Pru 15 Shahrir Nak Bersih Nama Di Mahkamah Dahulu Zahid Pula
agendaily.com27/10/2022
Pemimpin veteran UMNO yang juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Veteran UMNO yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad menunjukkan contoh baik kepada pemimpin partinya yang terpalit dengan kes mahkamah, apabila enggan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Mungkin untuk mengelak menjadi liabiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Shahrir bagaimanapun menjelaskan beliau mahu membersihkan dahulu namanya di mahkamah, dan sebab itu tidak mahu menjadi calon dalam pilihan raya ini.
“Adalah tidak adil untuk saya membiarkan pengundi Johor Bahru ‘membersihkan’ nama saya,” katanya setelah ramai yang bertanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRU-15, 19 November ini.
Shahrir, yang merupakan ahli Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal dari 2004 hingga 2018, berkata beliau perlu membersihkan namanya melalui proses mahkamah terlebih dahulu.
“Saya telahpun beberapa kali menyatakan saya tidak akan bertanding tetapi akan tetap mengetuai jentera pilihan raya BN (Barisan Nasional) untuk menangkan calon kita pada PRU-15.
“Sebabnya mudah sahaja. Saya sedang mempertahankan integriti dan nama baik saya dalam mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (27 Oktober 2022).
Menurutnya tuduhan yang dihadapi ialah mengikut Akta Pengubahan Wang Haram iaitu tidak mengistiharkan penerimaan wang sebagai pendapatan saya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Tidak adil bagi saya meminta pengundi JB untuk membersihkan saya. Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah,” tegasnya.
Shahrir sebelum ini didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang penyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013, melanggar Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kesalahan itu berkaitan dengan wang RM1 juta yang dikatakan diterima daripada bekas perdana menteri dan presiden parti ketika itu Datuk Seri Najib Razak pada 2013.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Penjelasan Shahrir itu, memberi tamparan kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN yang kini berdepan kes mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah, tetapi masih mahu bertanding dalam pilihan raya.
Seperti kata Shahrir “Adalah tidak adil untuk saya membiarkan pengundi Johor Bahru ‘membersihkan’ nama saya”, pemimpin lain itu pula mengharapkan pengundi akan membersihkan nama mereka, berbanding undang-undang dan mahkamah.
Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO dan BN sedang berdepan pertuduhan di mahkamah, termasuk presiden parti itu sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid, masih menghadapi 87 pertuduhan, termasuk rasuah di dua mahkamah yang melibatkan jutaan ringgit yang didakwa dilakukan ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum 2018 lalu.
Zahid dijangka kekal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU-15 ini, manakala keputusan kesnya berkaitan Yayasan Akalbudi dijangka dibuat pada awal Disember
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/10/pru-15-shahrir-nak-bersih-nama-di.html