Program Makanan Infaq Tawar Makan Tengah Hari Percuma Di Besut
Bernama

Pengunjung  terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memilih lauk-pauk untuk  dinikmati bersama nasi putih dan minuman yang disediakan di Warung  Nadzri. --fotoBERNAMA BESUT: Orang ramai ditawarkan makanan tengah hari percuma di beberapa gerai  terpilih di sini melalui program Makanan Infaq anjuran Pemuda UMNO  Bahagian Besut bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan dengan  penularan pandemik COVID-19
 Penyelaras  program Mohd Rozaini Mohd Rasli berkata dua kedai makanan dipilih  menyertai program makan percuma selama tiga kali seminggu itu iaitu  Warung Nadzri di Jerteh, kedai makan CK Ikan dan Ayam Bakar di Pekan  Baru, Kuala Besut
 "Orang  ramai boleh datang menikmati makan tengah hari di kedai-kedai tersebut  bermula jam 12 tengah hari sehingga 2.30 petang pada setiap Ahad, Selasa  dan Khamis," katanya yang ditemui pemberita di Warung Nadzri, di sini,  semalam
 Warung Nadzri yang terletak di  hadapan Balai Polis Trafik Besut di Bandar Jerteh menyediakan nasi putih  bersama pelbagai lauk-pauk dan air secara percuma sejak 11 Okt lalu,  manakala kedai makan CK Ikan dan Ayam Bakar di Pekan Baru menyertai  program itu mulai semalam
 Mohd  Rozaini, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Besut, berkata, orang  ramai yang berkunjung ke kedua-dua kedai tersebut pada waktu yang  ditetapkan itu hanya perlu mengambil kupon yang disediakan, kemudian  diserahkan kepada pemilik kedai
 Katanya,  pada peringkat awal program ini dilaksanakan, pihaknya hanya  memperuntukkan makanan percuma untuk 40 orang sahaja dengan nilai  makanan RM5 seorang
 "Namun memandangkan  sambutan menggalakkan dan ramai pihak yang bermurah hati menghulurkan  sumbangan membiayai program ini, maka sekarang kita tidak hadkan jumlah  pengunjung asalkan mereka datang pada waktu ditetapkan
 "Kami  juga tidak meletakkan tempoh masa bila program ini akan berakhir dan ia  akan berterusan sekiranya mendapat sambutan dan mempunyai sumber  kewangan," katanya
 Sementara itu,  pemilik Warung Nadzri, Roseita Hussin, 55 berkata beliau bersyukur  kerana warungnya dipilih menyertai program tersebut kerana ia bukan  sahaja membantu mengurangkan beban orang ramai tetapi juga memberi  rezeki buatnya
 "Menu yang disediakan  pada hari tersebut sama dengan menu yang dijual pada hari biasa dan  pengunjung boleh memilih pelbagai jenis lauk-pauk mengikut selera mereka  berdasarkan bajet yang ditetapkan untuk setiap orang
 "Antara  menu lauk-pauk yang disediakan adalah gulai kuning ikan masin, ikan  goreng, ayam masak merah, gulai ayam dan pelbagai lagi," katanya yang  berniaga di situ sejak 30 tahun lalu.-- BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/program-makanan-infaq-tawar-makan.html