Sahabat Bukan Sahaja Menerima Kelebihan Tetapi Juga Menerima Segala Kekurangan Kita
Maafkan diri ini kerana aku bukanlah sahabat yang terbaik kerana aku terlalu banyak kelemahan dan kesilapan terhadap semua samada sedar mahu pun tidak. Aku hanya ingin mengingatkan diri sendiri dan para sahabat mengenai kemesraan sebab kalianlah sahabatku.Ucapan salam tetap jadi sapaan dari ku untuk para sahabat sekelian meskipun tanpa sahutan, namun hanya itu sahaja yang termampu dari ku sebagai tanda ingatan.Ku tak berkecil hati dan tak pernah rasa kecewa, jauh sekali dari mengata dan bersifat berdendam.
Sahabat ibarat mentari yang menyinar, bayu yang berhembus dan embun yang menyegarkan.Sahabat sejati menjadi pendorong impian.Sahabat mulia pembimbing jalan.Dalam persahabatan, kita harus saling mempercayai, saling menghargai, saling menghormati, dan saling membantu kerana kunci persahabatan adalah kejujuran, keterbukaan, dan saling menyayangi satu sama lain.Kasih sayang sahabat itu umpama air mengalir kadangkala terhenti, adakalanya terus mengalir tanpa menemui titik akhirnya .Sahabat adalah insan yang selalu ada di samping kita di masa suka ataupun duka.
Sahabat bukan sahaja menerima kelebihan tetapi juga menerima segala kekurangan kita.Sahabat sentiasa menghargai semangat setia kawan di masa kita memerlukan pertolongan.Semoga persahabatan itu tidak hanya erat diluahan kata manis di bibir tetapi di hati tidak mempunyai sebarang makna.Persahabatan yang luhur adalah lahir dari keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan.Persahabatan yang didasari dengan keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan akan melahirkan perasaan kasih sayang yang berpanjangan.Jagalah yang ada, tambah lagi yang dicari tetapi jangan sampai mencari yang lain hilang pula yang sedia ada.
Maka peliharalah hubungan persahabatan supaya jangan sampai sahabat yang telah lama kita kenali hilang dari hidup kita.Kehilangan sahabat akan membuat kita kesal dan sesal yang teramat sangat.Terima kasih sahabat kerana hadir bila aku memerlukan seorang teman.Terima kasih kerana hadir bila aku kesedihan dan terima kasih kerana mengembirakan aku.Aku sayang sahabat semua, tanpa sahabat siapalah aku.
Tokwan Matarun
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://belogsjm.blogspot.com/2024/09/sahabat-bukan-sahaja-menerima-kelebihan.html