Rumah Terbakar 10 Beranak Menumpang Di Balai Raya
Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
YAHAYA Rani sedih melihat keadaan rumahnya yang hangus dijilat api seminggu lalu ketika ditemui di Kampung Payoh di Kijal Kemaman. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN KEMAMAN: Sepasang suami isteri dari Kampung Payoh, Kijal di sini terpaksa membawa tiga anak bersama lima cucunya tinggal di balai raya kampung itu selepas kediaman mereka yang berusia lebih 40 tahun hangus dijilat api, Sabtu lalu.
Menurut Yahaya Rani, 70, mereka 10 beranak tiada ikhtiar lain untuk mencari tempat berteduh kerana ketiadaan wang untuk menyewa mahu pun membina semula rumah yang musnah.
Dia yang merupakan penjual air tebu berkata, mereka kini hanya bergantung kepada bantuan jiran dan orang ramai yang menyumbangkan pakaian serta barangan makanan.
“Setiap kali pandang muka isteri, Fatimah Hamzah, 60, di samping anak dan cucu, hati saya sebak kerana mereka terpaksa tinggal di balai raya menjelang hari raya Aidilfitri.
“Isteri menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sejak 10 tahun lalu, jadi penglihatannya berkurangan selain tidak dapat berjalan jauh kerana lutut yang sakit dan mudah pening,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Yahaya, kebakaran terlalu pantas dan mereka tidak sempat menyelamatkan pakaian raya anak-anak dan cucu yang baharu dua hari dibeli.
Sementara itu, anaknya Norlelawati, 34, berkata, ketika kejadian dia bersama adik-beradik lain dengan dibantu jiran cuba memadamkan api, namun gagal kerana keadaan api yang marak.
“Kami cuba sedaya-upaya untuk memadamkan kebakaran tetapi, api merebak sangat cepat. Habis semua dokumen pengenalan hangus tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menyumbangkan ke akaun RHB milik Yahaya di 11302900257576. – UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/rumah-terbakar-10-beranak-menumpang-di.html