Rebut Jawatan Pm Politik Negara Bukan Hak Milik Sesiapa
fazleensafina
Apakah ada janji kepada korporat atau kroni yang belum ditunai?									  	 	   

		  			 			KENYATAAN Tun  Mahathir yang menzahirkan pengundurannya dari Pakatan Harapan ‘plus’  (PH+) ini semestinya menjadi tamparan yang besar kepada pakatan  pembangkang. Semestinya, peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai  ‘cita-cita tertingginya’ untuk menjadi Perdana Menteri semakin tipis.
Kesanggupan DAP dan AMANAH untuk  menyokong Tun Mahathir dan mensisihkan Anwar adalah sesuatu yang menarik  untuk direnung dan difikirkan kerana sudah terlalu lama DAP dan  pimpinan AMANAH penjadi pendokong tegar Anwar. Ini menjadi bukti wajah  hipokrasi mereka semata-mata untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan  mereka sahaja.
Persoalan yang lebih menarik ialah,  apakah sebenarnya strategi Tun Mahathir selepas ini? Apakah beliau akan  benar-benar berjaya menjadi Perdana Menteri semula? Tun memang terkenal  dengan kejutan-kejutannya dalam politik yang tidak ada seorang pun dapat  menduganya.
Lebih merunsingkan kita ialah, apakah  akan wujud gabungan baharu yang bakal meruntuhkan Perikatan Nasional dan  menaikkan semula DAP dan konco-konconya? Apa pun boleh berlaku kerana  Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh sahaja beralih sokongan kerana mereka  adalah ‘king maker’.
Apa-apa pun, tindakan Tun Mahathir yang  sangat agresif dalam merebut kuasa ini sangat mendukacitakan kerana pada  usia yang demikian beliau masih dahagakan kuasa dan kita tidak tahu  mengapa sebab sebenarnya. Mustahil tidak ada figura lain dalam Pakatan  Harapan untuk dikehadapankan sebagai calon Perdana Menteri. Apakah ada  janji-janji tertentu kepada pihak korporat atau kroni yang masih belum  ditunaikan sehingga beliau terpaksa mendapatkan jawatan Perdana Menteri  untuk melunaskannya?
Saya harap agar rakyat dapat menolak  amalan politik sebegini dengan melihat kepada alternatif lain, mungkin  satu bentuk, entiti, gerakan ataupun tokoh politik yang baharu (tidak  semestinya parti baharu) untuk meruntuhkan apa jua bentuk monopoli  politik yang sebenarnya tidak sihat untuk kestabilan negara.
Monopoli dalam politik akhirnya akan  menutup peluang-peluang baharu dan akan menahan kita dari maju ke  hadapan. Kita akan asyik terperangkap dengan orang-orang yang sama dan  kerangka politik lama yang sempit. Mereka ini datang sekali dengan  segala ‘karenah dinosaur’ mereka yang akhirnya membuatkan kita ‘tutup  sebelah mata’ sahaja.
Politik negara perlukan perubahan.  Politik bukan milik mana-mana individu atau parti semata-mata, baik  pihak PN, PH atau sesiapa pun. Sampai bila kita mahu memundurkan diri  kita sebegini?
Perubahan ini bermula (bukan hanya) dari  diri kita sendiri, iaitu rakyat; dalam menilai dan memahami politik  dengan rasional mengikut kerangka kepentingan agama, bangsa dan tanah  air. Bukannya kepentingan parti semata-mata.
Wallahu’alam.
Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/rebut-jawatan-pm-politik-negara-bukan.html