Projek Psi Ph Beri Bola Tanggung Kepada Pn
Sebagai sebuah pelan transformasi pembangunan strategik, Penang South Island (PSI) dijangka akan membawa perubahan kepada selatan Pulau Pinang dan menjadikan kawasan tersebut sebuah bandar raya pintar dan destinasi pelaburan serta pelancongan bertaraf dunia.
Tiga pulau buatan PSI akan mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 4,500 ekar, 2,300 ekar bagi pulau A, 1,400 ekar bagi pulau B dan 800 ekar bagi Pulau C.
Dengan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Taman Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang telah mewujudkan ekosistem yang mempunyai 300 Syarikat Multinasional dan 3,000 Perusahaan Kecil Sederhana (SME) serta infrastruktur yang baik, PSI dijangka akan menarik Pelabur baru dan mengekalkan Pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi mereka di sebuah lokasi yang mempunyai persekitaran yang sesuai untuk hidup dan berkerja.
Projek ini juga akan mewujudkan tanah untuk pembangunan Komersial dan Perumahan, termasuk rumah mampu milik dan destinasi Pelancongan baru.
Menjelang 2050, PSI diunjurkan akan mewujudkan lebih dari 460,000 peluang pekerjaan dan menyumbangkan impak positif KDNK sebanyak RM2.2 Trillion serta pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM70 Billion kepada ekonomi Pulau Pinang.
Bagaimanapun kegagalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow gagal menangani kebimbangan pelbagai pihak, khususnya nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berhubung projek terbabit dengan tidak memberi penjelasan sewajarnya dijangka akan membawa padah kepada PH..
Laporan berkaitan..
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengabaikan kumpulan yang membantah projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dilihat seperti memberi 'bola tanggung' kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow gagal menangani kebimbangan pelbagai pihak, khususnya nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berhubung projek terbabit dengan tidak memberi penjelasan sewajarnya.
"Contoh apabila ditanya apakah 71 syarat yang dikenakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kon Yeow kata butiran semua ada dalam laman sesawang, boleh rujuk di sana. Boleh baca.
"Laporan berkenaan setebal 1,000 muka surat lebih. Ia sangat teknikal, sebagai orang biasa saya percaya mereka kurang faham," katanya dalam podcast 'Keluar Sekejap' yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, Kon Yeow sepatutnya mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, bukan hanya lepas tangan dan bersikap angkuh.
"Cara dia jawab mungkin akan ada kesan dalam PRN nanti," katanya.
Sementara itu, kerajaan Pulau Pinang menyiarkan dokumen 71 syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan bersyarat yang diberikan untuk projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di laman sesawang rasmi milik kerajaan negeri.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, berkata beliau menjangkakan PN yang turut dipimpin Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mempunyai kepakaran untuk menggunakan isu PSI sebagai strategi kempen bagi menawan tujuh hingga lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi majoriti Melayu khususnya di bahagian tanah besar di Pulau Pinang.
"Isu ini isu klasik, ia akan berterusan dimainkan jika Kerajaan Pusat tidak selaraskan atau campur tangan," katanya.
"Dia perlu kata ini 71 syarat dan tidak perlu terangkan kesemua syarat berkenaan tetapi boleh ringkaskan mengikut kategori yang diperlukan seperti syarat penjagaan alam sekitar, pemantauan dan ada penilaiannya.
"Perlu memberi keyakinan kepada rakyat di Pulau Pinang bahawa syarat-syarat berkenaan akan dipatuhi dan ketetapan yang terbaik dikeluarkan daripada JAS," katanya.
Khairy berkata, isu berkenaan belum selesai walaupun sudah mendapat kelulusan dan kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan untuk membuat lebih banyak libat urus serta bukan hanya terlalu yakin dengan mandat yang ada - BH
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2023/05/projek-psi-ph-beri-bola-tanggung-kepada.html