Pesara Bina Kerjaya Baharu Sebagai Pelukis Jalanan
OLEH NURFARDLINA IZZATI MOKTAR
SEREMBAN, 17 JULAI: Seorang bekas guru memanfaatkan persaraan beliau dengan ‘kerjaya’ baharu sebagai pelukis seni jalanan yang kini karyanya semakin mendapat perhatian masyarakat setempat, malah turut menerima pujian daripada kerajaan negeri.
Lai Teo Kuan, 61, pesara guru Sekolah Menengah Chung Hua Port Dickson berkata, kebanyakkan hasil seninya itu berunsurkan humor dengan memilih watak animasi seperti ‘Spongebob’, ‘Superman’, ‘The Simpsons’ dan ‘Snow White and the Seven Dwarfs’ serta haiwan seperti gajah, sotong, ayam, cicak dan ular, bagi menceriakan kawasan berkenaan, selain bertujuan untuk menarik minat pelancong luar ke negeri ini.
Setakat ini, kawasan seperti Kampung Baru Mambau dan Sungai Ujong Walk di Seremban serta persekitaran Port Dickson Waterfront dan pekan Bukit Pelandok, Port Dickson adalah antara kawasan yang telah menerima sentuhan seni bapa kepada tiga orang anak ini.
Berasal dari Kuala Lumpur, Lai yang lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Mr Lai’ berkata, minatnya terhadap seni lukis ialah sejak berusia tujuh tahun dan ia semakin membara selepas kunjungannya ke beberapa buah negara seperti Bangkok, Thailand; Manila, Filipina; serta Bandung dan Jakarta, Indonesia; yang turut menampilkan karya seni jalanan yang sama.
“Ia memberi dorongan serta inspirasi kepada saya, untuk melakukan perkara yang sama iaitu melukis lukisan sedemikian di negara ini. Bagaimanapun, saya lebih suka melukis ‘street art’ kerana ia mempunyai keunikan tersendiri iaitu mengabungkan lukisan dengan elemen alam semula jadi dan struktur binaan di sesebuah tempat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Lai Teo Kuan, 61, tekun menyiapkan salah satu karyanya ketika ditemui baru-baru ini. Foto BERNAMALai berkata, projek pertama beliau di negeri ini adalah di Kampung Baru Mambau yang menampilkan karikatur ‘Groot’ daripada filem ‘Guardians of the Galaxy’ yang dilukis pada sebuah pasu bunga besar yang terletak di tepi jalan utama kampung berkenaan, Julai tahun lepas.
“Lukisan ‘street art’ berkenaan kemudiannya telah ditularkan oleh orang ramai di media sosial Facebook,” katanya yang menzahirkan rasa bangga’ dengan pencapaian berkenaan.
Bermula seawal 7 pagi sehingga 7 malam, lima hari seminggu, adalah tempoh masa yang diambil Lai untuk proses melukis, termasuk mengecat dan ia amat bergantung kepada keadaan cuaca serta keizinan pemilik bangunan dan kawasan yang dipilih.
“Bagi menyiapkan sesuatu lukisan itu, ia bergantung kepada saiz lukisan itu, misalnya lukisan ayam 3D yang dilukis sebagai mural di Sungai Ujong Walk, ia memerlukan masa selama seminggu untuk disiapkan, namun lukisan-lukisan yang bersaiz kecil boleh disiapkan dalam satu hari,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, lukisan mural di sesuatu kawasan adalah mengikut kesesuaian kawasan berkenaan, selain lebih puas sekiranya karya seni yang dihasilkan mengikut idea dan kreativiti sendiri.
“Sebenarnya seni lukisan ini adalah satu jambatan, mengukuhkan perpaduan antara kaum. Ini di sebabkan lukisan yang kita pamerkan melalui seni lukisan ‘street art’ dan mural ini boleh menyampaikan satu mesej kepada setiap lapisan masyarakat, dalam bentuk visual.
“Orang Melayu, Cina dan India atau mana-mana bangsa lain sekali pun, boleh faham mesej yang disampaikan menerusi lukisan itu. Selain itu, seni lukisan ini juga terbuka kepada semua orang tanpa mengira kaya atau miskin, kerana ia percuma dan sesiapa sahaja boleh menikmati lukisan ini,” katanya.
Lai berkata, sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 100 lukisan ‘street art’ dan mural dengan lukisan paling popular adalah masing-masing adalah karikatur The Simpsons dan lukisan mural ayam 3D di Sungai Ujong Walk.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohsemput.blogspot.com/2020/07/pesara-bina-kerjaya-baharu-sebagai.html