Persatuan Pencinta Alam Perasuah Yang Patut Di Tumbangkan Dulu Bukannya Pokok Durian
KUANTAN - Pemberi dan penerima rasuah patut 'ditumbangkan' terlebih dahulu, bukan pokok durian musang king yang sedang berbuah dan menunggu gugur.
Ketua Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata, mereka ini dalang adalah dalam yang 'menghalalkan' penerokaan dan pencerobohan tanah di kawasan Hutan Simpan Kekal di negeri ini.
Menurutnya, sikap 'membutakan' perasuah antara penyebab penerokaan tanah haram di Pahang termasuk pembukaan kebun durian Musang King di HSK Batu Talam, Raub lebih 20 tahun lalu.
"Yang patut ditumbangkan adalah perasuah dan mereka yang menerima rasuah, bukan pokok musang king yang sedang berbuah. Pokok itu tidak berdosa.
"Orang lain tanam buah, bila tebang pokok, tukang tebang yang kena 'getah'. Dimarah netizen, dimarah pemilik pokok durian (pekebun).
"Yang untung tetap si pemakan rasuah bukan? Yang tukang terima duit (perasuah) selama ini membutakan mata ke atas pencerobohan itu tidak mahu di tebas sekali ke?," soalnya ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Ahad, JPNP menahan 18 pekebun haram durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam di Raub.
Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.
Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian Musang King direman dan pada Selasa mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata, penguatkuasaan yang dilakukan ini disifatkan secara satu lapisan sahaja sedang masalah ini berlaku lebih daripada apa yang digambarkan.
Jelasnya, pasti ada individu atau pihak yang sudah bertahun- tahun menerima sogokan dan bayaran untuk menghalalkan penerokaan dan penanaman pokok-pokok durian di kawasan berkenaan.
"Jadi, mereka (pemberi dan perasuah) juga patut dihukum bersama sebagai contoh dan tauladan kepada masyarakat.
"Tidak adil hukuman hanya diberikan kepada pekebun durian kerana mereka menceroboh tanah kerajaan tanpa menghukum penerima-penerima sogokan untuk buta pada aktiviti penerokaan tersebut.
"Kalau begitu kaedahnya ia akan menyuburkan lagi masalah rasuah kerana yang dihukum hanya pekebun dan pemberi dan yang menerimanya (rasuah) aman daripada sebarang tindakan," tegasnya yang mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.
Noor Jehan berkata, tindakan pekebun menceroboh adalah satu perbuatan salah dan mereka boleh dihalau keluar daripada kawasan terbabit.
Tambah beliau, pemasangan kawat dawai perlu bagi memastikan mereka tidak kembali ke kawasan terbabit selepas ini.
Selain itu, Kerajaan Pahang kata beliau sepatutnya menggunakan durian itu ditunai terlebih dahulu.
Katanya, hasil itu boleh digunakan sebagai bayaran cukai tertunggak, pemulihan semula tanah dan digunakan sebagai gantirugi kepada kerajaan.
"Apabila pokok berumur 20 tahun sarat berbuah ditumbangkan dengan sia-sia, pasti netizen sekeling tertanya- tertanya. Boleh tutup mata selama 20 tahun, tapi tidak boleh tunggu sekejap hingga durian gugur baru tebang?," katanya yang mengalu-alukan tindakan tegas kerajaan negeri memerangi kes pencerobohan hutan simpan di Pahang.
Sehubungan itu, Noor Jehan memberitahu, tindakan ini dilihat sebagai satu permulaan kepada usaha yang baik dan diharapkan ia dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan berpusat di satu-satu tempat sahaja.
"Selain penerokaan haram bagi penanaman durian, kerajaan negeri juga patut bertindak tegas terhadap perkara sama bagi tujuan perlombongan dan pembalakan di Pahang.
"Masih ada HSK seperti Hutan Simpan Lesong di Rompin juga diceroboh dan diteroka secara haram. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/07/persatuan-pencinta-alam-perasuah-patut.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)