Pertama Kali Lihatnya Tanpa Ketumbuhan Cantik Sangat Ainul Mardhiah Selamat Dibedah
Bayi sembilan bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mulutnya semalam.
Ketumbuhan pada mulut bayi berkenaan yang mula membesar sejak dilahirkan hingga mencapai berat 200 gram itu, berjaya dibuang oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.
Doktor bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Julian Ong, seorang daripada empat petugas perubatan yang mengendalikan pembedahan itu, berkata ‘misi’ membuang ketumbuhan pada mulut bayi terbabit berjalan lancar.
“Pembedahan sangat lancar, malah lebih baik daripada yang dijangka. Ketumbuhan (pada mulut Ainul) berjaya dibuang mengikut perancangan,” katanya ketika ditemui, hari ini, selepas terbabit dalam sesi pembedahan berkenaan selama lima jam.
Berdasarkan maklumat awal, Dr Ong yang berasal dari Pulau Pinang menjelaskan, sampel ‘biopsi’ terhadap tumor pada mulut bayi terbabit terdiri daripada komponen sel kanser dan bukan kanser.
Katanya, keutamaan kini terarah kepada usaha untuk merehatkan Ainul menerusi jagaan rapi petugas perubatan supaya luka pembedahan berupaya pulih secepat mungkin, sebelum kesihatan bayi berkenaan dinilai semula.
“(Ketika pembedahan) tidak banyak berlaku pendarahan. Syukur, Ainul berada dalam keadaan baik dan stabil sepanjang proses pembedahan dilakukan. Ketumbuhan pada mulutnya sangat besar.
“Sekarang, kita perlu pastikan Ainul selesa dalam jagaan rapi, biarkan dia rehat dan lukanya sembuh, kemudian kita akan teliti semula perkembangannya untuk tempoh beberapa minggu akan datang bagi mengesahkan sel kanser mulutnya tidak berulang.
“Ainul juga akan diberi ubat tahan sakit dalam jumlah yang bersesuaian bagi membantu melegakannya daripada operasi pembedahan,” katanya.
Allah Bagi Peluang Sekali Lagi
Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika ditemui selepas operasi pembedahan anaknya, berulang kali mengucap syukur kerana diberikan peluang untuk ‘sekali lagi’ menjadi bapa kepada bayinya.
“Syukur ke hadrat Ilahi kerana kami diberikan peluang sekali lagi untuk menjadi ibu dan bapa kepada Ainul. Kami sangat teruja untuk menjaga Ainul dan bermain dengannya seperti kehidupan dijalani kanak-kanak lain.
“Apabila pertama kali melihat Ainul selepas pembedahan (tanpa ketumbuhan di mulutnya), dia sangat cantik, macam masa mula-mula dilahirkan. Ini adalah kelahiran semula Ainul,” katanya yang ditemani isteri, Nurul Erwani Zaidi.
Pertolongan Allah Sentiasa Ada
Melalui status yang dimuat naik oleh ibu Ainul semalam, dia mengharap agar Ainul Mardhiah cepat sihat dan boleh pulang ke Malaysia.
“Alhamdulillah semua dipermudahkan, Ainul stabil, cepat sihat ya Ainul nanti kita boleh balik Malaysia jumpa kawan-kawan.
“Pertolongan Allah sentiasa ada, teruskan pergantungan pada Allah Ainul, anak mama paling kuat,” luahnya di Instagram.
Nurul Erwani turut mengucap terima kasih kepada kumpulan doktor yang berusaha merawat Ainul Mardhiah.
Sementara itu, di Facebook bapa Ainul, Ahmad Safiuddin dia memuat naik status ‘Alhamdulillah’ dan rakyat Malaysia terus mendoakan agar ada berita gembira menanti dari sana.
Sumber: Fb Ahmad Safiuddin & Berita Harian
The post “Pertama Kali Lihatnya Tanpa Ketumbuhan Cantik Sangat”. Ainul Mardhiah Selamat Dibedah appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/pertama-kali-lihatnya-tanpa-ketumbuhan-cantik-sangat-ainul-mardhiah-selamat-dibedah/