Sarapan Di Warung Mesin Jahit Julie
Assalamualaikum...
GARA-GARA posting Wak Warisan Petani bersarapan di Warung Mesin Jahit, Sk telah mengajak Pak Inche untuk bersarapan juga di sini kerana tergoda dengan Lontong Laut yang dimakan bersama sate. Bukan lontong semata yang membawa Sk ke sini tetapi keunikan warung ini yang juga dikenali sebagai Warung Mesin Jahit kerana menggunakan kaki mesin jahit lama sebagai kaki meja malah ada meja masih dikekalkan kedudukan mesin jahit di tengahnya siap benang lagi. Alah, macam mak-mak kita dulu, lepas jahit kan mesinnya disimpan ke dalam, haaaaaaaa.. macam tulah, unik sungguh!
Tak semua meja masih menyimpan mesin jahit di bahagian bawah meja ya, tak silap Sk rasanya ada dua biji sahaja iaitu yang berjenama Singer (menurut kata Wak) dan Raleigh. Sk bernasib baik kerana dapat duduk di meja yang ada mesin jahit. Kiranya meja yang samalah dengan wak duduk hari tu, hahaha. Tak dapat nak ambil gambar mesin singer sebab ada orang lain duduk situ pulak lepas gambar ni diambil
Pak Inche nak makan Nasi Lemak tapi dah habis pulak nasib baik ada Bihun Soto. Sk pilih Lontong Kuah bersama sate ayam dan daging. Masa kami sampai orang pun tak berapa ramai, SK tak tahu sama ada warung ni viral atau tidak sebab masa tu pun dah pukul 10 pagi. Mungkin ramai pada sebelah pagi tadi, kan.. kalau tak, takkanlah nasi lemak boleh habis. Pelayan yang mengambil pesanan pun murah dengan senyuman dan bersabar melayan kerenah kami nak sambal lebih lah pulak, hahaha
Lontong Kampung tapi tetap sedap dengan sayur lodeh yang tidak terlalu pekat atau cair santannya dimakan bersama sambal tumis. Sate yang dihidangkan kepada pelanggan telah dibakar siap dan mungkin dibekalkan oleh pembekal sate lain. Satenya sedap dan lembut walaupun dah tak panas masa dihidangkan.Sk lupa pulak nak tanya harga sate di sini dan juga harga set lontong sate ni. Orang kaya memang begitu.
Bihun Sotonya bolehlah.. supnya biasa aje tak boleh lawan Soto Skudai, hehehe. Apa taknya, soto Skudai isi-isi ayam, tulang kulit semua ada dalam mangkuk, kan. Pak Inche lah yang kata, dia memang suka sangat Soto Skudai tu, bagi Sk biasa aje.
Harga makanan yang kami bayar untuk Semangkuk Lontong Sate, Semangkuk Bihun Soto, Sepuluh Cucuk Sate, Segelas Teh O dan Segelas Air Suam hanya RM18.
Untuk ke sini, daripada Lebuhraya Utara Selatan, keluar ke Plaza Tol Ayer Hitam, belok kiri, dalam 1 km anda akan nampak BHP Petrol di sebelah kanan. Okey, jalan terus sikit, dalam 400 meter di sebelah kiri anda akan nampak Warung Julie (masuk ke dalam sikit jer, bukan tepi jalan betul)
Selamat bersarapan
Warung JulieLorong Haji Surif86100 Ayer Hitam, Johor
Buka Selasa hingga Ahad (Isnin tutup)7.00 pagi hingga 12 tengahari
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sariyusa.blogspot.com/2019/07/sarapan-di-warung-mesin-jahit-julie.html