019/02/saya-tahu-dosa-pahala.html