Pilihanraya Sewaktu Covid Tak Ok Tapi Tukar Kerajaan Sewaktu Covid Ok
Berikutan kebimbangan meningkatnya semula kes Covid19 dalam negara, sementelah banyak negara lain dalam dunia juga menunjukkan trend yang sama, mengadakan PRU dalam waktu terdekat ini dianggap tidak sesuai sama sekali.
Untuk itu, ramai tidak setuju dengan keputusan UMNO mahu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin dan keluar daripada PN bagi tujuan mengasak kerajaan agar mengadakan PRU dengan segera.
Setelah mendapat sokongan majoriti dengan 189 daripada 191 UMNO bahagian-bahagian yang meluluskan usul menolak kerjasama dengan Bersatu, tindakan susulan yang sewajarnya diambil oleh UMNO jika mahu PRU ialah keluar segera daripada kerajaan PN.
Kalau tidak, setakat melalak dan bising-bising di luar, Muhyiddin Yassin mungkin buat tak tahu saja sebagaimana sikap biasanya selama ini.
Begitu pun, tindakan UMNO ketika ini tertangguh buat sementara menunggu perkara tersebut disah dan diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari depan.
Tetapi, melihat trend peningkatan kes Covid19 sekarang ini, ramai berpendapat tindakan UMNO meneruskan desakan pada 31 Januari nanti tidak lagi sesuai dan bukan waktunya.
Jika diadakan PRU berikutan kehendak UMNO itu, ia dianggap hanya mengundang bahaya dan berisiko kehilangan lebih banyak nyawa.
Ramai yang berpendapat, jika pun UMNO mahu PRU, hasrat itu patut ditangguhkan dulu sehingga kes Covid19 benar-benar reda.
Namun begitu, dalam kes enggan bekerjasama dengan Bersatu dan hasrat menarik diri daripada kerajaan, UMNO sudah pun bergerak jauh dan tidak mungkin berundur walau setapak sekali pun.
Bagi UMNO, lagi lama mereka berada dalam kerajaan bersama Bersatu, lagi terancam masa depan mereka, selain tidak tahan lagi berterusan kena buli.
Selain keputusan untuk berpisah dengan Bersatu bukan saja disokong oleh majoriti UMNO bahagian-bahagian melalui usul yang diluluskan sebulat suara, Annuar Musa yang dilihat condong kepada Bersatu turut sudah dipecat sebagai Setiausaha Agung BN.
Ini menunjukkan UMNO benar-benar serius untuk melaksanakan apa yang dirancangnya.
Lebih daripada itu, Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob yang menyokong kuat keputusan UMNO mahu berpisah dengan Bersatu juga telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Dengan yang demikian, adalah sukar dan hampir mustahil untuk UMNO menarik balik hasratnya mahu keluar daripada kerajaan PN selepas Perhimpunan Agung UMNO, 31 Januari nanti sebagaimana lulusnya pula usul di peringkat bahagian-bahagian.
Jika UMNO berundur daripadanya, ia hanya akan menyebabkan nama Zahid Hamidi tambah tercemar dan tidak lagi dipercayai oleh akar umbi parti yang ternampak begitu bersemangat pada waktu ini untuk bertempur dengan Bersatu dalam PRU.
Maka, apa pilihan yang sewajarnya bagi UMNO?
Harus difahami bahawa peningkatan kes Covid19 sekarang di mana menjelang Mei, kiranya trend semasa berterusan, kes sehari dijangka meningkat sehingga 8,000 sehari, yang tidak wajar diadakan hanyalah PRU saja.
Ini kerana bila diadakan PRU di mana penjarakan sosial dan pergaulan sukar dikawal, kes Covid19 boleh saja meningkat dengan mendadak.
Walau pun demikian, menarik sokongan, berpisah dengan Bersatu, keluar daripada kerajaan PN, malah menukar kerajaan, langsung tidak mendatangkan risiko merebaknya semula kes Covid19.
Bagi tujuan itu, UMNO harus menukar strateginya daripada mendesak Muhyiddin mengadakan PRU kepada menjatuhkan kerajaan sedia ada untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang lain.
Dalam hal ini, tiada pilihan lain, UMNO harus memberi sokongan secara terbuka kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun mengutus surat kepada Yang Dipertuan Agong bagi tujuan mempersembahkan sokongan majoriti yang dimilikinya.
Hanya dengan UMNO bersama Anwar mengadakan sidang media secara terbuka mengumumkan majoriti yang dimiliki, barulah lebih mudah disahkan Muhyiddin dan PN tidak lagi memiliki sokongan bagi terus mengurus kerajaan.
Sesuai dengan Covid19 belum lagi reda, Muhyiddin dalam hal ini lebih baik berlapang dada dan bersikap terbuka dengan sedia berundur setelah UMNO bertindak menarik sokongannya.
Tidak perlulah beliau mengadap Agong untuk membubarkan Parlimen dan ambillah contoh sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang rela hati meletak jawatan sebaik kalah undi percaya sebagai Menteri Besar Perak tidak lama sebelum ini.
Tambahan lagi, selain banyak kegagalan lain yang ditunjukkkannya sejak 10 bulan lalu, meningkatnya semula Covid19 adalah juga petanda kegagalan kerajaan pimpinan beliau mengurus wabak tersebut.
Ambillah peluang daripada pertukaran kerajaan itu nanti untuk bermuhasabah, akur dengan kegagalan, sekaligus untuk berehat bersama keluarga susulan pembedahan kansernya tidak lama sebelum ini.
Daripada lebih mungkin “hanyut” dalam PRU, lebih baiklah Muhyiddin menghabiskan sisa-sisa usia tidak sihatnya dengan berehat.
(Shahbudindotcom 08/01/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/01/pilihanraya-sewaktu-covid-tak-ok-tapi.html