Rawatan Methadone Ramai Yang Belum Tahu Perkhidmatan Farmasi Kerajaan Memberikan Rawatan Penagihan Dadah
Rawatan Methadone - Ramai Yang Belum Tahu Perkhidmatan Farmasi Kerajaan Memberikan Rawatan Penagihan Dadah
Penagih Dadah? Mendengar istilah “penagih dadah” saja telah cukup membuat kita menjauhkan diri kerana ia sudah menjadi suatu stigma sosial yang cenderung melabelkan penagih-penagih dadah dengan imej negatif.
Bagi golongan penagih yang telah terjebak dalam aktiviti penagihan dadah, apakah pula nasib dan masa depan mereka? Terus terpinggir dan bergelumang dengan dadah di lorong gelap tanpa halu tuju yang jelas?
Program Rawatan Methadone
Program Rawatan Methadone adalah salah satu komponen pengurangan mudarat (harm reduction) dalam usaha kerajaan menangani isu penagihan opiat di negara ini. Program Rawatan Methadone juga bertujuan untuk mengawal penyakit jangkitan virus bawaan darah seperti HIV yang berpunca daripada aktiviti perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah. Dilaporkan di Malaysia, penurunan yang signifikan telah dicatatkan bagi bilangan kes HIV yang disebarkan melalui penagihan dadah bentuk suntikan. Peratusan kes baharu HIV akibat penagihan dadah bentuk suntikan yang dilaporkan telah menunjukkan penurunan yang ketara daripada 66% (4,038 kes) pada tahun 2005 ke 16.8% (561 kes) pada tahun 2015 dan turun ke 2.82% (93 kes) pada tahun 2018
Program Rawatan Methadone ini membantu penagih dengan menggantikan dadah yang diambil melalui suntikan seperti heroin dan morfin dengan menggunakan ubat methadone dalam bentuk cecair yang diminum. Rawatan ketagihan dadah dengan menggunakan methadone dapat menghilangkan kebergantungan terhadap opioid secara berperingkat dan membantu pesakit bebas daripada rasa gian.
Methadone mempunyai tempoh tindakan yang panjang (24-36 jam) apabila diambil secara oral. Ini membolehkan pengambilan dos sekali sehari sahaja di bawah pengawasan dan pemantauan anggota kesihatan. Pesakit akan berasa bebas daripada gian sepanjang hari serta kurang mengalami gejala tarikan. Mereka tidak lagi tersepit dengan masalah ketagihan sekaligus keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja semula dalam masyarakat
Apa Itu Methadone? Methadone adalah sejenis ubat sintetik yang terbukti selamat dan berkesan dalam rawatan penagihan opioid. Ia berfungsi dengan mengisi tapak reseptor otak yang terjejas oleh heroin dan opioid lain. Methadone bertindak dengan mengawal ketagihan dan gejala tarikan serta menghalang rasa sangat gembira (euforia) atau khayal daripada pengambilan opioid
Kelayakan Mengikuti Program Rawatan MethadonePenagih yang berhasrat untuk mengikuti Program Rawatan Methadone perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan. Pengamal perubatan iaitu pakar atau doktor akan menilai keadaan penagih sebelum memulakan rawatan melalui program ini.
Kebiasaannya penagih mengambil dadah jenis opio¡d akan didaftar masuk dalam program ini. Selain itu, penyertaan ini adalah secara sukarela dan penagih perlu memberikan persetujuan dan patuh kepada semua peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh program ini.
Namun, rawatan methadone ini kurang sesuai bagi pesakit yang mempunyai masalah kegagalan fungsi hati yang teruk atau masalah perubatan yang serius. Justeru, konsultasi daripada pakar diperlukan bagi merawat pesakit ini.
Kesimpulan Adalah penting dan bermanfaat bagi pesakit yang mempunyai masalah ketagihan opiod untuk mendapatkan rawatan. Semua pihak perlu berganding bahu dalam usaha menjayakan Program Rawatan Methadone ini.
Oleh itu, apabila berhadapan dengan golongan penagih, masyarakat perlu memberi peluang dan mengubah persepsi terhadap mereka yang ingin berhenti menagih dadah ini. Usah singkir golongan ini seluruhnya tanpa mengambil kira potensi dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cuti umum).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.annursyuhadah.com/2019/12/rawatan-methadone-ramai-yang-belum-tahu.html