Pengertian Dan Penjelasan Sifat Ihsan
As-Sa’adi menyebut: “Bermula ihsan itu ada dua bahagi:
Pertama ialah ihsan pada beribadat kepada Tuhan dengan bahawa beribadat akan Allah seolah-olah seorang itu melihat Allah maka jika tiada melihat-Nya maka sungguhnya Allah melihatnya. Dan iaitulah bersungguh-sungguh pada mendirikan segala hak Allah atas rupa yang elok dan sempurna.
Kedua ihsan pada segala hak makhluk iaitu mencurahkan segala manfaat yang ada kepada semua makhluk Allah yang berlebih kuranglah ia dengan kadar berlebih kurangnya manfaat kebaikan kepada mereka dan hak dan kedudukan dengan sekira-kira ihsan dan dan besarnya kedudukan dan banyak kegunaannya dan dengan sekira-kira darjat keimanan yang berbuat ihsan dan keihkhlasannya dan sebab yang menyeru kepada perbuatan ihsan itu.” (Bahjah Qulub Abrar: As’Sa’ady)
Berkata A-Raghib :
وقال الراغب: (الإحسان على وجهين: أحدهما: الإنعام على الغير، والثاني: إحسان في فعله، وذلك إذا علم علمًا حسنًا أو عمل عملًا حسنًا)
“Ihsan itu dua bahagi. Salah satunya ialah memberi nikmat atas selainnya dan keduanya ialah berbuat kebaikkan pada perbuatannya. Yang demikian itu apabila mengetahui ia akan pengetahuan yang elok atau melakukan amalan yang baik.” (Kitab Al-Mufradat)
Penjelasan Ihsan Secara Terperinci
1. Ihsan Pada Berbuat Ibadah Kepada Allah
Berbuat ihsan ketika beribadat kepada Allah ada baginya satu rukun yang telah menerangkan oleh Nabi saw dalam sabdanya :
أن تعبد الله كأنك تراه، فإنك إن لم تره فإنَّه يراك
“Dengan bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak melihat-Nya maka Allah sentiasa melihat akan kamu.” (Hadith Bukhari)
Di sini Nabi saw menyebut bahawa martabat ihsan itu dua darjat. Dan bahawa orang yang berbuat ihsan itu atas dua darjat yang berlebih kurang keduanya. Darjat yang pertama iaitu beribadah seolah-olah melihat Allah. Darjat yang kedua iaitu beribadat akan Allah kerana Allah sentiasa melihatnya.
Maknanya apabila seorang hamba itu tidak mampu beribadat dalam keadaan melihat Allah dengan musyahadah maka turunlah kepada martabat yang kedua iaitu beribadat akan Allah sentiasa kerana Allah sentiasa melihat hamba-Nya. Maka yang pertama ialah beribadat dalam keadaan sangat gemar dan penuh ingin manakala yang kedua ialah beribadat dan keadaan sangat takut dan gerun. Intipati ihsan dalam beribadah ini bermaksud elokkanlah amal soleh dan ibadah yang kita lakukan kerana Allah sentiasa melihat kita zahir dan batin.
2. Ihsan Kepada Dua Ibu Bapa
Telah datang nas yang banyak menggemarkan atas menunaikan hak dua ibu bapa dan berbuat baik kepada keduanya.
Firman Allah:
وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Dan telah menetapkan oleh Allah bawawa tiada kamu sembah melainkan akan Dia dan kepada dua ibu bapa itu berbuatlah ihsan. Dan bila sampailah usia tua salah seorangnya atau keduanya maka jangan engkau berkata bagi keduanya ‘uhh’ dan jangan engkau tinggikan suara bagi keduanya dan berkatalah bagi keduanya perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu bagi keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku kasihanilah keduanya sebagaimana keduanya membesarkan aku ketika aku masih kecil.” (Al-Isra’: 23-24)
Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. katanya:
سَأَلْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أيُّ العَمَلِ أحَبُّ إلى اللَّهِ؟ قالَ: الصَّلاةُ علَى وقْتِها، قالَ: ثُمَّ أيٌّ؟ قالَ: ثُمَّ برُّ الوالِدَيْنِ قالَ: ثُمَّ أيٌّ؟ قالَ: الجِهادُ في سَبيلِ اللَّهِ
“Aku telah menanyakan Rasulullah saw apakah amalan yang paling Allah suka?” Sabdanya: “Solat pada waktunya.” Kataku lagi: “Kemudian apa?” Jawab baginda: “Berbuat baik kepada dua ibu bapa.” Tanyaku lagi: “Kemudian apa?” Jawab baginda: “Jihad pada jalan Allah.” (Hadith Bukhari)
Berkata Imam Al-Qurtubi:
قال العلماء: فأحقُّ النَّاس بعد الخالق المنَّان بالشُّكر والإحْسَان والتزام البرِّ والطَّاعة له والإذعان مَن قرن الله الإحْسَان إليه بعبادته وطاعته، وشكره بشكره، وهما الوالدان، فقال تعالى: أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ [لقمان: 14]
Berkata ulamak: “Manusia yang paling utama haknya selepas hak Allah yang sangat memberi dengan bersyukur dan ihsan dan melazimkan kebaikkan dan taat baginya dan patuh dengan beribadat kepada-Nya ialah dua ibu bapa. Firman Allah: Bersyukurlah kamu sekalian akan Daku dan akan kedua ibu bapamu.” (Luqman: 14)
Berkata Imam Ar-Razi :
أجمع أكثر العلماء على أنَّه يجب تعظيم الوالدين والإحْسَان إليهما إحسانًا غير مقيَّد بكونهما مؤمنين؛ لقوله تعالى: وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا [البقرة:83])
“Telah ijmak oleh para ulamak atas bahawasanya wajib memuliakan ibu bapa dan berbuat ihsan kepada keduanya dengan tanpa mengira keadaannya beriman atau tidak kerana firman Allah: Dan akan kedua ibu bapamu hendaklah kamu berbuat baik.” (Al-Baqarah: 83)
3. Ihsan Kepada Jiran Tetangga
Diriwayatkan dari Abi Syuraih Al-Khuza’ie bahawasanya Nabi saw bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah berbuat baik kepada jirannya.” (Hadith Muslim)
Ihsan kepada jiran itu ertinya ialah dengan memuliakan dan menghormati jirannya dan bersabar dari kejahatan jirannya dan menanggung segala yang terbit darinya dan memaniskan wajah dan lain dari yang demikian itu dari sifat-sifat yang mulia.
