Sabah Tuan Rumah Empat Penjuru Jemputan Asean
Sabah tuan rumah Empat Penjuru Jemputan Asean
Sabah tuan rumah Empat Penjuru Jemputan Asean
Sabah akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Jemputan Asean di Stadium Likas pada 15-16 Disember depan.
Kejohanan itu melibatkan pasukan Tuak FC Indonesia, Thonburi Inter FC Thailand, serta Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei dan Sabah.
Sabah akan diwakili pasukan kelab SS90'S selaku penganjur kejohanan yang dibarisi bekas pemain Sabah pada tahun 1990-an dan beberapa pemain jemputan.
Presiden SS90'S yang juga pengerusi penganjur, Mohd Hashim Hamzah, berkata semua persiapan melaksanakan kejohanan itu berjalan lancar.
"Persiapan pasukan untuk menghadapi kejohanan ini juga berjalan lancar," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.
Jelas Hashim, kejohanan itu adalah sebagai membalas jemputan Indonesia kepada SS90'S menyertai Kejohanan Tujuh Sebelah Starbol di Jakarta pada 2016.
"SS90'S adalah juara pada kejohanan di Jakarta dan kami akan manfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai tuan rumah untuk mempertahankan gelaran juara itu nanti.
"Bukan tugas mudah kerana kesemua pasukan lawan dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan mereka tetapi kami sudah bersedia akan cuba yang terbaik," tambah Hashim.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM100,000 di mana juara akan menerima RM50,000, kedua RM30,000, ketiga RM20,000 dan keempat RM10,000.
"Orang ramai dialu-alukan datang menyaksikan kejohanan ini. Tiada bayaran masuk dikenakan malahan orang ramai bukan sahaja dapat menyaksikan aksi bekas pemain kebangsaan pasukan yang mengambil bahagian dan bekas pemain negeri ini tetapi juga berpeluang membawa pulang hadiah menerusi cabutan tiket bertuah.
"Cabutan tiket bertuah ini juga diedarkan secara percuma dan banyak hadiah lumayan disediakan termasuklah sebuah kereta Myvi, 30 buah motosikal dan 50 buah basikal."
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2018/11/sabah-tuan-rumah-empat-penjuru-jemputan.html