Polis Tahan Suspek Bunuh Pengawal Keselamatan
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail. foto FAREEZ FADZIL             KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga Nepal di  sebuah pondok kebun sayur berhampiran Kampung Bukit Tinggi, Bentong,  Pahang awal pagi ini kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh rakan  senegaranya seorang pengawal keselamatan.
Ketua Polis Wangsa Maju, Supt. Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya  yang menerima panggilan telefon dari orang awam pada pukul 2.40 petang  Khamis lalu mengenai pergaduhan melibatkan lelaki warga asing di sebuah  kondominium yang terletak di Jalan Gurney 2, Kuala Lumpur bergegas ke  lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi, polis mendapati seorang  lelaki  terbaring disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan  Hospital Kuala Lumpur.
Tambah beliau, mangsa dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa merupakan warga  Nepal yang bekerja sebagai pengawai keselamatan dan tinggal bersama-sama  di sebuah unit kondominium yang dijadikan sebagai asrama tempat kerja  syarikatnya.
“Mereka tinggal bersama enam orang lelaki Nepal yang lain. Mangsa  berumur 27 tahun manakala suspek berumur 30 tahun telah tinggal bersama  di unit tersebut lebih kurang enam bulan,” katanya dalam kenyataan.
Rajab Ahad berkata, menurut keterangan awal saksi, mangsa dan suspek  disyaki berada dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran kecil yang  menyebabkan mangsa ditikam dengan senjata yang tajam.
Suspek kemudiannya panik dan telah melarikan diri, ujar beliau.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai  sebilah pisau yang berukuran 12 sentimeter berhampiran dengan lokasi  kejadian dan dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian ini,”  katanya.
Menurut Rajab Ahad, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan  dan suspek akan direman pada hari ini untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan  kejadian ini untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat  Kes, ASP Mohd Shukri Bin Abd Razak (016 – 669 1339 ) atau Ketua Bahagian  Siasatan Jenayah Daerah, ASP M Hussin Sollehuddin Bin Zolkifly  (017–2446363) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999  atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/polis-tahan-suspek-bunuh-pengawal.html