Pos Kawalan Bergerak Akan Diguna Kawal Sempadan Di Sarawak
  Bernama

Anggota  PGA mengawal sempadan negara ketika Hamzah Zainuddin melawat 
polis  sempadan menghubungkan Malaysia dan Indonesia di Teluk Melano kira-kira  
140km dari Kuching semalam. (Gambar Bernama)KUCHING: Kementerian Dalam Negeri akan menggunakan pendekatan baru  untuk mengawal sempadan darat negara menerusi pelaksanaan pos kawalan  Pasukan Gerakan Am (PGA) secara bergerak.
Menterinya, Hamzah Zainudin berkata ia merujuk sempadan  Malaysia-Indonesia di Sarawak yang mempunyai banyak “laluan tikus” dan  sering berubah-ubah.
“Saya perhatikan apabila kita membina pos kawalan PGA di sesuatu  kawasan sempadan yang mempunyai laluan masuk ke negara ini, tidak lama  selepas itu akan wujud ‘lorong tikus’ baru yang berubah mengikut  kesesuaian pihak sebelah sana.
“Jadi, dengan pelaksanaan pos kawalan PGA bergerak ini, saya  kira ia lebih mudah untuk pasukan keselamatan kita bergerak dan  tentukan di mana pos kawalan bagi mengawal sempadan kita mengikut  keadaan semasa,” katanya selepas melawat Sub Taktikal PGA Teluk Melano  dekat sempadan Malaysia-Indonesia di sini semalam.
Beliau berkata, kemudahan lebih baik untuk PGA di Teluk Melano akan  dilaksanakan di tanah berkeluasan kira-kira 4ha merangkumi sebuah  bangunan, kuarters dan kemudahan jalan raya.
Katanya, sebuah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan  dibina serta dijangka siap tahun ini bagi melengkapi Teluk Melano yang  mengalami transformasi kerana terdapat akses Lebuhraya Pan Borneo yang  bakal menjadi tumpuan kedua-dua negara, selain merancakkan lagi sektor  ekonomi di sini.
“Terdapat keseluruhan 21 projek yang sudah dan akan dijalankan di  Sarawak yang melebihi RM700 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan  semua projek itu akan siap menjelang 2020 dan sesudah itu, lengkaplah  perjanjian kerajaan persekutuan dengan Sarawak.”
Beliau berkata, dalam perbincangannya bersama Ketua Menteri, Abang  Johari Openg kelmarin, KDN akan meningkatkan keselamatan di pesisiran  pantai Sarawak.
“Kita akan tengok secara terperinci cara untuk membantu industri  perikanan Sarawak agar ia tidak diganggu nelayan asing yang berjaya  membolosi perairannya.
“Ini membuktikan kerajaan persekutuan sentiasa  menitikberatkan Sarawak serta menunaikan janjinya apabila kita  mengadakan perbincangan antara kerajaan negeri dan pusat.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/pos-kawalan-bergerak-akan-diguna-kawal.html