4. Ihsan Kepada Anak Yatim & Orang Miskin
Ihsan kepada mereka ialah berlemah lembut ketika berurusan dengan mereka dan menjaga hak mereka dan sentiasa membantu apa keperluan mereka.
Firman Allah:
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لاَ تَعْبُدُونَ إِلاَّ اللّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً وَذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ
“Dan ketika Kami menerima janji kaum Bani Israil supaya mereka tidak menyembah selain Allah dan berbuat ihsan kepada dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin.” (Al-Baqarah: 83)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ ، فَقَالَ لَهُ : إِنْ أَرَدْتَ تَلْيِينَ قَلْبِكَ فَأَطْعِمْ الْمِسْكِينَ ، وَامْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ
Seorang lelaki mengadu kepada Nabi saw tentang keras hatinya lalu Nabi saw bersabda: “Jika kamu mahu hatimu menjadi lembut maka hendaklah kamu beri makan orang-orang miskin dan sapulah akan kepala anak-anak yatim.” (Hadith Imam Ahmad)
5. Ihsan Ketika Berjual Beli
Ihsan ketika berjual beli ialah apabila menjual maka juallah barang yang elok dan jujur dalam menimbang dan menyukat dan memberi kurang akan harganya dan memberi lebih timbangannya dan tidak marah apabila pembeli meminta kurang akan harganya dan bersedekah jika yang membeli itu orang yang dalam kesusahan atau miskin. Dan yang membeli pula menggunakan perkataan yang baik dan tidak memaksa-maksa penjual memberi lebih dan jujur jika berlaku kerosakan pada barangan yang telah dibeli.
Apabila penjual dan pembeli saling berbuat ihsan maka jadilah jual belinya itu mudah dan berkat dan diredhai Allah.
Dari Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah saw bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ ، وَإِذَا اشْتَرَى ، وَإِذَا اقْتَضَى
“Allah kasih akan seorang yang memudahkan ketika menjual dan memudahkan ketika membeli dan ketika menuntut hak.” (Hadith Bukhari)
6. Ihsan Kepada orang Yang Buruk Kelakuan
Firman Allah:
ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Hadapilah ia dengan kelakuan yang lebih elok.” (Fusilat: 34)
Berkata ulamak menolak keburukkan seseorang itu 3 darjat:
Pertama: Meninggalkan perbalahan dan melupakan keburukkannya.
Kedua: Mendekatinya dan memuliakannya.
Ketiga: Memberi kemaafan dan uzur baginya.
7. Ihsan Kepada Haiwan
Di antara perbuatan yang dikira ihsan kepada haiwan ialah memberinya makan sekalipun tidak dimilikinya dan menolongnya apabila ia dalam kesusahan dan tidak memukulnya melainkan dengan pukulan yang cukup untuk menakutkannya dan dan tidak diambil anak haiwan dari ibunya ketika masih kecil dan melepaskannya apabila ia tersepit atau jatuh ke dalam umpama lubang dan jika mahu menyembelihnya maka disembelihnya dengan kelakuan yang elok.
Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ
“Sesungguhnya Allah menetapkan akan ihsan pada segala sesuatu. Maka apabila kamu hendak membunuh yang diharuskan syarak maka elokkanlah kelakuan bunuh itu dan apabila kamu hendak menyembelih haiwan maka elokkanlah kelakuan sembelih kamu.” (Hadith Muslim)
Tersebut pada Musannaf Abd Razaq:
وكان عمر بن الخطَّاب ينهى أن تُذْبَح الشَّاة عند الشَّاة
“Adalah Umar bin Al-Khattab r.a. melarang disembelih akan kambing disisi kambing yang lain.”
Semoga dengan penjelasan serba ringkas ini kita dapat memahami sekurang-kurang maksud ihsan yang menjadi satu tuntutan penting disisi Islam.
Wallahua'lam.
+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/03/pengertian-dan-penjelasan-sifat-ihsan.html