Penternak Minta Pengguna Lebih Banyak Beli Ayam
MalaysiaGazette

Penternak  ayam kini berdepan pelbagai masalah yang merangkumi COVID-19, perubahan  cuaca, kenaikan harga bahan mentah dan penjualan ayam beku import oleh  sesetengah peniaga. - Gambar hiasan              PETALING JAYA – Pengeluaran daging ayam telah bertambah  kebelakangan ini dan orang ramai diajak membeli lebih  banyak ayam untuk  membantu penternak menghadapi lebihan penawaran di pasaran.
Ketua Unit Ayam, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia,  Kwei Yew Tong berkata, sesetengah ladang ternakan berskala kecil dan  sederhana mungkin terpaksa gulung tikar sekiranya masalah tersebut tidak  diatasi.
Katanya, penternak ayam kini berdepan pelbagai masalah yang  merangkumi COVID-19, perubahan cuaca, kenaikan harga bahan mentah dan  penjualan ayam beku import oleh sesetengah peniaga.
Jelasnya, gabungan faktor-faktor tersebut telah menyebabkan penurunan jualan daging ayam yang menjejaskan rezeki penternak.
“Kerajaan mengumumkan harga kawalan ayam hidup pada Deepavali di  paras RM5.70 sekilogram, tetapi harga borong sekarang telah turun  sebanyak 25 peratus,” katanya kepada Sinchew Daily.
Beliau berkata, disebabkan pengurangan orang yang menjamu selera di  luar, jumlah tempahan ayam daripada kedai makan telah berkurangan.
“Selain itu, ada peniaga yang memilih ayam beku import dari luar  negara dan keadaan ini juga menjejaskan pendapatan penternak tempatan,”  katanya.
Menurutnya, Malaysia telah mencapai tahap sara diri untuk bekalan  daging ayam dan pengimportan ayam hanya akan menyukarkan kehidupan  penternak yang sudah berdepan masalah permintaan yang menurun.
Ujarnya lagi, perubahan cuaca menyebabkan ayam lebih cepat membesar dan menyebabkan penawaran daging meningkat.
“Di luar negara pula, cuaca yang bertukar lebih sejuk dan kering  mengurangkan hasil tuaian jagung yang menjadi makanan ayam. Tetapi, kos  pengangkutan pula telah meningkat.
“Faktor-faktor ini menyebabkan kos bahan mentah meningkat 20 peratus,  malahan mungkin mencecah 30 peratus pada Disember,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan menyiasat pengimportan ayam beku dari luar negara.
“Pengimportan ayam beku adalah untuk tujuan pemprosesan makanan dan  bukannya dijual terus kepada pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/penternak-minta-pengguna-lebih-banyak.html