Resepi Daging Goreng Bersama Pucuk Paku Campak Campak
Resepi Daging Goreng Bersama Pucuk Paku Campak-Campak | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Lebih kurang jam 7.30 pagi tadi Sha keluar membeli bahan basah untuk masak tengah hari. Memandangkan Sha sekeluarga baru sahaja selesai kuarantin maka stok lauk pauk di dalam peti ais dah hampir habis. Tambah pula seminggu berkuarantin, seminggu jugalah kami makan lauk ayam. Bosan kan?
Jadi pagi tadi Sha beli daging segar dan empat ekor ketam. Daging memang dalam kepala, tapi ketam tu kebetulan ada, maklumlah ini bukan kedai basah besar cuma sebuah lori kecil yang jual barang basah tak semua barang ada. Mudah kan? Berjiran dengan peniaga barang basah. Alhamdulillah tak perlu keluar jauh ke pasar kalau setakat nak masak di rumah.
Untuk ketam memang Sha dah chop nak masak kari ketam jadi daging Sha nak goreng kunyit sahaja. Lama benar rasanya Sha tak masak daging goreng kunyit. Tiba-tiba rindu kat kampung halaman. Tapi tak apalah kita masak sendiri dulu ya.
Resepi Daging Goreng Bersama Pucuk Paku Campak-Campak
Memang resepi campak-campak sahaja sebenarnya. Pada awalnya Sha cakap Sha nak masak daging goreng kunyit kan? Tapi ketika sedang merebus daging, baru Sha perasan tak ada lauk untuk lauk sayur. Hampir lupa sebenarnya Sha ada beli sayur pucuk paku sekali kat kedai tadi.
Akhirnya daging goreng kunyit Sha bertukar menjadi daging goreng pucuk paku. Tapi tak apalah, inikan dapur kita periuk kita jadi keputusan di tangan kita nak jadikan masakan kita apa. Jom kita tengok resepi daging goreng dengan pucuk paku.
Bahan-bahan masak daging goreng pucuk paku
400g daging ( dihiris tidak terlalu nipis)
1 ikat pucuk paku
1 biji cili merah (Hiris serong)
1 biji Bawang besar (Hiris bulat)
2 biji bawang putih (diketuk)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar kicap
Cara Memasak Daging Goreng Pucuk Paku
Pertama sekali korang rebus terlebih dahulu daging yang telah dihiris dengan serbuk kunyit dan garam. Rebus sehingga daging empuk dan air kering.
Bila air menggelegak, korang masukkan kicap.
Semasa merebus korang janganlah biarkan sahaja, perlu beringat supaya air tidak kering kontang dan kacau supaya daging sekata dengan kunyit tadi.
Bila air hampir kering korang boleh masukkan minyak masak ke dalam daging yang direbus tadi. Kacau sebati daging dan minyak, jangan lupa letakkan bawang putih yang diketuk sekali.
Akhir sekali korang masukkan bawang besar dan cili merah dihiris tadi. Kemudian diikuti dengan sayur pucuk paku yang telah dipotong pendek-pendek.
Bila dah masuk semua bahan, korang kacau sahaja sehingga semuanya lembut dan sekata. Tadi masak daging memang ngam-ngam siap terus hidang. Nak cepat sebab suami dah nak mula masuk kerja dan mula dengan tugas petang.
Hari ini 18 mac 2022 Sha hampir balik ke Kelantan juga sebenarnya, pagi tadi terima berita sedih dari kampung. Adik bongsu kepada arwah Mak Sha juga telah kembali ke Rahmatullah. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, Sha tak dapat hadir sama ke Kelantan.
Lauk Daging Paling Simple Tapi Sedap
Bila korang tengok bahan-bahan dan cara masak pun dah boleh nampak resepi ini resepi masakan daging paling mudah. Memandangkan tak lama lagi nak bermulanya bulan Ramadan, nampaknya kita dah boleh kumpul idea juadah berbuka puasa nanti.
Walaubagaimanapun, Sha sendiri tak boleh makan daging kerap sangat. Nanti risau susah pula tak dapat membuang dengan baik. Jadi sekali sekala kita makan daging tak apalah kan? Keluar sedikit daripada kebiasaan pemakanan harian kita.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.shalimaryusof.com/2022/03/resepi-daging-goreng-bersama-pucuk-paku.html