Pkp Bersyarat Sekatan Jalan Raya Jaga Sempadan Negara Negeri
KUALA LUMPUR, 6 MEI: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis kini menumpukan pada sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri dan negara, selain operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)
Kawalan di sempadan negara bertujuan memastikan ia tidak diceroboh masuk warga asing manakala di sempadan negeri adalah bagi menyekat pergerakan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan,
Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata SJR di Johor kini turut tertumpu di kawasan pesisir pantai dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan migran, dengan keseluruhan 39 SJR di semua daerah.
Beliau berkata 4,200 anggota polis bertugas bagi PKPB berbanding 4,600 anggota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susun atur SJR juga akan dilakukan termasuk di jalan keluar dan masuk antara sempadan negeri.
“Kesemua 39 SJR merupakan di laluan utama. Ia termasuk kawasan di daerah-daerah yang menghadap pesisir pantai. Ini khusus untuk membendung penyusupan masuk migran dari negara jiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini.
Bekas Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Batu Kawa Kuching, Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu bagi menggantikan Datuk Shafie Ismail, yang bersara hari ini.
Sementara itu, Polis Perlis pula menggunakan kaedah pemeriksaan mengejut dan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mengesan orang ramai yang melalui lorong tikus dan ‘batas ban’ (jalan sawah padi) bagi mengelak SJR di semua pintu masuk utama ke negeri itu.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata kumpulan rondaan ini akan digerakkan memasuki semua 77 ‘batas ban’ dan lorong tikus yang terdapat di negeri itu iaitu sebanyak 49 di Kangar, 13 di Padang Besar dan lima di Arau.
“Walaupun tiada lagi penutupan jalan dan lencongan di jalan-jalan utama setelah PKPB, kita tidak mahu berlaku keadaan orang ramai bolos menggunakan lorong tikus dan batas ban,” katanya kepada Bernama di Kangar.
Surina berkata pihaknya meningkatkan rondaan di lorong tikus bagi memastikan tiada individu yang masuk ke negeri itu tanpa melalui SJR, atau mengelakkan warga asing masuk ke negara ini menerusi lorong tikus.
Polis Perak pula mengurangkan SJR daripada 102 sewaktu PKP kepada 30, dengan 13 daripadanya dibuat di sempadan negeri termasuk susur masuk atau keluar di lebuh raya, melibatkan sempadan Perak dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Pahang, dengan bantuan tentera darat bermula hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata polis juga meningkatkan pemantauan di tempat-tempat awam terutama di pasar raya dan stesen bas bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP semasa PKPB termasuk jarak sosial.
“Polis juga banyak memberikan khidmat nasihat kepada orang awam di tempat-tempat tumpuan serta pengusaha restoran dan kebanyakannya sudah faham mengenai SOP bagi bersama-sama melawan penyebaran wabak Covid-19,” katanya di Ipoh.
Razarudin berkata rondaan turut ditingkatkan di kawasan rekreasi dan taman permainan bagi mengelakkan orang ramai menjalankan sebarang akitiviti riadah berikutan Perak masih belum membenarkan penggunaan taman awam.
Bagi Kedah, orang awam di negeri itu bebas bergerak merentasi daerah termasuk ke Pulau Langkawi, namun perlu menitikberatkan SOP ditetapkan KKM terutama aspek jarak sosial.
Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata pematuhan terhadap SOP sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memastikan Kedah terus kekal berada dalam zon hijau.
“Sekatan jalan raya dikurangkan bermula hari ini dan tumpuan akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Kedah kerana perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf Kepada Barisan Hadapan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohsemput.blogspot.com/2020/05/pkp-bersyarat-sekatan-jalan-raya-jaga.html