Pesta Terbesar Di Timur Tengah Soroti Era Keterbukaan Saudi
RIYADH: Ia dianggap sebagai pesta terbesar di Timur Tengah — Ribuan berliang-liuk mengikut muzik bawah pancaran lazer di lokasi yang paling tak disangka-sangka: Arab Saudi.
MDL Beast yang berlangsung selama 3 hari hujung minggu lalu merupakan festival terbesar yang pernah dianjurkan di negara Islam ultra-konservatif itu — di mana pengikut fahaman keras sekian lama menganggap muzik sebagai berdosa — ketika Putera Mohammed Salman membawa modenisasi yang mencabar pantang larang di negara itu.
Dinobatkan sebagai Woodstock Arab Saudi, bukan penampilan DJ-DJ antarabangsa seperti Black Coffee dari Afrika Selatan, Martin Garrix dari Belanda, dan David Guetta dari Perancis sahaja yang menguji revolusi budaya di negara itu.
Ditengah-tengah kawasan padang pasir berdekatan Riyadh yang diubah menjadi sebuah kelab malam terbuka, wanita — tanpa hijab, wajah bermekap dan tanpa abaya — menari bersama lelaki.
Turut menarik perhatian di negara yang terkenal dengan pemisahan jantina dan kod pakaian yang ketat adalah persembahan seorang wanita berpakaian sendat yang bergelek dalam sangkar.
Turut dipersembahkan 4 penari wanita berpakain ketat yang berenang dalam kolam kaca yang bergantungan di udara.
Tahun lalu, ketua Penguasa Hiburan Am (GEA) dipecat susulan kecaman daripada golongan konversatif terhadap terhadap acara sarkas yang menampil wanita berpakaian ketat.
Namun, semua itu nampaknya seperti memori masa silam.
“Kami membesar bersama mutawa (polis agama) yang memberi amaran: ‘Lelaki yang baik bersolat, tidak berparti, tidak dengar muzik’,” kata Saleh al-Najar, seorang kakitangan teknologi maklumat di pesta itu.
Mempromosikan pesta itu adalah selebriti-selebriti yang mendedahkan aurat, termasuk model Victoria’s Secret, Elsa Hosk dan supermodel British, Jourdan Dunn.
Mereka mengundang kecaman dalam talian kerana didakwa menerima “6 angka” untuk memulihkan imej kerajaan disebalik siasatan ke atas rekod hak asasi manusianya.
Pemeriksa menyifatkan pesta besar-besaran itu sebagai renjatan oleh Putera Mohammed, yang nampaknya nekad untuk mengheret kerajaannya menjadi moden.
Kempen liberalisasi itu, yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini, membuka era baru keterbukaan sambil mengurangkan tumpuan pada agama dan mempromosikan ultra-kebangsaan, memperkenalkan konsert, acara magik dan sukan yang disusuli dengan pesta-pesta.
Kedai-kedai dan restoran-restoran di Riyadh secara terbuka tidak mengikut perintah menutup operasi semasa waktu solat, walaupun ketika polis-polis agama meronda sambil memujuk orang pergi bersolat.
Pegawai-pegawai kerajaan Barat berkata kerajaan Saudi sedang mempertimbangkan untuk membenarkan alkohol di beberapa kawasan expat seperti daerah diplomatik di Riyadh, ujian yang mungkin diperluaskan kepada hab-hab pelancongan lain di negara itu.
Pihak berkuasa Saudi sekeras-kerasnya menafikan laporan itu, tetapi pemerhati mengatakan kempen pelancongannya akan gagal jika ia tidak mengikut langkah Dubai atau Bahrain yang membenarkan alkohol di tempat-tempat berlesen.
“Cara melawan ekstremisme adalah menerusi keterbukaan yang ekstrem,” kata seorang pemandu, Murtada al-Abawi, 30, yang menyokong perubahan budaya itu.
Namun tidak semua orang menyokong perubahan itu.
Bulan lepas, seorang warga Yemen mencederakan 4 warga Sepanyol di satu persembahan teater di Riyadh.
Media rasmi Saudi menyalahkan Al-Qaeda, tetapi setakat ini kumpulan militan itu belum mengaku bertanggungjawab dan pemerhati menuding pada perasaan geram dalam kalangan golongan konservatif terhadap kempen hiburan berbilion dolar itu.
Di negara yang sangat konservatif itu, beberapa orang Saudi mengatakan hujan tidak turun kerana kerajaan “mendakap” hiburan.
“Bukan Islamis sahaja yang mengkritik kempen hiburan itu,” kata Quentin de Pimodan, seorang pakar Saudi di Institut Pengajian Eropah dan Amerika.
“Nampaknya terdapat komuniti dalam talian yang mahu melindungi nilai-nilai Saudi.”
Ketua GEA, Turki al-Sheikh dikritik kerana mencadangkan warga Saudi yang tidak mempunyai wang boleh menggunakan kad kredit untuk membiayai aktiviti hiburan.
Pengkritik berkata kelonggaran itu merupakan suatu taktik untuk menumpulkan kemarahan rakyat terhadap kemerosotan ekonomi dan tindakan keras terhadap penentang kerajaan.
“Sudah tentu saya mahu negara saya jadi terbuka. Sudah tentu saya mahu seni dan sukan dibenarkan,” kata Lina al-Hathloul, yang kakaknya sedang dibicarakan bersama aktivis wanita lain.
“Malangnya reformasi ini bukan reformasi institusi tetapi untuk mengaburi pencabulan hak asasi manusia, termasuk penahanan tidak sah kakak saya.”
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/12/25/pesta-terbesar-di-timur-tengah-soroti-era-keterbukaan-saudi/