Pusingan 2 Rafizi Vs Sanusi
Mari kita putar waktu ke belakang di antara penamaan calon PRN enam negeri 29 Julai dan hari pengundian pada 12 Ogos 2023. Rafizi Ramli sepanjang tempoh kempen Jelajah Madani ketika itu memulakan ceramahnya setiap malam dengan mengulas atau mematahkan hujah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor.
Tiada tuduhan atau jenaka yang terlepas daripada pengamatan Rafizi dalam siri ceramahnya dari negeri ke negeri daripada menawarkan pencerahan, menyerang balas hingga kepada mempersendakan lawan.
Tidak berdiam diri Sanusi pula akan mengutip modal jajaan Rafizi untuk jadi bahan lawaknya hingga ceramah kedua-duanya menjadi ikutan ramai menerusi siaran langsung di atas talian.
Dengan kedua-duanya menikmati status seperti ‘bintang rock’ di pentas ceramah, Rafizi memuncakkan serangannya apabila Sanusi tidak hadir dalam dua program ceramah berturut-turut pada pertengahan tempoh kempen hingga menimbulkan desas-desus beliau ‘direhatkan’ oleh kepimpinan Pas Pusat gara-gara terlalu lantang bersuara.
Juga diuar-uarkan konon ada perangkap dipasang untuk menteri besar Kedah itu hingga beliau diarah mengunci mulut sehingga hari mengundi. Sanusi bagaimanapun menafikannya.
Apa pun, keputusan PRN itu mengekalkan status quo 3-3 – Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN terus membentuk kerajaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kali ini Rafizi dan Sanusi bersingsing lengan lagi dalam PRK Sungai Bakap. Di sebalik pentasnya mungkin lebih kecil, ia tidak semestinya bermakna kehangatan modal masing-masing akan berkurangan.
“Bersedialah dalam tempoh kempen ni macam-macam cerita Sanusi akan buat,” kata Rafizi yang memberi bayangan awal kedua-duanya akan terus bercakaran.
Beliau mencabar panglima perang PN itu agar segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila mendakwa terdapat ‘individu-individu’ dalam DAP dan PKR sedang mengumpulkan dana PRU16.
“Sanusi kalau cucuk dia cepat melompat. Kalau ada bukti, dah hebat sangat buatlah laporan SPRM esok, tiada orang campur tangan. Kalau betul ada orang DAP ‘pow’ duit, sebabkan perancangan Sanusi tak berjalan, kalau ada sebut.
“Jangan gunakan PRK ini tanam dendam fitnah dan bodohkan lebih ramai orang Melayu. Kalau tak reti buat kerja mengaku. Kalau betul ada, buat laporan SPRM,” katanya ketika pelancaran jentera kerajaan perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 9 Jun.
Ini sebagai jawapannya kepada dakwaan Sanusi sehari sebelum itu konon banyak projek di Kedah tergendala disebabkan tiada ‘pelincir’ atau rasuah diberikan kepada wakil PKR dan DAP.
Sebagai reaksinya, Sanusi sekadar berkata laporan itu akan dibuat apabila tiba masanya. “Bagi galak (seronok) dulu, terkinja-kinja, lompat-lompat, dan terjun telaga apa dahulu (dan) selepas itu saya (akan) buat laporan. Kalau saya (buat) laporan sekarang, mereka tidak akan kenalah,” katanya menjelang PRK Sungai Bakap pada 6 Julai dengan penamaan calon pada 22 Jun manakala undi awal pada 2 Julai.
PRK itu diadakan susulan kematian Adun Pas Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan perut. Mengikut rekod SPR pada PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih meliputi 59.36% pengundi Melayu, Cina (22.54%), India (17.39%), dan lain-lain (0.71%).
PH-BN pada 12 Jun mengumumkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin sebagai calonnya. Ini disusuli tiga hari kemudian oleh Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man yang menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon PN.
Daripada ucapan penceramah kedua-dua pihak sejauh ini, modal mereka berkisar di antara beban sara hidup rakyat yang makin meningkat dan pengukuhan kedudukan fiskal negara. Sambil yang pertama itu mudah untuk mengapi-apikan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, hal kedua itu pula tidak mudah diperjelaskan untuk diyakini masyarakat terbanyak. Penyasaran subsidi diesel pada harga RM3.35 sen seliter bermula 10 Jun dan kesannya kepada harga barang dan perkhidmatan nampaknya akan menjadi isu utama.
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang dijangka membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun kepada kerajaan akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara selain memberi impak positif kepada ekonomi serta kerajaan dalam membantu usaha melaksanakan pembaharuan yang diperlukan bagi memastikan kemampanan fiskal dan meningkatkan kecekapan ekonomi.
“Langkah kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api bermula dengan diesel dilaksanakan secara berhati-hati dengan pelbagai kumpulan sasaran terlindung daripada kesan kenaikan harga menerusi bantuan kad pembayaran bahan api dan bayaran tunai,” kata profesor ekonomi daripada Universiti Sunway Prof Yeah Kim Leng.
