Ramai Salah Faham Hitam Celah Badan Sebenarnya Daki Dr Tampil Beri Penjelasan Dan Cara Rawatan
Pasti ramai yang pernah atau sedang mengalami perubahan tona kulit di bahagian tertentu seperti pada tengkuk, bawah lengan, lutut atau bahagian badan yang lain. Ramai yang menyangkakan kesan kehitaman tersebut adalah berpunca daripada daki namun sebenarnya tidak.
Perkongsian oleh Dr Rusyainie Ramli ini diharap dapat memberi penjelasan yang sebenar dan cara rawatan yang berkesan bagi menghilangkan tompokan hitam atau digelar ‘acanthosis nigricans’ dalam bidang perubatan.
Selalu kan kalau kita tengok mereka yang obes, selalu ada tompokan kulit gelap, kering dan tebal yang selalunya kita nampak dekat leher, ketiak dan celah paha. NI BUKAN DAKI YA.
Tak payah beli sabun segala bagai untuk hilangkannya. Sental la macam mana pun, ia tetap ada. Jangan dok pakai berus dawai pula ya.
Sabun yang dok dijual sebuku sampai RM25 ke RM45 tu menipu saja lebih. Mahal mencekik darah sungguh. Jangan dok buang duit merata. Saya tahulah kalian kaya, tapi duit tu pergi beli buah dan sayur lagi baik lah.
Ni namanya ACANTHOSIS NIGRICANS. Kalau disentuh, rasanya macam baldu pun ada. Selalunya ia timbul sikit-sikit, makin lama makin gelap warna tompokan tu. Kadang kala ada bintil-bintil kecil timbul di atas tompokan kulit tu. Selain tu, biasanya, tak ada simptom lain, kalau gatal pun, sikit sangat.
Penyebab timbulnya tompokan pada kulit ni?
1. Obesiti macam saya tulis tadi.
2. Diabetes mellitus
3. Penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan hormon macam Polycystic Ovarian Syndrome, Hypothyroidism dan Cushing Syndrome.
Untuk mereka yang obes atau yang ada kencing manis, ni terjadi sebab paras insulin terlalu tinggi, yang memberi kesan kepada sel yang di kulit, di mana kitaran hidup sel tu cepat berbanding biasa. Maka itulah hasilnya.
Ada juga pesakit yang ada tompokan ni, tanpa sebab, terutamanya kalau kulit dia gelap.
Yang paling penting, sekiranya tompokan tu rupanya lain macam, berubah rupa ke, pergi jumpa doktor. Doktor tak boleh bagi nasihat dalam FB, dia mesti nak tengok, tilik, belek, dan sentuh tompokan tu. Sebarang perubahan pada kulit yang ketara atau berlainan dari asalnya, mesti diperiksa oleh doktor.
Nak rawat acanthosis nigricans?
Doktor akan CARI PUNCANYA dulu. Jadi, kalau untuk mereka yang obes, dengan kurangkan berat badan, tompokan tu akan hilang perlahan-lahan.
Dengan pengambilan ubat untuk merawat atau mengawal penyakit disebabkan hormon, juga akan membantu menghilangkan tompokan kulit yang tak berapa nak cantik di mata.
Kalau dah secara alaminya memang ada tompokan gelap ni, boleh lah berjumpa pakar kulit.
Sumber : Rusyainie Ramli
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/07/28/ramai-salah-faham-hitam-celah-badan-sebenarnya-daki-dr-tampil-beri-penjelasan-dan-cara-rawatan/