Penerbit Malaysia Teruja Selepas Pencalonan Oscar
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Pencalonan bagi anugerah berprestij, Anugerah Oscar yang diumumkan Isnin lepas ternyata memberi kejutan buat dua penerbit dari Malaysia apabila ‘St. Louis Superman’ turut tersenarai dalam lima terbaik untuk kategori ‘Best Documentary Short Subject’.
Berpangkalan di Amerika Syarikat, Teng Poh Si dan Cheyenne Tan dengan penuh emosi mengakui tidak meletakkan harapan tinggi terhadap hasil karya mereka itu kerana menyedari saingan hebat daripada dokumentari lain yang pernah meraih anugerah.
Mengimbas hari pencalonan Oscar diumumkan, Tan, anak kelahiran Kuching, Sarawak mengakui enggan meletakkan harapan tinggi kerana tidak mahu kecewa.
“Saya berusaha keras untuk mengurangkan jangkaan serendah yang boleh agar lebih mudah menerima kekecewaan.”
“Mula-mula lega, kemudian dipenuhi emosi berbeza pula. Syukur, tak sangka, bangga,” katanya kepada Bernama menerusi Facebook Messsenger.
Sementara itu, di Washington D.C, anak kelahiran Pulau Pinang, Teng Poh Si tersentak emosi, terkejut sehingga mengalirkan air mata sebaik judul dokumentari ‘St. Louis Superman’ diumumkan bersama-sama dengan pencalonan lain termasuk ‘The Absence’,’ Learning To Skateboard In A Warzone (If You’re A Girl)’,’ Life Overtakes Me’ and ‘Walk Run Cha-Cha’.
“Saya tanya pasangan saya, Mayank sama ada dia mahu menonton pengumuman itu bersama saya. Sebaik pengacara membacakan calon bagi dokumentari subjek pendek terbaik itu, Mayank merakam detik-detik bersejarah itu ketika saya rasa bagai hampir habis nyawa,” Teng mengimbas detik awal pengumuman pencalonan itu yang segar dalam ingatannya.
‘St Louis Superman’ adalah dokumentari 25 minit terbitan MTV dan AJE Witness mengisahkan seorang aktivis, Bruce Franks Jr yang menjadi wakil di St. Louis, Missouri pada 2016.
Filem ini memaparkan kesukaran perjuangan aktivis itu dalam usaha meluluskan satu rang undang-undang yang penting untuk melindungi komunitinya selain usaha beliau mengatasi trauma peribadi.
Tan dan Teng turut memberi penghargaan kepada Franks Jr dan pengarah dokumentari itu, Smriti Mundhra dan Sami Khan yang berjaya menggarap ‘St. Louis Superman’ menjadi sebuah hasil seni yang memberi kesan mendalam kepada komuniti.
“Saya bangga dengan seluruh pasukan pembikinan filem ini dan semua yang berkerja keras menjayakannya. Sejujurnya saya tidak tahu sebesar mana impak dan kepentingannya, jika sudah saya mungkin perlu berehat sedikit,” kata Tan.
Biarpun menetap di Amerika Syarikat, kedua-dua penerbit ini cukup bangga menjadi rakyat Malaysia yang mampu menonjolkan nama negara.
“Pada saat-saat seperti ini, penting untuk imbas kembali betapa jauh kami datang bersama-sama dari Malaysia, ia yang pertama buat Cheynne dan saya, dan ia juga yang pertama buat negara kita,” kata Teng sambil menambah tidak kira apa sahaja yang berlaku, ia menunjukkan kepada rakyat Malaysia tiada yang mustahil.
Malam Gala Academy akan berlangsung di Los Angeles pada 9 Februari.
Baca: Negara 4 Musim Terdekat, Ini Antara Sebab Ramai Orang Nak Sangat Pergi Australia
Sumber: BERNAMA
The post Penerbit Malaysia Teruja Selepas Pencalonan Oscar appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/01/16/penerbit-malaysia-teruja-selepas-pencalonan-oscar/