Hujahnya itu ditempelak Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin sebagai antara lain menyusahkan peniaga kecil dan pasar malam yang menggunakan kenderaan diesel serta petani dan pesawah yang menanggung caj penggunaan backhoe dan jentera pembajak lebih tinggi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar mengutarakan komunikasi strategik kerajaan dilihat tidak memberikan naratif tersusun dan selari dalam membekalkan maklumat.
Lantaran itu, jentera kerajaan perpaduan perlu mematikan serangan pembangkang menggunakan isu penyasaran subsidi diesel dan air sepanjang kempen PRK DUN Sungai Bakap jika mahu merampas kerusi itu.
“Ada kemungkinan isu kenaikan harga diesel dimainkan pembangkang sebaik-baiknya, menyebabkan B40… orang yang tak faham perkara ini dan M40 dan T20 yang terkesan kenaikan harga diesel di mana mereka tak mendapat manfaat mungkin sedikit jejaskan kerajaan PH kali ini. Justeru jentera kempen kerajaan perlu memainkan peranan besar dalam memberi penerangan dan menjelaskan keperluan penyasaran subsidi dilakukan,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula.
“Penting sekali tempoh beberapa minggu akan datang kerajaan pastikan harga barang tak naik, buktikan penyasaran subsidi diesel betul-betul capai objektif serta tidak jejaskan golongan berpendapatan rendah,” tambahnya.
Apa yang menarik ialah Sanusi selepas menghadiri program kayuhan amal The Greater Kedah di Masjid Kampung Musa, Pedu, Kuala Nerang pada 8 Jun mengakui PN berdepan cabaran sukar untuk menghadapi PRK Sungai Bakap, apatah lagi kerajaan perpaduan juga berhasrat membuktikan slogan Madani sudah diterima rakyat.
Seakan-akan mengeyakan kata-katanya, penganalisis menyimpulkan PH-BN akan menggunakan kedudukannya sebagai kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri untuk merampas kerusi Sungai Bakap daripada Pas. Kerjasama kerajaan perpaduan yang semakin kukuh turut dilihat akan menyukarkan PN mempertahankan kerusi berkenaan.
“Parlimen Nibong Tebal ini kubu PH dan mereka menang Parlimen dan dua DUN (Jawi dan Sungai Acheh) kecuali Sungai Bakap yang dirampas Pas dengan majoriti tipis (1,563 undi).
Walaupun Pas menang di Sungai Bakap kerana gelombang hijau, namun prestasi ditunjukkan PH-BN dalam beberapa siri PRK seperti Pulai, Simpang Jeram, Pelangai kemudian Kuala Kubu Baharu sudah pasti memberi kelebihan kepada kerajaan meneruskan penguasaan di Sungai Bakap,” kata Mazlan.
“PH-BN kini berada pada kedudukan kukuh dan keserasian mereka menjadi tarikan kepada pengundi. PH mahu merampas kerusi itu dan kalau gagal, majoriti diterima Pas mungkin di bawah 500 undi,” kata Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan sambil menambah ia akan memberi gambaran pengundi Sungai Bakap telah berubah hati kepada PH.
Berlatarbelakangkan pandangan sedemikian, Rafizi boleh dijangka meningkatkan serangannya ke atas pembangkang, tambahan jika lawak jenaka Sanusi menggeletek hatinya untuk menjawab dengan hujah dan fakta.
Dengan pembangkang nampaknya masih memainkan “hari ini jadi kerajaan esok harga minyak turun”, panglima perang PH itu yang akan ‘naik minyak’.
“Oleh kerana kita nak masuk dalam PRK Sungai Bakap, kita (boleh) jangan buat penyasaran semula subsidi diesel terlebih dahulu. Tapi kita bersama demi satu kebaikan yang kita nak pertahankan, iaitu kita nak bina balik ekonomi negara kita. Dan kalau kita nak bina balik, kita tak boleh mempertaruhkan perancangan masa depan negara demi satu kemenangan di Sungai Bakap.
“Menang kalah air tetap selesai, menang kalah lebuh raya bertingkat Juru insya-Allah selesai. Menang kalah keretapi akan bertambah. Menang kalah gaji pekerja awam akan naik. Untuk itu kita perlu teruskan.
“Pilihan raya kecil ini akan jadi medan untuk kita tunjukkan bagaimana kalau kita kekalkan kebersamaan kita demi mempertahankan satu kebaikan, saya percaya pengundi di Sungai Bakap akan bagi balik kerusi yang mereka pinjamkan kepada Perikatan Nasional sebelum ni,” kata Rafizi tempoh hari.
Kita tunggu apa pula jawapan Sanusi yang harus menjadikan Rafizi vs Sanusi Round 2 lebih menarik untuk diikuti. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/06/pusingan-2-rafizi-vs-sanusi.html