S Norhaliza Bantu Peminat Hingga Berjaya Xsecara Langsung Hebat
Ridzuan Khalid berterima kasih kepada Siti Nurhaliza.
HALAMAN HIBURAN
“Terima kasih Tok Ti” - Pelajar genggam Sarjana kerana kuih bangkit dipromosi Siti Nurhaliza.
SEORANG pemuda Ridzuan Khalid berterima kasih kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menjadi individu penting dalam perjalanannya mengenggam Ijazah Sarjana Pengurusan Hospitaliti di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ridzuan, 34, menganggap pertolongan kecil penyanyi wanita itu dalam mempromosikan kuih bangkit ibunya secara tidak langsung membantu dia untuk meneruskan pengajian selama lebih setahun itu.
“Alhamdulillah, saya konvo pada Ahad lepas dan walaupun saya hadir seorang diri pada majlis konvokesyen itu tapi sebenarnya ramai orang di belakang saya yang banyak membantu.
“Salah seorang ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mempromosikan kuih bangkit saya sekitar tahun 2016 ketika itu permulaan saya berniaga untuk mendapatkan pendapatan sampingan,” ujarnya kepada mStar Online.
Ridzuan diminta mengulas hantaran perkongsian statusnya di Instagram kepada penyanyi lagu Anta Permana yang menjadi perhatian netizen. Pemuda mendedahkan kisah dirinya di laman sosial.
Sementara itu, mengimbau peristiwa berkenaan, Ridzuan berkata, dia memulakan bisnes tersebut dengan niat mencari pendapatan sampingan menerusi air tangan ibunya. Katanya, dia meminta ibunya membuat kuih tersebut untuk dijual secara dalam talian di sekitar Lembah Klang.
“Ceritanya saya minta ibu iaitu Opah Safiah untuk buat kuih sebab saya tahu dia pandai buat kuih yang sedap. Pada awalnya dia enggan dan tidak percaya orang suka dengan kuih yang dia buat. Tapi saya yakinkan dia kerana niat saya untuk cari duit belajar sahaja.“Saya ulang alik dari Kuala Lumpur ke Bera, Pahang setiap minggu untuk tolong dia menguli dan bawa balik kuih-kuih itu ke sini untuk dijual,” ujarnya.
Ridzuan (tengah) bersama ibu dan ayahnya.
Tambahnya, suatu hari seorang kawan memberitahu akan bertemu dengan penyanyi kesayangannya itu dan dia mengambil peluang untuk memberi kuih tersebut kepada Siti sebagai hadiah. Katanya, dia tidak meminta atau mengharapkan penyanyi itu membuat sebarang promosi sebaliknya hanya hadiah ikhlas daripada seorang peminat.
“Saya memang peminat beliau tapi saya tidak pernah berkesempatan untuk berjumpa Siti secara dekat jadi bila ada kawan kata nak jumpa, saya minta kawan sampaikan kuih saya sebagai hadiah.
“Bagi saya kalau beliau rasa kuih itu sahaja saya sudah berbesar hati. Kemudian keesokannya ketika dalam kelas, telefon saya tiba-tiba mendapat banyak notification.
“Menggigil lutut bila saya tengok beliau post dan promosi kuih bangkit saya itu,” ujarnya.
Siti turut mengucapkan tahniah kepada Ridzuan.
Ridzuan memberitahu rezekinya datang secara tiba-tiba kesan daripada promosi itu. Tempahan terhadap kuih bangkit ibunya semakin banyak sehingga tidak menang tangan. Katanya, pendapatan itu digunakan sejak setahun lalu untuk menampung pengajian dan sebahagian digunakan untuk tujuan amal.
“Alhamdulillah rezeki tak putus-putus sampaikan saya terpaksa tolak kerana tidak cukup tangan, kasihan dekat ibu saya kerana kesihatan dia juga tidak berapa baik.
“Selepas itu, Siti ada meminta untuk membuat tempahan kuih tersebut tapi saya bagi sahaja dan kali ini saya hantar betul-betul dekat pintu pagar rumah beliau.
“Kemudian dia promo lagi kuih bangkit itu. Beliau juga ada bagi video puji kuih itu sedap dan saya tunjuk pada ibu, dia terharu hingga menangis. Sekarang satu kampung sudah tahu tentang perkara itu,” ujarnya.
Siti bersama suaminya Datuk Seri Khalid dan anak Aafiyah
Bagaimanapun, Ridzuan berkata, dia kini terpaksa menghentikan perniagaan itu atas sebab kesihatan ibu-bapanya. Dia yang kini sudah bertugas sebagai pensyarah di sebuah Kolej Komuniti menyimpan harapan untuk memajukan perniagaan tersebut suatu hari nanti.
“Kali terakhir kami buat untuk Hari Raya Aidilfitri lalu dalam 3,000 balang. Buat masa ini kami berehat kerana ayah saya diserang mild stroke dan ibu perlu menjaga ayah.
“Saya cuti bekerja selama dua tahun belajar dan setelah tamat pengajian saya kembali bekerja sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Rompin,” ujarnya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Suatu kisah tauladan yang baik perlu dicontohi. Seorang pemuda yang bijak memanfaatkan suasana dalam membantu cita-cita dan keluarganya.
Bagi Siti pula, beliau yang tidak secara langsung menggunakan 'pepular'nya membantu peminat hingga berjaya. Pun suatu contoh yang baik buat artis atau selebriti dalam membantu orang ramai dan peminatnya. Hebat dan tahniah Siti!
Al-hamdulillah!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2018/10/snorhaliza-bantu-peminat-hingga-berjaya.html