Rm600 Juta Untuk Kementerian Kesihatan Tangani Covid 19
PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan RM500 juta akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.
“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio, serta media sosial.
Muhyiddin berkata, peruntukan RM100 juta disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.
“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes COVID-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.
“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID-19”, katanya
Wabak COVID-19 bermula di China pada Disember tahun lepas kini melanda dunia dengan Malaysia turut tidak terkecuali dengan catatan kes pertama dilaporkan pada 25 Jan lepas.
Setakat tengah hari ini, 11 kematian dicatat di Malaysia dengan lebih 1,300 kes dilaporkan positif COVID-19.
Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) itu, Muhyiddin turut ditanya mengenai harga pasaran penutup mulut dan hidung dan kesukaran memperolehnya berikutan kekurangan bekalan peralatan itu.
Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi untuk berbincang dengan pengeluar dan menetapkan harganya mengikut harga kawalan.
“Ini supaya harga yang ditetapkan dengan harga kawalan itu diteliti supaya tidak terlalu tinggi kerana ini adalah situasi krisis dan kita harap pihak yang bertanggungjawab akan memastikan, pertama, pihak kilang mempunyai bekalan yang mencukupi dengan harga berpatutan,” katanya.
Keduanya, kata Muhyiddin terdapat kira-kira lima kilang dalam negara yang mengeluarkan penutup mulut dan hidung meneruskan operasi pengeluaran dan membekalkannya untuk pasaran tempatan.
“Saya dimaklumkan mereka berhadapan dengan sedikit masalah iaitu mendapatkan bahan mentah untuk mengeluarkan penutup itu yang sebahagian besar diimport dari luar negara,” katanya.
Muhyiddin berharap masalah itu akan dapat diatasi dan kapasiti pengeluaran sebanyak dua atau tiga juta keping setiap bulan dapat diusahakan untuk menampung bekalan dalam negara, apatah lagi larangan pengeksportan penutup mulut dan hidung sudah dikuatkuasakan.
Kerajaan juga meluluskan pengimportan 10 juta keping penutup hidung dan mulut dari China.
“Harga yang saya diberitahu adalah RM1.18 sen seunit. Bila sampai, saya nak umum. Kita akan agihkan secara percuma kepada seluruh rakyat yang memerlukan. Itu sumbangan kerajaan dalam krisis yang sedang kita hadapi ini,” katanya.
Mengenai kebimbangan pekerja atau pendatang asing mengenai kadar bayaran ketika membuat saringan kesihatan di hospital kerajaan, Perdana Menteri menegaskan COVID-19 kini menjadi soal keselamatan dan apa yang penting mereka tampil melakukan saringan kesihatan, sekali gus membendung penularan wabak COVID-19.
“Walaupun mereka itu pekerja asing, atau yang diambil majikan... saya minta majikan bagi nasihat, kepada mereka. Di mana-mana mereka tinggal mereka hendaklah dapatkan rawatan yang perlu (jika bergejala), kalau tidak... tinggallah di kediaman masing-masing sampai MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) ini ditamatkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata warga asing memang dikenakan bayaran tertentu namun yang penting mereka mesti mendapatkan rawatan bagi mengelakkan kemudaratan.
Mengenai sama ada kerajaan akan mengawal kadar bayaran ujian saringan COVID-19 yang dikenakan hospital swasta, beliau berkata: “Setakat ini, kita tak kawal kerana memang pun apabila dibuat saringan oleh pihak kerajaan, kita tanggung kos RM700 satu kepala bukan percuma. Jadi swasta perlu tentukan kadar berpatutan dalam 500 dan 600 ringgit mengikut keadaan pasaran.” - Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kakipalu.blogspot.com/2020/03/rm600-juta-untuk-kementerian-kesihatan.html