Sarawak Benar Solat Jemaah Di Masjid Surau Bersyarat Bermula Esok
  Bernama

Mulai 12 Jun Sarawak membenarkan solat Jumaat seramai 100 jemaah dan 40 bagi 
solat 5 waktu di masjid negeri.KUCHING: Solat 5 waktu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan  dengan syarat di Sarawak mulai esok, sementara solat Jumaat pula bermula  12 Jun ini dengan jumlah jemaah dihadkan di antara 20 orang dan 100  orang pada satu-satu masa.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Misnu Taha hari ini berkata  keputusan itu dibuat selaras dengan pelaksanaan perintah kawalan  pergerakan pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin semalam.
“Mulai 12 Jun, Masjid Jamek (masjid negeri) kita benarkan 100 orang  jemaah untuk solat Jumaat dan untuk sembahyang (5) waktu harian, kita  benarkan 40 orang,” katanya semasa mengumumkan kebenaran itu di pejabat  Mufti Negeri Sarawak di sini hari ini.
Menurutnya masjid bahagian, daerah dan daerah kecil di negeri ini  pula dibenarkan sehingga 50 orang jemaah untuk mengerjakan solat Jumaat  dan sehingga 40 orang bagi solat 5 waktu.
“Masjid kariah dan surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat,  kita izinkan 50 orang jemaah dan 40 orang jemaah untuk solat 5 waktu,”  katanya, sambil menambah surau lain di seluruh Sarawak pula dibenarkan  sehingga 20 orang jemaah untuk solat 5 waktu.
Misnu berkata, Majlis Islam Sarawak menyerahkan kepada jawatankuasa  masjid dan surau dalam memilih jemaah untuk bersolat bersama di premis  masing-masing dan mereka juga hendaklah memastikan jemaah yang datang  sentiasa mematuhi peraturan PKPP yang ditetapkan.
“Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) juga akan pergi ke beberapa  tempat di seluruh negeri untuk memantau hal ini dan setakat (PKP  bersyarat atau PKPB) ini, kita bersyukur kerana jemaah kita mengikut  prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, mufti Sarawak, Kipli Yassin berkata, Majlis Islam  Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak akan menyebar luaskan lagi  makluman berhubung peraturan yang perlu dipatuhi jemaah semasa  mengerjakan ibadat solat mereka di masjid dan surau.
   Katanya, umat Islam di negeri ini juga boleh mendapatkan maklumat ini  di Bahagian Kemajuan Institusi Masjid, JAIS di sini atau di pejabat  JAIS di semua bahagian di negeri ini.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/sarawak-benar-solat-jemaah-di-masjid.html