Penebang Pokok Dan Kapak Tumpul
AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima  pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya.  Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu  bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan  kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan  menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang  ditentukan.
Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok.  Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan  itu memberikan pujian kepadanya.
“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan  kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum  ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.
Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus  melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih  keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang  pokok.
Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap  tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok  yang ditebangnya.
“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku  dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir  penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.
Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf  atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana  tidak mengetahui apa yang terjadi.
Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak  kamu?” “Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat  sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat  tenaga,” kata penebang itu. “Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari  pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu  mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.
“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak  yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin  menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk  mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang  sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera  kembali bekerja!” perintah majikan.
Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih,  penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.
Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti  berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan  mencabar. Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari  pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.
Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat  iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk  menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal  matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan sibuk mencari kelemahan  dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri,  dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.
Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu  yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal  Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita  sendiri.
Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita  lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi.  Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan  keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang  menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari  sebelumnya.
Sumber : Harian Metro
MR :  Kerja smart bukan kerja kuat
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/05/penebang-pokok-dan-kapak-tumpul.html