Planetarium Negara Apa Yang Menarik Kadar Bayaran Masuk
Sejak dibuka kepada orang ramai pada tahun 1994, Planetarium Negara telah menjadi pusat penting untuk pendidikan dan pameran yang memfokuskan mengenai kajian angkasa lepas dan astronomi.
Dengan pelbagai pameran interaktif dan pertunjukan yang menarik, Planetarium Negara bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang unik, tetapi juga menginspirasi generasi akan datang untuk meneroka misteri alam semesta.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Istana Negara: Sejarah, Visi, Misi, Fungsi, Seni Bina & Keunikan
Pengenalan Planetarium Negara
Planetarium Negara merupakan sebuah institusi pendidikan tidak formal dalam bidang astronomi dan sains angkasa terletak di atas tanah seluas 14 ekar di dalam kawasan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.
Seni binanya yang unik bercirikan seni bina Islam dan berinspirasikan pencapaian astronomi dan sains angkasa semasa zaman kegemilangan tamadun Islam.
Sejarah dan Latar Belakang
Merujuk kepada laman sesawang Planetarium Negara, Planetarium Negara telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989.
Pembinaan kompleks Planetarium Negara bermula pada tahun 1990 dan siap sepenuhnya serta mula dibuka pada Mei 1993.
Pada 7 Februari 1994, kompleks Planetarium Negara telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.
Kompleks ini menempatkan sebuah teater dengan skrin berbentuk kubah berwarna biru yang dilengkapi dengan projektor bintang dan filem berformat besar serta mampu menempatkan 200 orang dalam satu-satu masa.
Binaan kubah memerlukan ketelitian dan ketepatan yang tinggi serta dilengkapi dengan sistem audio visual yang mampu mensimulasikan pergerakan objek angkasa.
Kompleks Planetarium Negara telah dibina dengan reka bentuk berinspirasikan seni bina Islam dengan bercirikan muqarnas.
Ianya diadaptasi dari komposisi geometri yang mampu memantul dan menyerakkan cahaya serta berfungsi sebagai satu elemen penyerapan dan refleksi bunyi yang berkesan.
Seni bina kompleks Planetarium Negara yang dihiasi dengan 110 anak tangga yang menuju kearah kubah berwarna biru melambangkan evolusi pembangunan dan penerokaan sains angkasa.
Ia dilengkapi dengan aliran air menuruni bahagian tengah sepanjang anak tangga yang melambangkan kehidupan manusia adalah begitu harmoni dengan angkasa.
Disebalik keunikan reka bentuk dan kerumitan pembinaannya, Planetarium Negara telah mengalami revolusi dalam sistem penyampaian perkhidmatannya sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.
VISI
Pusat pendidikan tidak formal dan pembudayaan sains angkasa terunggul di Malaysia.
MISI
Menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat berkaitan aktiviti astronomi dan sains angkasa
Fungsi & Kepentingan
Memperkasakan peranan Planetarium Negara sebagai sebuah organisasi pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam bidang astronomi dan sains angkasa di Malaysia;
Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan bidang astronomi dan sains angkasa melalui tayangan, pameran, program dan media sosial;
Menyediakan kemahiran dalam pengendalian instrumentasi tayangan digital astronomi optikal dan radio amatur; dan
Memberikan khidmat nasihat, koordinasi dan bimbingan untuk pembangunan modal insan dalam bidang astronomi dan sains angkasa di Malaysia.
Carta Organisasi
Apa yang Menarik di Planetarium Negara?
Planetarium Negara di Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi pusat pendidikan dan pameran utama bagi kajian angkasa lepas dan astronomi di Malaysia, tetapi juga mempunyai pelbagai ciri dan sejarah menarik yang mungkin tidak diketahui ramai.
Berikut adalah beberapa perkara yang menarik tentang Planetarium Negara:
1. KEDUDUKAN STRATEGIK
Planetarium Negara terletak di dalam kawasan hijau Kuala Lumpur yang dikelilingi oleh beberapa mercu tanda iaitu Masjid Negara, Muzium Negara, Muzium Seni Islam, Tugu Negara dan Taman Botani Perdana.
Keunikan seni bina islam adalah aset terbesar sebagai eko-pelancongan negara yang menjadi daya tarikan dan tumpuan pelancong.
Lokasi Planetarium Negara yang berdekatan dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur merupakan hub transit terbesar negara.
2. PAMERAN ANGKASA
Pameran yang bertemakan astronomi dan penerokaan angkasa disediakan supaya pengunjung dapat merasai pengalaman pembelajaran yang unik melalui konsep hands-on dan minds-on. Pameran yang interaktif disediakan bagi mewujudkan simulasi persekitaran sebenar ruang angkasa.
3. TEATER ANGKASA
Teater angkasa merupakan sebuah panggung wayang berbentuk kubah yang menjadi penanda aras sesebuah Planetarium. Kapasiti teater angkasa mampu memuatkan sehingga 200 orang penonton dalam sesuatu masa.
Teater ini digunakan untuk tayangan planetarium dan simulasi alam semesta menggunakan “Full Dome Digital System (FDS)” yang memberikan paparan sekeliling 270 darjah meliputi keseluruhan skrin berbentuk kubah.
