Piagam Muafakat Nasional Kalau Retorik Kenapa Pemimpin Ph Perlu Takut
Sinar Harian                                                                                                

                                Najmil  berkata, walau apa jua terjadi, penyatuan ummah harus direalisasikan  pada pilihan raya umum akan datang. - Foto Sinar Harian 
KUALA TERENGGANU: Kenyataan  provokasi yang dikeluarkan sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH)  terhadap pemeteraian Piagam Muafakat Nasional menunjukkan mereka resah  dengan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas.
 Exco Pemuda UMNO,  Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, walaupun ada antara mereka  yang menyifatkan piagam itu sebagai retorik, penyatuan ummah antara  kedua-dua parti itu sebenarnya mimpi ngeri kepada kerajaan PH.
  Menurutnya, penyatuan ummah itu sendiri adalah reaksi masyarakat untuk  menolak kerajaan PH kerana terlalu banyak kerosakan yang dilakukan sejak  memerintah.
 "Apa yang perlu mereka ingat ialah penyatuan ummah  bukanlah untuk UMNO-Pas semata-mata, tetapi untuk kelangsungan generasi  akan datang yang akan menjadi pewaris kepada negara ini.                                                                                                                      
"Penyatuan ummah juga dituduh meminggirkan kaum lain. Namun, apa yang  berlaku semalam (14 Sept), ramai daripada rakan-rakan komponen Barisan  Nasional (BN) seperti MIC dan MCA menghadiri himpunan ini sebagai simbol  sokongan dan percaya bahawa penyatuan ini tidak akan meminggirkan kaum  lain.
 "Persoalan saya kepada pemimpin PH, jika Piagam Muafakat  Nasional ini hanyalah retorik politik, mengapa kerajaan begitu resah dan  gelisah dengan penyatuan ummah ini dengan mengeluarkan  kenyataan-kenyataan provokasi?" soalnya.
 Jelas Najmil, Piagam  Muafakat Nasional adalah panduan, teras dan hala tuju kerjasama dua  parti terbesar orang Melayu Islam di Malaysia, dalam mengembalikan  negara ini seperti asal selepas 'dihancurkan' oleh kerajaan PH.                                                                                                                    
Katanya, walau apa jua terjadi, penyatuan ummah harus direalisasikan  pada pilihan raya umum akan datang, sebagai lambang kebangkitan orang  Melayu Islam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
  "Pelbagai lagi kerjasama strategik akan dijalankan kedua-dua parti ini  pada masa akan datang sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum.
 "Ia menjadi agenda terbesar orang Melayu di negara ini apabila melihat  kerajaan PH yang dipilih pada pilihan raya lepas gagal menjalankan tugas  sebagai institusi pemerintah," katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/piagam-muafakat-nasional-kalau-retorik.html