Rm200 000 Untuk Seekor Harimau Hidup
RM200,000 UNTUK SEEKOR HARIMAU HIDUP
JOHOR BAHRU – Permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik dan harganya yang mahal mencecah sehingga RM200,000 untuk seekor harimau hidup menjadi sebab utama aktiviti pemburuan haram dilakukan di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, selain harimau, beruang serta babi hutan turut dijadikan buruan untuk hidangan di beberapa restoran eksotik di seluruh negeri ini.
“Selain untuk hidangan, haiwan eksotik ini diburu hobi pemburu haram walaupun kegiatan memburu haiwan eksotik sudah diharamkan di Johor termasuk dengan cara menjeratnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Johor, Datuk Md Yusof Ahmad dan Pengarah Jabatan Perhilitan (Perhilitan) Negeri Johor, Salman Saaban.
Katanya, bagi mengekang kegiatan pemburuan haram daripada berleluasa dan diancam kepupusan, polis dan Perhilitan Johor melakukan operasi dengan memeriksa 34 restoran di seluruh negeri yang menjual dan menyimpang haiwan eksotik.
Beliau memberitahu, menerusi pemeriksaan di semua premis dari Ogos hingga Oktober lalu, 16 pemburu haram ditahan bersama-sama rampasan melibatkan pelbagai daging makanan eksotik.
Jelasnya, terdapat 27 restoran di seluruh negeri mempunyai lesen menjual hidangan eksotik seperti daging biawak dan babi hutan tetapi terdapat segelintir yang menjual daging haiwan eksotik lain secara haram.
Ayob Khan berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 60(1) Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010, Akta Imigresen dan Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan dan semuanya sudah dikenakan hukuman.
Sementara itu, Salam berkata, harimau merupakan paling tinggi permintaan dalam kalangan penggemar daging haiwan eksotik untuk tujuan perubatan termasuk menguatkan tenaga batin walaupun perkara itu masih belum dibuktikan secara saintifik.
“Harga untuk semangkuk sup daging harimau atau beruang antara RM200 hingga RM300. Biasanya pemilik restoran eksotik akan mendapat permintaan atau tempahan pelanggan untuk daging haiwan eksotik yang dimahukan sebelum diburu,” katanya.
Tambahnya, harimau merupakan haiwan paling diancam kepupusan dan satu kajian populasi sedang dilakukan National Tiger Survey ketika ini.
Ditanya mengenai tahap serius kegiatan pemburuan haram di negeri ini, beliau berkata, semuanya bergantung kepada operasi dilakukan selain aduan orang awam termasuk risikan yang dilakukan pihaknya. – JT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://johortimes.my/2020/11/rm200000-untuk-seekor-harimau-hidup/