Piala Afc Kejayaan Sang Badak Layak Ke Peringkat Kumpulan Jadi Kebanggaan Negeri
Sabah FC layak ke Piala AFC.
( 📸 ©Daily Ekspress)
klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)
Sabah FC membawa nama Borneo ke saingan AFC Cup!
Md Joh Wid (kiri) dan KETUA Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Marzuki Nasir bersama trofi Piala AFC.
(📸 ©Flash Sukan)
KEJAYAAN pasukan Sabah FC layak ke peringkat kumpulan Piala AFC dianggap sebagai kebanggaan masyarakat di negeri ini dan ianya juga akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah bola sepak Sabah.
Pengarah Bola Sepak Sabah FC, Md Joh Wid berkata banyak aktiviti melibatkan penyokong sudah dirancang oleh Sabah FC bagi memastikan kemeriahan kejohanan ini dapat dirasai oleh semua penduduk Sabah sekali gus menaikkan semangat para pemain untuk beraksi lebih baik.
Sabah berjaya layak ke kejohanan Piala AFC 2023/24 selepas menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat ketiga dan diundi dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Vietnam, Haiphong FC, wakil Singapura, Hougang United dan juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar.
“Kejayaan Sabah layak ke Piala AFC adalah kebanggaan negeri ini dan ini adalah catatan sejarah bola sepak Sabah. Bandar Raya Kota Kinabalu dan Stadium Likas bersedia mengucapkan selamat datang kepada pasukan-pasukan dari Kumpulan H.
“Kita telah bersedia dari segi pasukan, teknikal, stadium selain para penyokong juga begitu teruja menantikan perlawanan yang akan dihidangkan dan sudah tentu kami akan berikan saingan terbaik dalam edisi terakhir kejohanan ini.
“Kami akan mengekalkan harga tiket dan kemungkinan akan adakan harga istimewa buat para penyokong (tiket kombo). Saya harapkan penyokong Sabah datang beramai ramai tetapi pada masa yang sama mereka perlu patuh pada garis-garis panduan yang ditetapkan oleh AFC.
Penyokong Sabah mencatatkan antara angka kehadiran tertinggi Liga Malaysia musim ini.
(📸 ©Flash Sukan)
“Untuk makluman semua, pertandingan ini sangat menitikberatkan disiplin bukan hanya kepada pemain di atas padang tetapi merangkumi penyokong dan juga disiplin pegawai yang menguruskan pertandingan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas selesai majlis undian di AFC House, Bukit Jalil.
Sabah FC juga mahu meneruskan kerjasama dengan Lembaga Sukan Negeri Sabah untuk mengadakan sesi tontonan skrin gergasi di setiap daerah untuk memastikan kemeriahan Piala AFC ini dirasai oleh semua penduduk Sabah.
“Kami menjangkakan Piala AFC ini akan mendapat sokongan yang lebih baik dari penyokong dan kita juga memikirkan bagaimana kaedah buat mereka yang tidak dapat hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan secara langsung dan kita akan fikirkan bagaimana untuk mendapatkan atmosfera yang sama di luar stadium,” jelasnya.
Keadaan terkini Stadium Likas selepas kerja naik taraf.
(📸 ©Flash Sukan)
Md Joh juga telah memberikan maklumat terkini berkaitan penambahbaikan fasiliti di Stadium Likas dengan stadium berkapasiti 22,000 penonton itu telah mendapat maklum balas positif dari delegasi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk dijadikan sebagai gelanggang rasmi Sabah di Piala AFC.
“Setelah menjalani pemeriksaan oleh AFC, Stadium Likas telah dibaik pulih dan dinaiktaraf, AFC telah berikan laporan yang baik dan stadium itu kini bersedia menjadi tuan rumah namun masih ada beberapa perkara kecil yang akan dilakukan tetapi ianya tidak menjejaskan keadaan stadium,” jelasnya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.
Sabah bakal melayan kunjungan wakil Singapura, Hougang United di Stadium Likas untuk perlawanan pembukaan Kumpulan H pada 18 September 2023 dan dijangka puluhan ribu penyokong akan membanjiri Stadium Likas untuk menjadi sebahagian sejarah bola sepak Sabah.
SOURCE:
Flash Sukan
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://obsesbola.blogspot.com/2023/08/piala-afc-kejayaan-sang-badak-layak-ke.html