Rohingya Beri Betis Nak Paha
Wan Noor Hayati Wan Alias                                                                                                                                                                                                                                                                                          Norasyikin Abdul Ghani 
KUALA LUMPUR- Kerajaan sewajarnya memperlihatkan ketegasan  dalam isu tuntutan etnik Rohingya untuk masuk ke negara ini dan mendapat  hak sama rata yang diibaratkan  ‘beri betis hendak paha.’
 Ketua Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI),  Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, kerajaan wajar mengutamakan  kepentingan rakyat di negara ini terlebih dahulu.
 Katanya, sebahagian rakyat di negara ini tidak selesa apabila  dimaklumkan Persatuan Rohingya Kedah/Perlis bahawa lebih 1.5 juta etnik  Rohingya menunggu masa untuk lari ke Malaysia.
 Katanya, masih ramai rakyat di negara ini yang kehilangan pekerjaan,  berhadapan kekangan kewangan dan kesukaran mendapat pekerjaan tambah  pula kesan daripada penularan pandemik Covid-19.
 “Kemasukan etnik itu ketika ini amatlah tidak wajar dan membebankan,  siapa mahu menanggung kos saringan, rawatan, ubatan Covid-19 yang  menelan ribuan ringgit seorang tidak termasuk makan minum, penempatan di  hospital dan kuarantin.
 “Jika dibiarkan pula, kita bimbang wujud kluster baru dalam kalangan  pendatang asing tanpa izin dan pelarian, mungkin perlu tempatkan mereka  di pulau yang terasing daripada rakyat tempatan.
 “Kita masih bersyukur berada di negara ini kerana jika di luar negara  ada yang membiarkan sahaja pelarian, miskin yang tidak mempunyai  insuran perubatan daripada mendapat rawatan sewajarnya,” katanya dalam  satu kenyataan.
 Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis,  Yussof Ali bahawa kini terdapat lebih 1.5 juta etnik Rohingya di Kem  Tahanan Cox’s Bazar di Bangladesh yang menunggu masa untuk lari ke  Malaysia.
 Seorang lagi pemimpin Rohingya di negara ini, Zafar Ahmad Abdul Ghani  mengeluarkan kenyataan mahu hak sama rata pendidikan dan kerakyatan  penuh di Malaysia buat kesemua pelarian Rohingya yang berada di negara  ini.
 Terdahulu Forum Pembangunan Belia Rohingya di Malaysia merayu  kerajaan negara ini agar tidak menghalau bot yang bawa seramai 202  pelarian etnik Rohingya sebaliknya menahan mereka untuk dikuarantin bagi  menjalani saringan Covid-19.
 Dalam pada itu, Norasyikin berkata, rakyat dinasihatkan mempelajari  sesuatu daripada apa yang berlaku ke atas etnik Rohingya sehingga  menjadi pelarian seperti Palestin.
 Katanya, ia berlaku kerana mereka kalah dengan agama, bangsa dan  negara mereka sendiri. Mereka lemah di tanah tumpah darah mereka  sendiri.
 “Tetapi apa yang ada pada Rohingya? Nak harap konon mereka Islam  sahaja realitinya, mereka lemah, tiada duit, tiada senjata untuk lawan  Myanmar. Mereka telah dikategorikan sebagai bangsa Benggali dan bangsa  Benggali ini ada negaranya sendiri dan Benggali bukan Myanmar.
 “Kehancuran yang telah berlaku kepada Rohingya adalah kerana kerajaan  Myanmar dan majoriti penganut Buddha menolak ketuanan Rohingya.
 “Itulah pelajaran paling besar buat rakyat Malaysia kenapa perlu  mempertahankan agama, bangsa dan negara serta ketuanan Melayu itu  sendiri, tanpa semua itu kita akan terima nasib sama dengan Rohingya,”  katanya.- MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/rohingya-beri-betis-nak-paha.html