Remaja Cedera Ditembak Ketika Cuba Langgar Polis
KOTA BHARU, 2 Dis – Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun cedera ditembak di bahu kiri ketika cuba melanggar seorang anggota polis dalam satu kejadian di Kedai Lalat di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.05 pagi itu, suspek yang merupakan pemandu bersama seorang remaja berusia 17 tahun dan seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya cuba melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kancil selepas diarahkan berhenti oleh pasukan peronda.
Beliau berkata anggota peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu sebelum itu sedang melakukan rondaan di Kedai Lalat sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas mengekori kenderaan suspek, pasukan peronda kemudiannya mengarahkan mereka supaya berhenti namun tidak diendahkan sebelum suspek bertindak membuat pusingan U berdekatan sebuah masjid di kawasan berkenaan.
“Anggota ronda kemudian mengejar suspek dan memotong kenderaan yang dinaiki mereka sebelum seorang anggota polis berpangkat Koperal keluar dari kenderaan ronda untuk menghentikan kenderaan dinaiki suspek,” katanya kepada pemberita selepas Program Berkhatan Kanak-kanak peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata bagaimanapun suspek cuba merempuh anggota polis yang cuba menahan mereka sebelum anggota polis tersebut tergelincir dan terjatuh.
“Tindakan suspek yang masih tidak menghentikan kenderaan menyebabkan anggota polis yang terjatuh itu melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki suspek.
“Anggota polis kemudiannya bertindak memecahkan cermin tempat duduk pemandu dan menarik keluar pemandu kenderaan itu dan pemeriksaan awal mendapati suspek telah tercedera pada bahu kiri akibat terkena tembakan,” katanya.
Beliau berkata suspek yang tercedera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut secara terperinci akan dilakukan oleh pihak kami bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya.
Sumber: Bernama
The post Remaja Cedera Ditembak Ketika Cuba Langgar Polis appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/12/02/remaja-cedera-ditembak-ketika-cuba-langgar-polis/