Pidato Sekolah Rendah Sayang Bumi Selamatkan Generasi
Adik Mazni Zawani Binti Md Zaidi wakil dariSK Seri Pasir antara lima orang pelajar yang mewakili Zon Parit Sulong ke peringkat Daerah Batu Pahat bagi pertandingan Pidato Piala Diraja Kategori Sekolah Rendah 2021.
Teks saya ucapkan terima kasih kepada sumber Google, dan saya edit sedikit sebanyak agar sesuai untuk murid sekolah rendah. Saya tidak tahu penulis asal petikan pidato ini.
Jutaan terima kasih kepada Ibu bapa adik Mazni Zawani, Cikgu Md Zaidi dan isterinya yang melatih dan memberi tunjuk ajar dan sokongan padu kepada Mazni.
TAJUK PIDATO: SAYANG BUMI SELAMATKAN GENERASI
Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudara pengerusi majlis, kombinasi intelektual kehakiman bervisi, seterusnya hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua.
Hadirin sekalian,
Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengatur bicara izinkan saya mendefinisikan secara konseptual SAYANG BUMI SELAMATKAN GENERASI sebagai menjaga alam sekitar akan melindungi masyarakat dalam jangka masa yang panjang. Jika kita renung dan teliti, senario ini mempunyai aspek yang luas maka pidato saya pada hari ini berpaksikan kepentingan alam sekitar dalam kehidupan manusia, kesan kemusnahan alam sekitar dan langkah-langkah mengekalkan kelestarian alam sekitar agar seluruh organisma di bumi ini dapat hidup dengan selesa dan harmoni.
Warga dewan yang dihormati sekalian,
Alam sekitar ialah sumber keperluan kehidupan kita. Misalnya sungai merupakan komponen penting dalam kehidupan seharian kerana ia membekalkan sumber air yang kita gunakan pada setiap masa, Baru-baru ini kita saksikan, apabila sungai tercemar di ibu kota kita yang tercinta, beratus ribu orang telah terjejas kehidupan mereka. Begitu juga jika laut kita tercemar, akan menjejaskan sumber perikanan utama kita.
Seperti yang kita sedia maklum, manusia memerlukan udara yang segar untuk meneruskan kehidupan yang selesa di samping memberi ketenangan jiwa kepada manusia sejagat. Selain itu, pembekalan udara yang segar dapat menghindari pelbagai penyakit seperti asma, stress, penyakit yang melibatkan paru-paru dan jantung.
Menurut kajian saintifik, pembekalan udara yang segar akan terhalang sekiranya pencemaran udara berlaku. Hal ini kerana benda asing seperti habuk, asap dan gas seperti karbon monoksida akan menyebabkan kepekatan udara dan akan menghasilkan bau-bauan yang tidak menyenangkan. Oleh itu alam sekitar yang terpelihara akan memastikan generasi akan datang dapat menikmati bekalan makanan, air dan udara yang berkualiti.
Warga dewan yang saya muliakan,
Kita sering dipaparkan dengan arus pembangunan ekonomi di seluruh dunia yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun di sebalik kemajuan ini, masyarakat semakin leka dan mengabaikan alam sekitar. Bukit-bukau ditarah, tabiat pembuangan sampah yang seolah-olah tidak dapat diubah, menyebabkan bumi kita merintih dan akhirnya berlaku banjir kilat di mana-mana, bukit melungsur dan kejadian tanah runtuh sudah banyak memakan korban di segenap penjuru dunia.
Meningkatnya perindustrian dan pencemaran akibat asap kenderaan di seluruh dunia menyebabkan meningkatnya karbon monoksida, menjadi penyebab naiknya suhu global dan akhirnya satu persatu glasier di kutub utara dan kutub mencair ke laut. Ini mengakibatkan paras air laut meningkat dan menenggelamkan pulau-pulau kecil serta kota-kota di pinggir laut yang rendah. Seringkali kita dengar air banjir melimpah dengan pantas ke tengah kota apabila berlaku air pasang besar yang disertai hujan lebat.
Sidang hadirin yang saya hormati,
Secara keseluruhannya, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga, menyumbang usaha, bersatu suara, mengubah minda agar lebih bertanggungjawab sebagai penghuni planet bumi ini dan memelihara kelestariannya agar generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan bumi kita ini.
Harus dikejut mana yang lena
Harus ditegur mana yang alpa
Sebelum manusia ditimpa bencana
Sebelum alam mulai bicara
Sekian, terima kasih.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://matsomherbs.blogspot.com/2021/09/pidato-sekolah-rendah-sayang-bumi.html