Rumah Kopi Sogama Pontian
Khamis | 29.12.2022
Rumah Kopi Sogama yang terletak di Rimba Terjun, Pontian, Johor ni cuma berjarak sekitar 2 km saja dari rumah Mak saya. Tapi sejak kewujudannya, saya sendiri tak pernah mencuba makan di sini dek keterbatasan masa setiap kali balik kampung. Waktu operasinya bermula pula agak lewat, jadi selalu saja tak kena dengan masa saya
Alhamdulillah, akhirnya saya dan encik suami berkesempatan ke sini. Kami datang bertiga bersama seorang kakak saya. Ajak Mak ikut bersama, tapi Mak tak berminat nak keluar petang hari
Apa yang menarik tentang Kedai Kopi Sogama ni? Jom kita tengok…
Lokasi kedainya terletak di lot tanah bersebelahan Sekolah Agama Rimba Terjun. Malah tembok sekolah yang tertera nama sekolah turut menghadap tepi kedai. Loghat tempatan menyebut sekolah agama sebagai ‘sogama’ (cara sebut : so ga me), mungkin daripada perkataan tersebut Rumah Kopi Sogama mendapat nama
Sedikit memori berkenaan sogama pada zaman kanak-kanak saya sekitar lewat tahun 80-an. Berkenaan Sekolah Agama Rimba Terjun, saya sendiri pernah bersekolah di sekolah ini tetapi bukan di lokasi sekarang. Masa tu sekolah agama yang berlangsung pada waktu petang masih lagi menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Rimba Terjun. Sempatlah setahun saya di Sekolah Agama Rimba Terjun
Disebabkan saya bersekolah kebangsaan di STMI (1) iaitu sekolah yang mengamalkan sistem bergilir setahun pagi dan setahun petang dengan STMI (2), jadinya sekolah agama pun kenalah bergilir setahun pagi dan setahun petang. Hal ini membuatkan saya bersekolah agama di beberapa buah sekolah. Kalau sekolah agama kena giliran pagi, saya perlu ke sekolah agama di bandar (satu-satunya yang menawarkan sesi pagi pada masa tersebut). Kalau giliran petang, saya pernah bersekolah di Sekolah Agama Rimba Terjun dan Sekolah Agama Rambah. Seronok berpeluang sekolah di beberapa tempat ni tau, kita akan dapat ramai kawan-kawan baru. Lagi pula sekolah agama ni tak tertakluk kepada umur, jadinya kita akan bergaul dengan kawan-kawan pelbagai usia di dalam satu kelas
Berbalik cerita Rumah Kopi Sogama, beginilah suasana di ruang hadapan kedai. Memang nampak sangat menarik! Ada beberapa pilihan ruang untuk kita menjamu selera di kedai makan ini. Kalau suka suasana santai, meriah dan ruangan terbuka, bolehlah duduk di bahagian luar kedai
Di luar juga terdapat beberapa buah gerai kecil yang menurut saya ia disewakan kepada peniaga lain. Kalau nak membeli makanan dari gerai, perlu pergi ke gerai tersebut dan buat pesanan makanan sendiri. Makanan di gerai tiada dalam senarai menu yang diberi untuk kita membuat pesanan makanan
Siap ada pokok tumbuh segar di tengah meja. Idea yang menarik
Ini pula antara pilihan ruang makan di dalam kedai. Ada satu lagi ruang selepas pintu masuk, lebih menarik suasananya. Tapi saya tak merakam sebarang foto kerana segan pula ramai pengunjung sedang menikmati hidangan di ruang tersebut
Sudut yang menarik, dekorasi yang menggamit memori masa lalu - dinding separa batu & kayu dan jeriji besi rekaan lama. Nampak laluan tar di luar sana? Itulah laluan ke bangunan sekolah agama yang terletak di belakang kedai makan
Ini pula ruang makan paling belakang. Kami memilih makan di sini. Dekorasi ringkas yang sedap mata memandang. Juga ada gantungan pokok Pothos a.k.a. Money Plant yang membuatkan ruang ini mendapat sedikit sentuhan segar
Dari sudut ini juga, kita dapat menyaksikan para pekerja kedai sedang sibuk menyiapkan hidangan
Hidangan kami bertiga. Minuman tu boleh pilih nak plain atau sweet
Alhamdulillah tak rugi mencuba. Makanan dan minuman semuanya memenuhi cita rasa
Harga makan kami bertiga. Sangat berpatutan
Rumah Kopi Sogama - tempat makan dengan dekorasi menarik, bersih, layanan pantas dan hidangan yang memuaskan selera. Walaupun tak banyak pilihan makanan ditawarkan semasa kunjungan saya ke sini (hanya hidangan makanan Barat kecuali jika kita membeli dari gerai di bahagian luar kedai), tapi saya rasa puas hati. Kalau banyak pilihan, tapi servis lambat pun tak seronok juga pelanggan nak datang mengulang makan
Alhamdulillah, saya turut rasa seronok sebab ada juga tempat makan yang menarik dan bagus di kampung saya ni. Kalian ada ke Pontian? Bolehlah mencuba makan di Rumah Kopi Sogama ni. Ia terletak di sebelah kiri jalan menuju ke Tanjung Piai - Penghujung Benua Asia. Boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Rumah Kopi Sogama
———————————————————————-
RUMAH KOPI SOGAMA(Sebelah Sekolah Agama Rimba Terjun)Jalan Kukup, Kampung Rimba Terjun,Pontian, Johor
Waktu operasi :4 petang - 11 malamSetiap hari, kecuali Rabu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/01/rumah-kopi-sogama-pontian.html