Rasalah Balasan Allah Nanti
   Ahmad Ismail   
“PUAS  saya merayu jangan ambil duit tabung kerana ia adalah sumbangan kepada  bakal haji tetapi perompak itu degil... rasalah balasan Allah nanti,”  kata suri rumah, Saripah Hassan, 59, menceritakan detik cemas dirompak  lelaki di rumahnya di Taman Perumahan Jalan Hassan, Segamat, kelmarin.
Menurutnya,  dalam kejadian 5.50 pagi itu, dia berada di rumah bersama ibunya  berusia 70-an dan terserempak dengan lelaki berpakaian gelap memakai  topeng menggunakan kain sebaik keluar dari bilik tidurnya ketika ingin  solat subuh.
“Lelaki  itu mengarahkan saya kembali ke dalam bilik tidur sambil mengacukan  parang sebelum mengikat tangan dan mulut menggunakan kain tudung dan  tuala untuk mengikat kedua-dua kaki saya.
“Penyamun  itu menggeledah bilik dan almari pakaian serta mengambil wang tunai  dalam beg tangan dan pelbagai barangan kemas dalam almari,” katanya.
Ibu mangsa yang berada di hadapan pintu bilik juga diikat di kaki dan tangan selepas lehernya diletakkan parang.
“Lelaki berkenaan turut mengambil gelang dan rantai emas dipakai ibu. Selepas itu, penyamun melarikan RM330 di dalam tabung.
“Saya  menjerit dan merayu kepadanya jangan larikan wang itu kerana ia adalah  sumbangan untuk bakal jemaah haji, malangnya lelaki berkenaan tidak  mengendahkan rayuan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya,  ketika parang diletak di leher ibunya, dia hanya mampu berdoa supaya  lelaki itu segera keluar dari rumahnya dan bersyukur mereka hanya lebam  di badan dan pergelangan tangan.
Menurutnya, kira-kira 10 minit  selepas penyamun beredar, anaknya berusia 30-an tiba di rumah untuk  menghantar cucunya dan dia membuka ikatan di tangan, mulut dan kaki.
“Inilah  kali pertama rumah saya dimasuki penjenayah sejak tinggal di sini lebih  20 tahun lalu dan berharap, penduduk mengaktifkan semula rondaan  Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memastikan kejadian sama tidak  berulang.
“Selaku Bendahari Kumpulan Yasin perumahan ini, saya  diamanahkan menyimpan RM330 hasil sumbangan orang ramai kepada bakal  haji tahun ini.
“Dalam kejadian ini, kami kerugian kira-kira-kira  RM35,000 termasuk kehilangan MyKad ibu, pelbagai buku bank, satu telefon  bimbit dan dua utas rantai emas,” katanya.
Selain itu, dia kehilangan lima rantai tangan, loket emas, anting -anting emas serta wang tunai RM3,000.
Sementara  itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata,  sebaik menerima laporan polis pihaknya memburu suspek di kawasan  sekitar.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi  Hotline (IPD) Segamat di nombor 07-9324222 atau balai polis berhampiran  bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana  samun bersenjata,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/rasalah-balasan-allah-nanti.html