Peringatan Sheila Majid Zainal Abidin
Sekitar 26 tahun lalu, dua figura berpengaruh dalam arena muzik tempatan, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Zainal Abidin mencipta memori luar biasa menerusi konsert Ikhlas Tapi Jauh di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Detik ikonik itu turut diserikan dengan magis yang digabungkan bersama seorang lagi anak seni, Datuk Afdlin Shauki termasuk dua pemuzik, Azman Warren dan Amir Yusoff.
Tahun ini detik istimewa tersebut bakal berulang kembali dalam persembahan yang diberi nama Re-Jamm menerusi festival muzik KL Jamm di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 26 April ini.
Teruja untuk mengulangi momen hebat yang dicetuskan lebih dua dekad lalu, baik Sheila mahupun Zainal, mereka berdua tidak sabar untuk beraksi di atas pentas kurang dua minggu dari sekarang.
“Sudah lama saya dan Zainal tidak mengadakan persembahan bersama dalam sebuah persembahan berskala besar seperti konsert. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana corak persembahan nanti, namun kami berdua memiliki keserasian yang sangat unik.
“Seingat saya, kali terakhir kami mengadakan persembahan bersama adalah ketika Konsert The Legendary pada 2012,” jelas Sheila ketika ditemui Kosmo! usai program Live Dari Tingkat 10 MHE TV baru-baru ini.
Buat Zainal, 59, walaupun zaman sudah berubah begitu juga dengan peminat yang bertambah usia sepertinya, penyanyi lagu Hijau itu tetap teruja apabila berbicara tentang persembahan bersama Sheila.
“Peminat mungkin sudah lanjut usia seperti kami, namun sokongan mereka tidak pernah berbelah bahagi.
“Peluang untuk bersatu dalam sebuah persembahan tidak seharusnya dilepaskan. Sheila adalah antara kawan baik saya dalam industri. Peluang dan kesempatan ini bukan sahaja mengembalikan nostalgia buat peminat, tetapi kami juga sebagai penyanyi. Kami ingin membuktikan kepada orang ramai walaupun sudah berusia, kami masih mampu memberi persembahan terbaik,” kongsi Zainal atau nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamad.
Bersara
Saat disuakan pertanyaan berhubung laporan palsu yang mendakwanya bakal meninggalkan karier nyanyian kerana ingin memberi fokus menjana pendapatan menerusi produk kesihatan, Sheila atau nama sebenarnya atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 54, menyifatkan laporan tersebut sebagai mengarut.
“Merepek. Insya-Allah, saya akan cari dalang penipuan laporan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kesian dekat peminat yang percaya dengan scammer (penipuan) seperti ini kerana mereka menyangkakan saya benar-benar menggunakan produk tersebut. Saya tidak mahu mereka teraniaya.
“Cerita tentang saya mahu bersara sangat mengarut. Saya akan terus menyanyi selagi diperlukan demi peminat,” katanya.
Tambah Sheila, beliau hanya akan bersara apabila tiba waktunya suatu hari nanti.
“Jika saya sudah membulatkan hasrat untuk bersara nanti, peminat tidak akan lihat saya menyanyi lagi di atas pentas.
“Saya akan sepenuhnya berhenti menyanyi. Imej pun mungkin berubah (bertudung) dan saya berjanji tidak akan kembali lagi dalam industri,” terangnya.
Kualiti bakat
Beralih bicara tentang kemunculan ramai bakat baharu, Zainal mempunyai pendapat tersendiri tentang kualiti penyanyi zaman sekarang yang dilihat terlalu bergantung terhadap kekuasaan media sosial.
“Saya sudah berada dalam industri lebih 40 tahun. Walaupun orang tidak mengenali saya, tetapi mereka tetap tahu kewujudan lagu seperti Hijau.
“Sebagai penyanyi lama, saya tidak terlalu bergantung terhadap media sosial seperti Instagram. Saya bukan jenis orang yang setiap masa muat naik foto atau video di Insta Story. Itu cara budak-budak zaman sekarang dan saya tidak perlukannya,” getusnya.
Ditanya tentang prospek penyanyi zaman sekarang, Zainal berkata, industri muzik tanah air telah ketandusan bakat yang boleh bertahan lama dan mengangkat muzik ke peringkat yang tinggi.
“Terus terang saya katakan, industri kita pada hari ini telah ketandusan artis kerana terma artis itu sudah disalah faham. Artis sebenar adalah seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee atau Sudirman.
“Bukan yang buat rakaman video menyanyi satu dua lagu dalam Instagram sudah perasan diri mereka sebagai artis. Itu bukan artis dan bakat mereka hanya akan diingati dalam tempoh singkat sahaja,” tutur Zainal.
Terlanjur berbicara, Zainal menyifatkan industri muzik kini sudah terlalu dicemari sehingga individu yang bukan penyanyi pun mampu memiliki karya lagu kerana mempunyai wang.
“Saya sifatkan usahawan yang sesuka hati merakam lagu dan menyifatkan diri mereka artis sebagai serangga perosak.
“Tiada masalah jika mereka mahu menaja sesuatu program di televisyen. Namun, saya ada masalah apabila mereka terlebih sudu daripada kuah. Melampau kerana di negara seperti Amerika Syarikat, tiada pun situasi seperti ini,” tutup Zainal tegas.
Selain Zainal dan Sheila, terdapat beberapa penyanyi lain seperti Datuk Ramli Sarip, Zamani, OAG, Amelina akan turut membuat persembahan sempena festival muzik KL Jamm yang bakal berlangsung di MITEC pada 26 April hingga 28 April ini.
Buat peminat, jangan lupa dapat tiket menerusi laman web rasmi, www.kljamm.com dengan harga bermula serendah RM98.
Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid menjawab tentang isu persaraan sementelah rakan baiknya, Datuk Zainal Abidin melahirkan rasa kecewa tentang kualiti bakat nyanyian zaman sekarang yang agak menyedihkan kerana terlalu bergantung kepada kuasa populariti.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/04/peringatan-sheila-majid-zainal-abidin.html