Rosnani Luah Suka Duka Anak Seni Jalan Ampas Dalam Showtime 1958
Melalui Showtime 1958, seniwati Rosnani Jamil berkongsi kenangannya bersama arwah suami Jamil Sulong serta rakan-rakan seperjuangan lain dalam menempuhi suka duka sebagai anak seni suatu ketika dulu
Sebagai individu yang melihat sendiri peristiwa yang berlaku, Rosnani terpanggil untuk berkongsi kisah itu dengan khalayak masa kini
“Saya berada di kejadian dan melihat bagaimana anak seni hidup susah memperjuangkan karier muzik mereka.“Banyak peristiwa yang berlaku, kami (anak seni) kekurangan duit, tidak tahu bagaimana hendak perjuangkan seni lagi," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Showtime 1958 di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur semalam.Ia merupakan filem yang diinspirasi daripada kisah benar artis-artis Studio Jalan Ampas Singapura, antaranya Allahyarham P Ramlee, Saloma dan Aziz Satar
Menampilkan pelakon seperti Bell Ngasri, Shah Iskandar dan Fatin Afifah, Showtime 1958 hasil cetusan idea Rosnani dan diarahkan anaknya iaitu Anwardi Sulong
Antara peristiwa yang bakal diceritakan kembali dalam filem itu ialah bagaimana lagu popular Selamat Hari Raya dendangan Ahmad Jais dicipta dan kaitannya dengan perjuangan anak seni Jalan Ampas.
Menurut Rosnani, 83, lagu raya popular nukilan suaminya dan P Ramlee itu dicipta secara 'kebetulan' dan hanya mengambil masa sepuluh minit
“Lagu Selamat Hari Raya itu dicipta secara unik, kerana masa itu kami ada show tapi tiada lagu sebab P Ramlee lupa nak buat untuk persembahan.“Jadi Ramlee panggil arwah abang (Jamil) dan tanya nak buat lagu apa, mereka pun pergi dalam masa sepuluh minit sebelum kembali dengan lagu Selamat Hari Raya,” katanya.
Katanya, lagu tersebut dibuat untuk menyokong pekerja filem yang membuat mogok pada Hari Raya ketika itu, untuk menuntut gaji yang lebih munasabah
Mogok tersebut melibatkan pekerja studio Malay Film Productions (MFP) - nama rasmi studio Jalan Ampas - yang bermula sekitar Mac 1957 dan berlarutan sehingga Hari Raya tahun itu pada 1 Mei 1957, katanya lagi
“(Menerusi Showtime 1958) Kami menggabungkan beberapa kisah daripada saya dan arwah abang (Jamil Sulong), agar anak-anak muda dapat mendengar kisah daripada kami sendiri,” katanya.Rosnani berharap ada pihak lain yang turut berminat menerbitkan filem sejarah seperti itu sebagai penghargaan kepada karyawan terdahulu
“Jika orang sudi buat cerita sejarah macam ini, ia satu peringatan buat veteran seperti kami dan seniman yang telah tiada. Ia sedikit sebanyak buat saya terharu kerana masih ada orang yang mengingati kesusahan kami terdahulu,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediaviralnet.blogspot.com/2019/07/rosnani-luah-suka-duka-anak-seni-jalan.html