Ia dilengkapi dengan sistem bunyi keliling 6 saluran dan 2 projektor “Full Dome Immersive 4K System” yang mampu memberikan pertunjukan simulasi langit menyerupai fungsi sebuah balai cerap.
4. KEMBARA SIMULASI
Kembara Simulasi merupakan sebuah simulator kokpit dua tempat duduk yang menyediakan tayangan bagi memberikan pengalaman penerokaan dan penerbangan ke angkasa lepas. Pengunjung akan merasai pengalaman pergerakan tiga paksi dengan kebebasan pergerakan 360 darjah.
5. BALAI CERAP
Suatu kemudahan yang menempatkan teleskop dan aksesori untuk orang awam mencerap objek-objek langit dan boleh juga digunakan untuk tujuan penyelidikan. Para pengunjung berpeluang melihat permukaan matahari melalui teleskop yang disediakan pada hari-hari tertentu.
6. STESEN MIKROSATELIT (9M2RPN)
Suatu kemudahan yang digunakan untuk penjejakan satelit dan komunikasi radio amatur. Peralatan yang disediakan di stesen ini bertujuan sebagai perhubungan radio kepada pengguna radio amatur dan berkomunikasi dengan satelit yang melintasi ruang udara Kuala Lumpur.
Stesen ini juga mampu berkomunikasi dengan angkasawan yang sedang bertugas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
7. GALERI PEMANDANGAN
Galeri pemandangan dengan keluasan 46.57m2 dan ketinggian 33 meter terletak di Menara Balai Cerap Planetarium Negara.
Ia mampu memuatkan kapasiti 10 orang pengunjung dalam satu lawatan. Pengunjung berpeluang menikmati pemandangan panorama 3600 Kuala Lumpur. Binokular juga disediakan untuk kemudahan pengunjung.
8. TAMAN REKREASI
Taman Rekreasi ini terdiri daripada Titan, Milky Way, Sculpture, Ceres dan Balai Cerap Purba. Pengunjung berpeluang menikmati persekitaran yang selesa untuk beriadah.
Lokasi Planetarium Negara
Planetarium Negara terletak di tengah-tengah ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur. Ia berada di kawasan yang strategik dan mudah diakses oleh pelawat dari pelbagai arah.
Berikut adalah maklumat lanjut mengenai lokasi dan cara untuk sampai ke Planetarium Negara:
Alamat: Planetarium Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Lot 100, Jalan Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.
Google Maps: https://maps.app.goo.gl/gy8FwmWwucVyKYx29
Akses Pengangkutan
1. Kereta
Jika anda memandu, anda boleh menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps atau Waze dengan memasukkan “Planetarium Negara” sebagai destinasi. Terdapat tempat letak kereta yang disediakan untuk pengunjung.
2. Pengangkutan Awam:
LRT (Light Rail Transit): Stesen LRT terdekat adalah Stesen Masjid Jamek atau Stesen Pasar Seni. Dari stesen ini, anda boleh mengambil teksi atau berjalan kaki ke Planetarium Negara.
Bas: Terdapat beberapa laluan bas yang berhenti berhampiran Planetarium Negara. Anda boleh menggunakan perkhidmatan bas Go KL City Bus yang percuma atau bas RapidKL.
3. Berjalan Kaki:
Planetarium Negara terletak berhampiran dengan beberapa tarikan pelancongan utama di Kuala Lumpur seperti Muzium Negara dan Taman Tasik Perdana. Jika anda berada di kawasan ini, anda boleh berjalan kaki ke Planetarium Negara.
Tarikan Berhampiran
Selain mengunjungi Planetarium Negara, anda juga boleh melawat beberapa tempat menarik yang berhampiran seperti:
Muzium Negara: Menampilkan sejarah dan budaya Malaysia.
Taman Tasik Perdana (Perdana Botanical Gardens): Taman rekreasi yang luas dengan pelbagai tarikan seperti Taman Orkid dan Taman Rusa.
Masjid Negara: Masjid utama negara yang terletak tidak jauh dari Planetarium Negara.
Dengan lokasi yang mudah diakses dan pelbagai tarikan berdekatan, Planetarium Negara adalah destinasi yang ideal untuk seisi keluarga.
Waktu Operasi
Dibuka dari hari Selasa hingga Ahad, jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang
Tutup setiap hari Isnin dan cuti umum terpilih iaitu: Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Wilayah Persekutuan, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong.
Kadar Bayaran
Bayaran Masuk ke Planetarium Negara adalah PERCUMA. Bayaran hanya dikenakan untuk menonton tayangan Planetarium dan Kembara Simulasi.
Tiket untuk bayaran ini boleh dibeli di kaunter tiket yang terletak di hadapan pintu masuk kompleks Planetarium Negara.
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut atau info terkini, sila layari laman web rasmi Planetarium Negara.
Jangan lupa ikuti:
Facebook: https://www.facebook.com/planetariumnegara/
Twitter: https://x.com/PlanetariumKL
Instagram: https://www.instagram.com/planetarium.negara
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/planetarium-negara/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=planetarium-negara