Percubaan Baharu Sharnaaz Ahmad
Sejak kebelakangan ini, kotak televisyen sudah tidak lagi digunakan untuk menonton program-program daripada rangkaian percuma mahupun satelit.
Menerusi perkembangan internet berkelajuan tinggi dan pembangunan platform penstriman digital, khalayak khususnya di Malaysia telah mula mendapat pilihan untuk menonton kandungan eksklusif mengikut pilihan masing-masing.
Justeru, tidak hairan jika platform digital yang berpangkalan di luar negara mula memasuki pasaran tempatan dengan memperkenalkan kandungan yang sesuai dengan cita rasa masyarakat setempat.
Melihat ‘penularan’ platform digital di Malaysia sebagai satu pembaharuan positif, Sharnaaz Ahmad yang pertama kali membintangi siri original terbitan platform penstriman Viu, Devoted mengakui teruja dengan perkembangan tersebut.
Menurut pemilik nama lengkap Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu, kemunculan platform digital seperti Viu bukan sahaja memberi banyak pilihan kepada penonton, malah membuka peluang lebih besar kepada pelakon untuk menonjolkan bakat.
“Apa yang boleh saya katakan, siri original terbitan Viu memberikan pengalaman menonton yang sangat berbeza. Hal ini kerana, kita sering disajikan dengan drama-drama santai yang subjek utamanya terlalu mudah untuk dihadam.
“Namun menerusi siri original terbitan Viu, penonton perlu banyak berfikir dan menganalisis jalan cerita untuk mengetahui mesej yang ingin disampaikan,” ujar Sharnaaz.
Pelakon berusia 34 tahun itu menambah, penglibatan pelakon-pelakon senior berpengalaman juga mampu memberikan impak besar kepada penonton di rumah.
“Apabila sesebuah produksi memilih pelakon senior yang mempunyai banyak pengalaman, segalanya akan menjadi lebih mudah.
“Tidak banyak yang perlu diajar kerana masing-masing mampu memberikan persembahan yang baik,” ujar Sharnaaz lagi.
Melanjutkan bicara, Sharnaaz berkata, stesen televisyen tempatan perlu berasa bimbang memandangkan banyak produksi original terbitan platform penstriman digital mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Stesen televisyen terlalu selesa dengan kuasa yang mereka ada. Jadi, apabila platform digital semakin berkembang, mereka perlu berasa bimbang.
“Hal ini kerana, platform digital selalunya mempunyai bajet yang besar, dan mampu memberi peluang yang lebih luas kepada pelakon,” katanya.
Dalam masa sama, Sharnaaz turut menasihati pelakon-pelakon tempatan supaya meningkatkan mutu lakonan supaya tidak terus berada pada takuk lama.
“Kalau mahukan industri berubah, cara kerja juga perlu berubah. Kita tidak boleh terlalu santai dan perlu mempertingkatkan mutu lakonan,” katanya jujur. Beralih tentang peranannya dalam Devoted, Sharnaaz berkata, dia melakonkan watak Iskandar, seorang pelampau yang memperjuangkan pemahaman-pemahaman di luar logik akal manusia.
“Iskandar merupakan seorang lelaki yang pandai berbicara dan merekrut pengikut-pengikutnya menerusi percakapan.
“Bagaimanapun prinsipnya tidak melibatkan agama, cuma lebih ke arah cara berfikir dalam kalangan masyarakat moden,” katanya.
Antara isu yang diketengahkan dalam siri tersebut adalah isteri mengambil tugas suami sebagai pencari nafkah keluarga.
“Selain isu pemahaman berbeza, ada juga isu berat yang dipaparkan termasuklah isteri mengambil alih tugas suami dan pergi bekerja, sementara si suami duduk di rumah.
“Kelainan yang dibawakan Devoted mampu untuk memberikan rasa baharu dalam industri hiburan, terutama dalam produksi drama tempatan,” katanya.
Selain isu yang diketengahkan, Sharnaaz bersetuju untuk terlibat dalam projek tersebut kerana mutu skrip yang dipersembahkan.
Sebelum ini Sharnaaz tidak pernah terfikir untuk berlakon dalam sesebuah naskhah yang mengetengahkan kelainan ketara dari segi penceritaan.
“Ketika membaca skrip Devoted, saya sudah dapat lihat naskhah ini bakal membuka lembaran baharu terhadap kerjaya lakonan saya.
“Apa yang boleh saya katakan, Devoted merupakan sebuah naskhah berkelas tinggi yang mungkin seiring dengan apa dengan karya produksi-produksi dari Singapura dan Thailand.
“Selain itu, saya juga berpeluang bekerja dengan empat pengarah berlainan. Situasi tersebut memberi pengalaman bermakna bagi saya,” ujar Sharnaaz yang mengakui selesa dengan cara kerja produksi Devoted.
Selain Sharnaaz, Devoted turut dibintangi oleh pelakon-pelakon berprofil tinggi seperti Corrine Adrienne, Faizal Hussein dan Aqasha.
Siri original 10 episod yang akan tersedia dalam pelantar digital Viu mulai 28 Mac tersebut juga menampilkan pelakon lain seperti Tehmina Kaoosji dan Nadia Aqilah.
Sharnaaz Ahmad berbicara perihal platform penstriman digital dan kesannya terhadap industri drama tempatan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/03/percubaan-baharu-sharnaaz-ahmad.html