Program Jjcm Pantai Timur Part I Di Kuantan
Walaupun telah lama, di mana Percutian JJCM Pantai Timur yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kali ini dibuat sebelum negara mengumumkan perintah kawalan pergerakan fasa pertama dari 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Walaupun telah lama, namun saya ingin mencoretnya di sini sebagai kenang kenangan bercuti bersama Best Friends Forever (BFF) kami sejak di universiti.
Program JJCM ini adalah yang ketiga di mana ianya adalah kali kedua di dalam negara. Ianya telah lama dirancang. Lama sebelum wabak covid 19 lagi. Kali pertama program JJCM Utara di SINI. Kami menaiki bas yang sama dengan program JJCM Utara.
Oleh kerana negara mulai mencatat kes jangkitan covid 19 walaupun ketika itu, belum begitu serius, kami telah mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan mencuci dan sanitize setiap kali naik dan turun dari bas. Malahan tempat duduk dalam bas juga dilapkan dengan dettol sebelum kami naik. Kami juga tidak bersalaman antara satu sama lain dan bila berada di tempat awam, kami memakai pelitup muka.
Kami bertolak dari Shah Alam pukul 8.00 pagi. Destinasi kami yang pertama ialah Restoran Hatinie untuk bersarapan. Besan kami, Datin Setia Nursinah telah pun membuat booking tempat. Jika tidak, memang susah untuk mencari tempat duduk yang boleh memuatkan group kami yang besar. Selepas makan, kami bergambar di hadapan restoran sebagai kenangan tempat persinggahan kami yang pertama.
Kami kemudian menaiki bas untuk menuju ke bandar Temerloh. Bila disebut Temerloh, pastinya agenda JJCM kami ialah untuk makan tengahari awal di Restorang Along Ikan Patin di Temerloh.
Lauk pauk di sini selain ikan patin, adalah lauk lauk kampung. Saya banyak makan ulam ulaman yang dicicah dengan sambal tempoyak. Secara jujurnya, saya tidaklah penggemar ikan patin masak tempoyak, kecuali jika ianya benar benar sedap.
Selepas makan tengahari, kami meneruskan destinasi dengan menuju ke Swiss Garden. Kami sampai di hotel pukul 3 lebih. Selepas lepak dan menunaikan solat, kami turun ke pantai pukul 5 petang untuk aktiviti riadah.
Hubby telah keluar membeli keropok lekor dan satar sebelum ke pantai. Jadi sementara menunggu yang lain, kami singgah tepi kolam renang untuk makan bagi mengisi perut. Selepas itu, baru kami berjalan ke tepian pantai. Sementara geng suami bermain bola tampar, kami bersiar siar tepi pantai sambil bergambar gambar.
Bila geng suami telah selesai bermain bola tampar, kami bergambar beramai ramai sebagai satu kumpulan sambil merakam video kami berlarian di tepian pantai. Saya yang sebelumnya tidak mahu masuk ke dalam air, kerana tidak mahu pakaian basah akhirnya akur bila ikut sama berlari di dalam air.
Pukul 8.00 malam, kami bersiap untuk makan malam di Ana Ikan Bakar Petai. Orang sangat ramai, yang menimbulkan kebimbangan juga di hati. Maklum di sini, tiada ruang khas yang boleh ditempah. Malahan kami membuat majlis penyampaian hadiah pasukan yang memenangi bola tampar juga di sini.
Setakat ini dahulu catatan hari pertama JJCM Pantai Timur. Nantikan entri seterusnya perjalanan kami ke Terengganu dan seterusnya ke Kota Bharu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2020/06/program-jjcm-pantai-timur-part-i-di.html