Rosnani Luah Suka Duka Anak Seni Jalan Ampas Dalam Showtime 1958
Ramieza Wahid  
    Melalui Showtime 1958, seniwati Rosnani Jamil berkongsi  kenangannya bersama arwah suami Jamil Sulong serta rakan-rakan  seperjuangan lain dalam menempuhi suka duka sebagai anak seni suatu  ketika dulu.
Sebagai individu yang melihat sendiri peristiwa yang  berlaku, Rosnani terpanggil untuk berkongsi kisah itu dengan khalayak  masa kini.
“Saya berada di kejadian dan melihat bagaimana anak seni hidup susah memperjuangkan karier muzik mereka.
“Banyak  peristiwa yang berlaku, kami (anak seni) kekurangan duit, tidak tahu  bagaimana hendak perjuangkan seni lagi," katanya ketika ditemui di  majlis pelancaran filem Showtime 1958 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur semalam.
Ia  merupakan filem yang diinspirasi daripada kisah benar artis-artis  Studio Jalan Ampas Singapura, antaranya Allahyarham P Ramlee, Saloma dan  Aziz Satar.
Menampilkan pelakon seperti Bell Ngasri, Shah Iskandar dan Fatin Afifah, Showtime 1958 hasil cetusan idea Rosnani dan diarahkan anaknya iaitu Anwardi Sulong.

Antara peristiwa yang bakal diceritakan kembali dalam filem itu ialah bagaimana lagu popular Selamat Hari Raya dendangan Ahmad Jais dicipta dan kaitannya dengan perjuangan anak seni Jalan Ampas.
Menurut  Rosnani, 83, lagu raya popular nukilan suaminya dan P Ramlee itu  dicipta secara 'kebetulan' dan hanya mengambil masa sepuluh minit.
“Lagu  Selamat Hari Raya itu dicipta secara unik, kerana masa itu kami ada  show tapi tiada lagu sebab P Ramlee lupa nak buat untuk persembahan.
“Jadi  Ramlee panggil arwah abang (Jamil) dan tanya nak buat lagu apa, mereka  pun pergi dalam masa sepuluh minit sebelum kembali dengan lagu Selamat  Hari Raya,” katanya.

Katanya,  lagu tersebut dibuat untuk menyokong pekerja filem yang membuat mogok  pada Hari Raya ketika itu, untuk menuntut gaji yang lebih munasabah.
Mogok  tersebut melibatkan pekerja studio Malay Film Productions (MFP) - nama  rasmi studio Jalan Ampas - yang bermula sekitar Mac 1957 dan berlarutan  sehingga Hari Raya tahun itu pada 1 Mei 1957, katanya lagi.
“(Menerusi Showtime 1958)  Kami menggabungkan beberapa kisah daripada saya dan arwah abang (Jamil  Sulong), agar anak-anak muda dapat mendengar kisah daripada kami  sendiri,” katanya.
Rosnani berharap ada pihak lain yang turut  berminat menerbitkan filem sejarah seperti itu sebagai penghargaan  kepada karyawan terdahulu.
“Jika orang sudi buat cerita sejarah  macam ini, ia satu peringatan buat veteran seperti kami dan seniman yang  telah tiada. Ia sedikit sebanyak buat saya terharu kerana masih ada  orang yang mengingati kesusahan kami terdahulu,” katanya lagi. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/rosnani-luah-suka-duka-anak-seni-jalan.html