Rumah Timbalan Imam Besar Musnah Terbakar
Oleh NUR ANATI JUHARI AZMITA Ahmad melihat keadaan rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Perik, Kuala Nerang, Padang Terap semalam. - UTUSAN/NUR ANATIKUALA NERANG: Sebuah rumah milik Timbalan Imam Besar Masjid Zahir, Alor Setar musnah dalam kebakaran di Kampung Perik di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu mengakibatkan seluruh rumah tersebut dan dua kereta serta sebuah motosikal terbakar.
Mangsa, Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar, 39, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah dan hanya isteri serta dua anaknya yang berusia setahun dan tiga tahun di rumah.
“Ketika kejadian saya sedang mengajar di Masjid Kuar Jawa, Alor Janggus dan hanya terima panggilan telefon daripada ayah yang tinggal berdekatan.
“Sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian itu, saya terus bergegas pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Perik di sini hari ini.
Dalam pada itu, isterinya, Azmita Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas dapur sebelum menyedari api di ruang tengah rumah.
“Saya terus ambil dua anak dan keluar rumah tanpa sempat menyelamatkan apa-apa dokumen penting atau barangan lain kerana rumah ini keseluruhannya dibina dengan kayu.
“Saya juga tidak pasti api berkenaan dari mana, tambahan ketika kejadian juga sedang hujan lebat dan kilat,” katanya.
Tambahnya, ia sedikit memberi kesan trauma, namun bersyukur terselamat walaupun rumah tersebut baharu sahaja diduduki selama setahun.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, kebakaran berkenaan telah memusnahkan keseluruhan rumah dan kenderaan.
“Dua kereta jenis Volvo serta motosikal jenis Honda turut musnah keseluruhan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/rumah-timbalan-imam-besar-musnah.html